Lima Tahun Penjara Bagi Remaja Warga Filipina Sokong Abu Sayyaf

Colin Forsythe
2018.01.31
Kota Kinabalu, Sabah
180131-MY-PH-Court-620.jpeg Ahli kumpulan Abu Sayyaf berkumpul di hutan di selatan Filipina di Basilan dalam gambar fail yang tidak bertarikh.
AP

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang remaja Filipina, kerana menyokong kumpulan militan Abu Sayyaf  dengan memuat naik gambar dan video di laman media sosial Facebook.

Hakim Ravinthran Paramaguru menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap remaja berusia 18 tahun itu selepas mahkamah menerima laporan kelakuan tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.  

Pada November lalu, tertuduh ditahan kerana menyokong kumpulan Abu Sayyaf melalui akaun Facebooknya di bawah nama "Abu Tahlaba Al-basilanie" dengan memuat naik gambar dan video kumpulan pengganas itu antara 1 dan 6 Mac tahun lepas di jejantas Putatan berhampiran Kampong Petagas berhampiran ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Remaja berkenaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah dan mengaku bersalah atas pertuduhan terhadap beliau dan pada Rabu beliau telah didakwa mengikut Seksyen130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun, atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan  dengan niat untuk melakukan kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Ravinthran berkata, selepas mengambil kira pelbagai faktor, remaja itu dikenakan hukuman lima tahun penjara dengan berpendapat apa yang dilakukan oleh remaja berkenaan adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.

Kata hakim berkenaan, selain daripada usia tertuduh, mahkamah juga mengambil kira bahawa remaja berkenaan telah mencapai usia matang semasa tarikh kesalahan itu dilakukan di mana tertuduh telah mencapai usia 18 tahun beberapa hari selepas beliau melakukan kesalahan berkenaan.

Ravinthran berkata, walaupun peguam bela mengatakan bahawa tertuduh mungkin tidak menyedari apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan, kejahilan tentang undang-undang tidak boleh dijadikan alasan.

Lebih-lebih lagi, kata Hakim itu, memuat naik gambar dan video bukan hanya menunjukkan tanda  sokongan tetapi sumpah taat setia (baiah) merupakan satu kenyataan rasmi untuk memberi sokongan.

Kes serius

Hakim juga tidak fikir yang tertuduh wajar dihantar ke sekolah pemulihan Henry Gurney bagi pesalah juvana kerana kes yang melibatkan tertuduh merupakan satu kes yang serius.

Ravinthran juga berkata, remaja berkenaan sepatutnya perlu berasa bertuah dan memikirkan kesalahan yang dilakukannya itu semasa berada di penjara.

Peguam Mohd Nazim Maduarin, yang mewakili remaja berkenaan sebaliknya mendesak agar hukuman lebih ringan dikenakan bagi tertuduh sambil meminta untuk mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama dan baru saja bersatu semula dengan bapanya di Sabah, selepas datang dari Filipina pada 2016.

Peguam itu juga berkata tertuduh yang dilahirkan pada 3 Mac 1999, hanya belajar sehingga Gred 7 di Filipina, iaitu Tingkatan Satu di Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi meminta hukuman yang lebih setimpal mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan untuk dijadikan pengajaran kepada tertuduh secara peribadi dan juga sebagai peringatan kepada umum.

Azlina berkata, walaupun pendakwaan mengakui ini adalah kesalahan pertama bagi tertuduh, mahkamah juga perlu memandang serius kesalahan yang dilakukan.

Dalam tempoh empat tahun yang lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 370 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuk IS.

Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria manakala 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana berlaku pertempuran.

Para pegawai berkata, rakyat Malaysia itu mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem yang berada di sempadan Jordan dan Turki.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, kata pegawai keselamatan. Satu serangan berkaitan IS berlaku di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016 yang mengakibatkan lapan orang cedera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.