Flotila Bantu Rohingya Ditangguh Tunggu Kebenaran Diplomatik Myanmar

Hata Wahari
2017.01.05
Kuala Lumpur
170105-my-flotilla620.jpg Presiden Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M) Abdul Azeez Abdul Rahim (empat duduk dari kanan), Mohd Azmi Abd Hamid (tiga dari kiri) dan Ketua Sami Buddha Malaysia K. Sri Dhammaratana (dua kiri) ketika pengumuman penangguhan pelayaran Flotila di sebuah gudang di Kuala Lumpur, 5 Januari, 2017.
[HataWahari/BeritaBenar]

Misi menghantar Flotila bantuan kemanusian kepada masyarakat Rohingya di Myanmar telah ditangguhkan sehingga 31 Januari ini, bagi memperolehi kebenaran diplomatik dari kerajaan negeri itu terlebih dahulu, dengan penganjur tetap akan meneruskan pelayaran samada memperolehi kebenaran atau tidak.

Misi yang dianjurkan oleh gabungan badan-badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa itu dijadualkan berlepas pada 10 Jan ini,  dengan jangkaan perjalanan mengambil masa minima 12 hari tetapi boleh mencecah sehingga 19 hari bergantung kepada keadaan di laut.
Presiden Kelab Putera 1 Malaysia (KP1M), Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penangguhan itu terpaksa diambil bagi menghormati kedaulatan Myanmar serta menanti jawapan permohonan memasuki perairan negara itu seperti yang telah dibuat pada 12 Disember lepas.


"Sekiranya kebenaran daripada kerajaan Myanmar tidak diperolehi pada tarikh tersebut, kapal yang akan membawa 2,000 tan makanan dan keperluan perubatan tetap akan berlayar…. Tetapi akan menuju  ke Teknaf, di Bangladesh, di mana terdapat 30,000 pelarian Rohingya yang berdaftar dan 20,000 lagi yang tidak berdaftar.

“Mereka juga memerlukan bantuan makanan dan perubatan," katanya pada Khamis pada satu sidang media khas bersama gabungan NGO yang terlibat dalam mengenai misi berkenaan, sambil menegaskan yang penghantaran itu tidak boleh ditangguh lebih lama kerana ia boleh merosakkan barang makanan yang telah dikumpulkan itu.

Abdul Azeez berkata, sepucuk surat kepada kerajaan Myanmar telah dihantar pada 12 Disember lepas melalui Meja Myanmar di Kementerian Luar Malaysia, dan pada Rabu wakil misi telah mengadakan pertemuan dengan kementerian itu bagi membolehkan satu lagi permohonan dihantar melalui kementerian tersebut.

Tegasnya, beliau berharap kerajaan Myanmar dapat meluluskan permohonan menghantar bantuan kemanusiaan dengan cepat bagi mengelakkan lebih banyak kesengsaraan.

Perdana Menteri Najib Razak yang mengetuai perhimpunan 4 Disember di ibu negara Kuala Lumpur, mengutuk penindasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa negara-negara Asia supaya meningkatkan tekanan terhadap Myanmar dalam usaha untuk menghentikan keganasan.

Langkah itu mendorong Menteri Hal Ehwal Luar Negara Myanmar  Kyaw Tin memanggil Duta Besar Malaysia Mohd Haniff Abd Rahman mengadap dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan Najib.Malaysia pada Khamis sekali lagi mempertahankan kedudukan Najib, berkata jika tidak ditangani segera keganasan yang berterusan akan memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan tidak hanya menjadi satu "urusan dalaman."

Minggu lalu, Lt. Jen. Kyaw Swe, Menteri Hal-Ehwal Sempadan dilaporkan Radio Free Asia, sebuah entiti BeritaBenar, sebagai berkata, “Adalah mustahil untuk menerima bantuan itu, kerana perkara berkenaan tidak masuk akal, misi sebegitu perlulah dilakukan secara diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan bukannya terus ke negeri Rakhine.

“Ini adalah satu penghinaan, kami tidak akan menerimanya. Kami minta maaf,” tambah menteri itu lagi dengan seorang jurucakap kerajaan negara itu turut menegaskan bahawa flotila akan dipaksa berpatah balik sekiranya ia memasuki perairan negara itu.

Lima pertemuan

Sementara itu, Mohd Azmi Abd Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ketika ditemui BeritaBenar memberitahu, sejak sebulan lepas, beberapa  pertemuan dengan pegawai Kementerian Luar telah diadakan sebagai tindakan susulan dalam mendapat maklumbalas kerajaan Myanmar.

"Sehingga hari ini (Khamis) masih belum ada maklumbalas dari kerajan Myanmar, dan kami amat terkejut apabila MAPIM dilabel sebagai cuba mencetuskan huru hara ataupun bertindak seperti pengganas atau militan. Hasrat kami hanya untuk membantu masyarakat Rohingya yang kini berada di dalam keadaan tertekan bukan sahaja kerana operasi ketenteraan tetapi juga  masalah kekurangan makanan dan perubatan,'' tegas Mohs Azmi kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri Reezal Merican Naina Merican ketika dihubungi BeritaBenar mengesahkan permohonan melalui Kementerian Luar telah dilakukan dan sedang menunggu keputusan dari kerajaan Myanmar.

Kedua-dua negara Islam di Asia Tenggara itu, Malaysia dan Indonesia, telah menggesa Aung San Suu Kyi, pemimpin de fakto Kerajaan Myanmar untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan terlibat ketika pertemuan Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Disember 19 yang membincangkan isu tersebut.

Kerajaan Indonesia juga dilaporkan telah menghantar 10 kontena kapal dengan barangan makanan, makanan bayi dan pakaian untuk warga Rohingya yang terlibat dengan keganasan di utara Rakhine.

Doktor sertai misi

Kira-kira 235 sukarelawan termasuk 50 orang doktor perubatan akan menyertai flotila itu, dengan usaha untuk memberi rawatan kepada masyarakat Rohingya yang memerlukan, manakala yang lain akan bertindak untuk mengedarkan makanan kepada sasaran misi flotila.

"Misi flotila ini juga membawa 1,000 naskah al-Quran untuk diserahkan kepada masyarakat Rohingya dan juga sebahagian bantuan kemanusiaan ini akan diserahkan kepada masyarakat bukan Islam iaitu masyarakat beragama Buddha dan Kristian di Myanmar yang juga berhadapan dengan krisis kemanusiaan," tegas Abdul Azeez.

PBB dalam laporannya berkata, adalah dianggarkan lebih 27,000 warga Rohingya melarikan diri daripada wilayah Rakhine dan berlindung di negara jiran Bangladesh selepas pihak tentera Myanmar melancarkan beberapa serangan maut sejak 9 Okt lepas.

Myanmar pula dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 93 orang terbunuh, 17 anggota polis dan tentera dengan 76 lagi yang dipercayai ‘penyerang’ [termasuk enam yang dilaporkan mati semasa disoal siasat] terbunuh dalam kejadian serangan berkenaan.

Lebih 575 orang suspek telah ditahan kerana terlibat dalam serangan pada 9 Okt itu, selepas pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan keras.

Beberapa NGO yang memperjuangkan nasib etnik Rohingya, bagaimanapun mendakwa sekurang-kurangnya 400 orang warga itu, yang digambarkan oleh PBB sebagai antara kumpulan paling teraniaya di dunia, telah terbunuh dalam operasi ketenteraan, dengan wanita dirogol dan kampung-kampung dibakar.

Konflik kemanusiaan yang berlaku di Maungdaw awal Oktober lepas telah menyebabkan puluhan ribu pelarian melarikan diri ke Bangladesh dan anggaran pelarian baru yang sampai di Bangladesh adalah seramai 50,000 orang, serta hampir 10,000 keluarga.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.