Pangkalan FOB Kukuhkan Sempadan Perairan Sabah

Hata Wahari
2016.04.22
Kuala Lumpur
160422-id-my-rescue-620 Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menyelamat seorang pelaut Indonesia yang ditembak semasa penculikan di pantai timur Sabah, Malaysia. Photo ini dikeluarkan pada 16 April 2016.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia/AFP

Malaysia yakin pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Polis, di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dapat memperketatkan lagi kawasan keselamatan di perairan Sabah dalam usaha kerajaan menangani jenayah rentas sempadan, kata Ketua Polis Negara kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau berkata, FOB di Pulau Mabul telahpun beroperasi pada 11 April lepas manakala FOB di Pulau Bangi akan diaktifkan dalam masa terdekat, dengan tujuan memantapkan kawalan keselamatan di bahagaian sebelah utara di pantai timur perairan Sabah dan kawasan dibawah penyeliaan ESSCom yang sering diceroboh lanun dipercayai dari selatan Filipina.

“Kerajaan telah memberi peruntukan khas sebanyak RM50 juta di bawah inisiatif ESSCom untuk membina FOB ini sebagai satu tindakan proaktif untuk menghadapi sebarang ancaman musuh di perairan Sabah.

“Pelaksanaan operasi FOB ini diketuai oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dengan gabungan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNK) seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan 69 Komando,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pada 1 April lepas, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila, dan kini ditahan di kepulauan Jolo, selatan Filipina.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah berlaku di perairan pantai timur Sabah terutamanya pulau peranginan yang melibatkan rakyat Malaysia atau pelancong luar negara.

Bernard Then, seorang jurutera elektrik merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari Selatan Filipina, dipercayai kumpulan Abu Sayyaf yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah pada 14 Mei tahun lepas.

Seorang lagi mangsa ialah Thien Nyuk Fun, 50, yang juga pengurus restoran berkenaan. Beliau bagaimanapun dibebaskan pada 8 November lepas oleh kumpulan penculik itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.

Pada Julai 2014, sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai dari Filipina telah membunuh anggota polis dan menculik seorang wanita dari pusat peranginan Mabul, dan tiga bulan sebelum itu, dua orang wanita termasuk seorang rakyat China diculik dari sebuah pusat peranginan di Semporna.

Seorang pelancong terbunuh manakala isterinya diculik di pulau Sipadan berhampiran Sandakan pada 2013 manakala lebih daripada 20 orang termasuk pelancong telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf juga di pulau yang sama pada tahun 2000.

Terbaru, kumpulan penculik di selatan Filipina itu telah mengancam untuk memenggal kepala tebusan mereka sekiranya tuntutan wang tebusan mereka tidak dipenuhi.

‘Aset gempur’

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Abd. Rashid Harun semasa dihubungi BeritaBenar berkata, pengumuman Kementerian Pertahanan untuk menempatkan enam helikopter di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan berupaya memperkukuhkan lagi keselamatan di zon berkenaan.

Selasa lepas, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa  kementerian itu akan menempatkan enam helikopter ringan MD-530G keluaran syarikat Mcdonnell Douglas di ESSZone pada akhir tahun ini.

Katanya, perolehan helikopter berkenaan yang akan ditempatkan di Sabah adalah untuk memperkuatkan serta memperkukuh pertahanan di ESSCom selain Kenderaan Tempur Infantri (IFV25) iaitu 'Gempita'.

Dalam pada itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pada Khamis, Ketua Menteri Sabah Musa Aman berkata, penggunaan bot pam tidak digalakkan di perairan ESSzone kerana ia sering digunakan anasir yang tidak bertanggungjawab untuk mengancam keselamatan di perairan negeri itu.

"Langkah ke arah pengharaman bot pam sedang diselaraskan dan kerajaan akan memutuskan tarikh akhir penggunaannya. Bagaimanapun tarikh interim untuk pengharaman bot pam yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Keselamatan (JKKN) ialah 7 Jan 2017,” kata beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

‘Jaminan Filipina’

Sementara itu, Kementerian Luar Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Filipina memberi jaminan kepada Malaysia bahawa negara itu sedang meneruskan usaha untuk membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik.

Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Kementerian Luar Filipina  Jose Rene D. Almenderas kepada Menteri Luar Anifah Aman yang sedang melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Manila.

“Setiausaha Kementerian Luar Filipina telah memberi jaminan bahawa Kerajaan Filipina sedang mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan mereka dibebaskan dengan selamat,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.

Kenyataan itu juga menyebut Malaysia memandang serius isu penculikan, selain Anifah turut memberi penekanan kepada Jose untuk meningkatkan usahasama dalam perkongsian maklumat perisikan dan rondaan.

Dalam usaha untuk melindungi perairan negara antara di rantau itu, Indonesia telah menjemput Malaysia dan Filipina pada satu pertemuan antara kesemua menteri luar dan pegawai tinggi pertahanan dari ketiga-tiga negara bagi membincangkan isu berkenaan pada 3 Mei ini.

"Antara agenda yang mungkin dibincangkan ialah melibatkan rondaan bersama di laluan perdagangan maritim bagi ketiga-tiga negara," kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Luhut Bunsar Panjaitan kepada wartawan di Jakarta.

"Kita tidak mahu kawasan ini menjadai seperti Somalia baru," katanya merujuk kepada beberapa negara di Afrika yang lanun meraih beratus-ratus juta dolar dalam pembayaran wang tebusan antara 2005 dan 2011.

Lintang Sulastri di Jakarta dan Gunawan di Balikpapan, Kalimantan Timur menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.