Kerajaan Malaysia Digesa Umum Laporan Mengenai Kubur Pemerdagangan Manusia

Muzliza Mustafa & Ray Sherman
2020.09.16
Kuala Lumpur, Malaysia
200916-MY-trafficking-620.JPG Beberapa lelaki melihat keranda-keranda mangsa tidak dikenali dari kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Malaysia, di sebuah tanah perkuburan berhampiran Alor Setar, Kedah, 22 Jun 2015.
(Reuters)

Kerajaan perlu mengumumkan laporan rasmi yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia setahun lalu mengenai kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai yang ditemui berhampiran sempadan negara itu dan Thailand pada 2015, menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia pada Rabu.

Tiada rakyat Malaysia yang didakwa berkaitan 139 kubur yang ditemukan di kawasan itu walaupun empat warganegara asing telah disabitkan kesalahan dan dipenjara, kata Fortify Rights dalam kenyataan di laman webnya.

"Kerajaan Malaysia perlu segera mengeluarkan laporan muktamad dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai etnik Rohingya dan warganegara Bangladesh yang ditemui di Wang Kelian, Perlis pada 2015," kata Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith.

"RCI diberi mandat untuk membantu membawa pelakunya ke muka pengadilan namun ia tidak berlaku," katanya, sambil memberitahu "tidak ada perubahan dasar malah, tiada kenyataan awam secara rasmi mengenai jenayah yang dilakukan itu."

Di negara jiran, Thailand, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan ke atas 102 orang yang dikaitkan dengan 32 kubur yang ditemui di kawasan sempadannya. Daripada 62 orang yang disabitkan bersalah, seorang merupakan jeneral tiga bintang yang kini menjalani hukuman 82 tahun.

Arifin Zakaria, bekas ketua hakim Malaysia yang mengetuai RCI, berkata beliau tidak tahu mengapa laporan muktamad itu tidak dikeluarkan.

"Tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Kami mengesyorkan kerajaan supaya mengumumkan laporan itu dan saya diberitahu bahawa mereka setuju berbuat demikian,” katanya kepada BeritaBenar.

"Kami tidak mendapat sebarang arahan atau permintaan lanjut daripada kerajaan ketika itu selepas laporan berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudian diserahkan kepada kabinet. Kami telah menyelesaikan tugas kami,” katanya, yang merujuk kepada pentadbiran bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Menteri Dalam Negeri ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan RCI pada Mac 2019 walaupun terdapat dakwaan mengenai cubaan "menutup kes tersebut."

Arifin mencadangkan supaya ditanya tentang perkara itu kepada kerajaan semasa, yang dipimpin Muhyiddin, bagi mendapatkan maklumat mengenai laporan tersebut.

BeritaBenar menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Perdana Menteri untuk bertanya mengenai laporan itu tetapi tidak mendapat maklum balas. Rabu yang bertarikh 16 September merupakan cuti umum di Malaysia.

Berselindung?


Pada penghujung Mei 2015, polis Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah mengeluarkan 106 mayat selepas menggali 139 kubur di kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan berhampiran Wang Kelian di utara negeri Perlis.

Awal bulan itu, para pegawai di Thailand mengumumkan mengenai penemuan kubur etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh di sebuah kem tinggalan dalam hutan di kawasan sempadan Thailand.

Pada masa itu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 12 pegawai polis bersama beberapa warganegara asing atas dakwaan memperdagangkan manusia serta beberapa dakwaan lain tetapi pegawai dan kebanyakan warganegara asing itu dibebaskan berikutan apa yang digambarkan oleh pihak berkuasa ketika itu sebagai kekurangan bukti.

Dua warganegara Myanmar, seorang rakyat Bangladesh dan seorang rakyat Thailand dibicarakan, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun.

Kerajaan pimpinan Mahathir menubuhkan RCI pada Februari 2019, hampir empat tahun selepas kem tersebut ditemui, dan memberikan enam bulan kepada anggota suruhanjaya itu untuk mengemukakan laporan dan cadangan.

Siasatan itu dilancarkan selepas New Straits Times, akhbar di Malaysia, menerbitkan laporan penyiasatan yang mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia mengetahui tentang kubur dan kem itu beberapa bulan sebelum polis mendedahkan penemuan mengerikan itu.

Dalam laporannya ketika itu, NST mendakwa pihaknya mendapati adanya "penyembunyian kes secara besar-besaran dan bersepadu" oleh pihak penguatkuasaan undang-undang Malaysia di kawasan sempadan itu, dengan menyatakan sepasukan wartawan penyiasatan telah meneliti sejumlah dokumen rasmi, memeriksa laporan dan mencari saksi berkaitan kes sejak dua tahun lepas.

Suruhanjaya enam anggota itu telah memanggil 48 saksi termasuk polis dan mangsa etnik Rohingya yang diselamatkan sepanjang  siasatan 17 hari di Kuala Lumpur.

Arifin menganggap proses siasatan itu sebagai mencabar berikutan tumpuan orang ramai terhadap kes tersebut.

"Bukan hanya itu, malah adanya tumpuan antarabangsa kerana ia melibatkan negara lain. Itu cukup sukar bagi kami, ”katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

‘Kebenaran, keadilan dan kebertanggungjawaban’

Dalam mendesak supaya laporan itu diumumkan, Smith berkata ia adalah berkaitan dengan "kebenaran, keadilan, dan kebertanggungjawaban."

Fortify Rights menarik perhatian kepada kedudukan Malaysia dalam laporan terkini Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang mengukur prestasi negara-negara di seluruh dunia dalam memerangi pemerdagangan manusia. Malaysia disenaraikan pada Mei sebagai negara dalam Tahap 2 Senarai Pemerhati, yang merupakan kedudukan kedua terendah dalam laporan itu, kerana tidak bertindak aktif berhubung kes kubur Wang Kelian.

"Kerajaan Malaysia harus memenuhi hak bagi mendapatkan kebenaran untuk mereka yang terselamat, mangsa dan saudara mereka dalam kes Wang Kelian mengikut undang-undang antarabangsa dan memberikan laporan lengkap RCI kepada mereka dan orang ramai supaya mereka dapat menilainya sendiri," kata Fortify Rights.

Antara 2012 dan 2015, sindiket jenayah rentas sempadan telah memperdagangkan sekurang-kurangnya 170,000 orang ke Malaysia dengan kebanyakannya etnik Rohingya dari Myanmar dan rakyat Bangladesh, serta menjana kira-kira AS$50 juta hingga $100 juta (RM206.5 juta hingga RM413 juta) setiap tahun, katanya.

Kumpulan ini membuat gesaan tersebut susulan desakan sama oleh kumpulan hak asasi manusia dan peguam Malaysia.

Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia, berkata laporan itu perlu dikeluarkan.

"Ia harus diumumkan, tetapi kegagalan kerajaan untuk mengeluarkannya sehingga sekarang jelas menimbulkan banyak persoalan," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.