Follow us

Malaysia Musnahkan Gading Gajah, Produk Gading Bernilai RM13.26 Juta

Zam Yusa & Vathani Panirchellvum
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-30
E-mel
Komen
Share
Kakitangan di sebuah fasiliti pengurusan sisa yang dikendalikan oleh kerajaan sedang menyusun gading-gading gajah untuk dimusnahkan di Seremban, Negeri Sembilan, 30 April 2019.
Kakitangan di sebuah fasiliti pengurusan sisa yang dikendalikan oleh kerajaan sedang menyusun gading-gading gajah untuk dimusnahkan di Seremban, Negeri Sembilan, 30 April 2019.
[AP]

Malaysia pada Selasa telah memusnahkan hampir 4 tan gading gajah dan produk dari gading bernilai 13.3 juta ringgit (AS$3.22 juta) dalam usaha membenteras sindiket yang menggunakan negara itu sebagai transit bagi penyeludupan gading.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata gading dan produk dari gading yang dilupuskan itu merupakan barangan yang dirampas dari pelabuhan dan lapangan terbang negara berkenaan sekitar 2011 sehingga 2017.

“Malaysia merupakan ahli Konvensyen Pemerdagangan Spesies Fauna dan Floria Liar yang Terancam (CITES) sejak 1978, sebab itu negara komited melaksanakan tanggungjawab antarabangsa dalam mengatasi isu pemerdagangan gading gajah secara haram,” kata beliau kepada media.

“Barangan in merupakan rampasan dari 15 kes yang membawa kepada jumlah keseluruhannya sebanyak 3,692.4 kg gading lengkap dan gading separa lengkap manakala selebihnya sebanyak 228.89 kg merupakan produk dari gading separa lengkap.

“Kita melupuskan barangan kes ini supaya barangan ini tidak perdagangkan di pasaran gelap,” kata Xavier sambil memberitahu media bahawa bahan rampasan yang dimusnahkan dipercayai dalam perjalanan dari Afrika ke Hong Kong, Vietnam atau China.

“Agak sukar untuk mengesan sindiket yang terlibat dalam kes ini kerana suspek yang ditangkap selalunya bukan ahli sindiket tetapi mereka yang terlibat dalam penghantaran barangan,” kata beliau di fasiliti untuk membakar barangan kes itu di Negeri Sembilan, negeri jiran yang terletak sejam perjalanan dari ibunegara Kuala Lumpur.

“Maka dengan itu, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat dan mengenalpasti sindiket yang terlibat dalam kes-kes ini,” tambah beliau lagi.

CITES dalam kenyataan pada 2013 berkata ia telah mengenalpasti lapan buah negara iaitu Kenya, Tanzania, Uganda, China, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam, terlibat secara langsung sebagai sumber, lokasi transit atau destinasi negara dalam kitaran pemerdagangan gading gajah.

CITES juga mahu kesemua lapan negara tersebut untuk bangun dan mengimplementasikan Plan Tindakan Gading Kebangsaan dalam menangani isu penyeludupan dan pemburuan haram gading gajah.

Selain dari pemerdagangan gading gajah, Malaysia pada Ogos tahun lepas turut merampas tanduk badak sumbu yang dalam perjalanan ke Vietnam bernilai hampir AS$12 juta.

Pada Februari lalu, pihak berkuasa Sabah, negeri di bahagian timur negara itu telah merampas sebanyak 30 tan tenggiling bernilai 8.4 juta ringgit [AS$2 juta] dalam dua serbuan di dua daerah di negeri itu, iaitu di Tuaran dan Sepanggar.

Menurut laporan media tempatan, kegiatan sindiket penyeludupan dan pemprosesan daging serta kulit tenggiling sudah berlangsung sejak tujuh tahun lalu.

Hasil serbuan pihak berkuasa telah menemui 1,800 kotak tenggiling beku yang disimpan dalam tiga buat peti sejuk, 572 ekor tenggiling beku pula ditemui dalam enam lagi bekas sejuk beku, 61 tenggiling hidup dan 361kilogram sisik tenggiling.

Menurut kumpulan pemerhati hidupan liar yang berpangkalan di United Kingdom rampasan itu mmerupakan yang terbesar di Malaysia setakat ini.

Jarak Dekat

Kedudukan geografi Malaysia yang dekat dengan pengguna besar gading gajah di dunia iaitu China dan Thailand, dan juga kecekapan dan infrastruktur pelabuhan yang membangun merupakan faktor penting kenapa negara digunakan berulangkali untuk menyeludup gading gajah menurut organisasi pemantau pemerdagangan hidupan liar, Traffic.

“Walaupun jumlah, isi padu dan kepantasan pergerakan kargo yang keluar dan masuk melalui pelabuhan Malaysia melibatkan jutaan kontena setiap tahun, yang turut membuatkan proses untuk menjejaki penyeludupan gading gajah sebagai sangat mencabar, ia walaubagaimanapun bukanlah sesuatu tugas yang mustahil,” kata Traffic.

Kanitha Krishnasamy, Pengarah Traffic Asia Tenggara berkata organisasi itu ingin menyarankan kepada Malaysia untuk mengimplementasikan Plan Tindakan Gading Gajah Kebangsaan untuk menangani masalah tersebut.

Beliau turut menggesa Malaysia meningkatkan kolaborasi dan komunikasi dengan negara pengeluar gading gajah dan juga negara pengguna, selain turut mengesyorkan bahawa pihak berkuasa perlu meningkatkan indikator risiko dan teknik profil dalam mengesan penghantaran yang mempunyai risiko tinggi.

“Tindakan bersama termasuk profil risiko dan sasaran serta komunikasi di antara sumber dan negara pengguna sudahpun mendatangkan kejayaan di seluruh dunia, turut juga menjadi sebahagian daripada Plan Tindakan Gading Gajah Kebangsaan yang telah dihantar kepada CITES hasil dari cadangan jawatankuasanya.

“Tindakah itu perlu berterusan dan dijalankan selari dengan tindakan penting yang lain, tanpa semua itu, Malaysia akan terus menjadi pemain terbesar dalam pemerdagangan gading gajah haram,” kata Kanitha.

Bercakap tentang rampasan gading gajah dan produk berasaskan gading oleh Malaysia dari 2011 hingga 2017, Kanitha berkata walaupun rampasan dan pemusnahan barangan rampasan itu dialu-alukan, masalah yang melanda Malaysia sebagai pusat transit cuma akan berjaya ditamatkan jika mampu menyahkan mereka yang terlibat.

“Kami berharap kes ini akan membuka jalan kepada penyiasatan yang mendalam,” tambah beliau.

Traffic sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia merupakan salah satu dari lapan negara yang membawa kebimbangan utama yang telah dikenalpasti oleh Konvensyen Pemerdagangan Spesies Fauna dan Floria Liar yang Terancam (CITES) sebagai negara yang paling terbabit dalam pemerdagangan gading gajah.

Menurut Traffic dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh laman berita The Nation dari Thailand pada 2018, sebanyak 20,000 ekor gajah di Afrika menjadi mangsa buruan haram untuk gading mereka dan populasi gajah kini hanya berjumlah sebanyak 350,000.

Lihat Laman Penuh