Malaysia mohon penghantaran pulang dua tahanan Gitmo – Menteri Dalam Negeri
2023.09.25
Kuala Lumpur & Washington

Kuala Lumpur sedang berusaha untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia disyaki terlibat dalam kes pengeboman Bali 2002, yang telah ditahan di penjara tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo sejak 17 tahun lepas, kata menteri dalam negeri pada Isnin selepas mengadakan lawatan ke New York minggu lepas.
Dalam catatan Facebook yang kemudian dipadamkan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Tina Kaidanow, wakil khas AS untuk hal ehwal Guantanamo, semasa berada di New York. Saifuddin berkata beliau juga telah pergi ke penjara itu, yang terletak di Cuba, namun tidak menyatakan bila beliau berbuat demikian.
“Saya bertemu sendiri dengan kedua-dua warga Malaysia yang ditahan di sana. Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh. Ini bertitik tolak mengenai kehidupan, keinsafan, peluang menjadi insan lebih baik,” kata Saifuddin. “Insya-Allah, kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia.”
Menteri dalam negeri itu bagaimanapun tidak membalas permintaan BenarNews untuk mengulas mengapa catatan media sosial itu dipadam kira-kira sembilan jam selepas ia disiarkan.
Saifuddin dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain adalah antara delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York. Ketika dihubungi BenarNews, Razarudin meminta supaya perkara itu dirujuk kepada menteri dalam negeri tersebut.
Rakyat Malaysia Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep serta warganegara Indonesia Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dijadual menghadapi perbicaraan di mahkamah tentera AS atas pertuduhan berkaitan peranan mereka dalam pengeboman di Bali dan Jakarta pada 2002 dan 2003 yang mengorbankan ratusan nyawa.
Berikutan penahanan mereka di Thailand pada 2003, ketiga-tiga lelaki itu dihantar ke penjara rahsia CIA, yang dikenali sebagai ‘lokasi hitam’, sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada 2006. Laporan Senat AS yang dikeluarkan pada 2014 mendapati bahawa mereka masing-masing telah diseksa semasa berada di ‘lokasi hitam’ itu.
Satu dokumen mahkamah yang difailkan oleh ketua pendakwa raya pada Ogos menunjukkan bahawa Mohammed Farik tidak lagi akan dibicarakan bersama dua tertuduh yang lain itu.
Peguam utama Mohammed Farik, Christine Funk, enggan mengulas apabila ditanya oleh BenarNews tentang kepentingan langkah itu dan sama ada ia mungkin membuka laluan bagi anak guamnya keluar dari Guantanamo.
Peguam Mohammed Nazir, Brian Bouffard, pula tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Tetapi peguam Encep, James Hodes, berkata beliau menjangka kes Mohammed Nazir juga akan "dipisahkan" daripada anak guamnya.
"Itu adalah hanya pemahaman saya," katanya kepada BenarNews pada Isnin sambil memberitahu beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
Hodes berkata beliau juga tidak menjangka sama ada rakyat Malaysia itu akan menghadiri prosiding seterusnya, yang dijadualkan pada 16 hingga 27 Oktober berdasarkan kalendar mahkamah. Seorang pentadbir mahkamah memberitahu BenarNews bahawa prosiding itu mungkin disingkatkan menjadi satu minggu.
Hodes berkata Hambali "berasa gembira" melihat kemungkinan dua rakyat Malaysia itu boleh kembali ke negara mereka.
"Dia mengharapkan perkara yang sama untuk dirinya," kata Hodes.
'Bersedia untuk mengambil mereka'
Ketiga-tiga warganegara Asia Tenggara itu muncul di mahkamah buat kali pertama pada 2021 untuk menghadapi prosiding pendakwaan selama dua hari, namun tidak banyak perkembangan berlaku sejak itu dengan sebahagian besarnya berpunca daripada kebimbangan peguam bela berhubung perkhidmatan penterjemahan yang lemah selain kekurangan bukti yang diterima mereka.
Pada Isnin, penganalisis anti keganasan Ahmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memberitahu BenarNews bahawa beliau percaya kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian yang berpotensi membawa pulang Mohammed Farik dan Mohammed Nazir.
“Ini adalah langkah ke hadapan dan memenuhi perspektif hak-hak kemanusiaan. Mereka telah ditahan selama 20 tahun,” katanya kepada BenarNews.
Ahmad, yang juga penasihat program pemulihan keganasan bagi Polis DiRaja Malaysia berkata, kedua-dua lelaki tersebut perlu menjalani penilaian psikologi dan ideologi sekiranya mereka dibawa pulang ke tanah air.
“Tetapi, kepulangan mereka tidak akan diuar-uarkan berikutan sensitiviti isu itu. Mereka juga perlu diletakkan di bawah program pemulihan seperti mana yang dilalui bekas pejuang IS dan keluarga mereka yang kita bawa pulang,” katanya.
Mohd Mizan Mohammad Aslam, penganalisis keselamatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata beliau sememangnya mahukan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dibawa pulang.
“Biarlah sistem kehakiman kita melakukan yang terbaik untuk mereka. Saya percaya kerajaan kita bersedia untuk mengambil mereka dan memberi mereka peluang untuk kembali ke negara kita kerana mereka adalah rakyat kita. Jika mereka sudah bersetuju dengan apa jua akibatnya, itu adalah yang baik untuk mereka,” katanya kepada BenarNews.
"Mereka mungkin perlu ditahan beberapa tahun lagi sebelum dibebaskan kembali ke dalam masyarakat."
Sebelum ini, semasa bekas pejuang Negara Islam (IS) atau ahli keluarga mereka yang dibawa pulang, telah dihantar ke penjara atau dikehendaki menjalani program pemulihan dan deradikalisasi, katanya. Ada yang dipakaikan dengan alat pemantauan elektronik pada buku lali mereka sehingga dua tahun.
Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.