Malaysia Perlu Jelaskan Janji Hadi Kepada Taliban, Kata Penganalisis
2022.02.08
Kuala Lumpur
Kontroversi mengenai Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah, yang kononnya menjanjikan bantuan kepada kerajaan Taliban di Afghanistan, nampaknya masih belum berakhir.
Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah yang juga Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), melalui wakilnya pada Selasa berkata bahawa pertemuan beliau dengan seorang pegawai kanan Taliban di Doha pada minggu lalu hanyalah untuk satu sesi "dialog".
Beliau berkata sebarang perbincangan mengenai bantuan kepada kerajaan itu adalah sama dengan sumbangan Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk usaha kemanusiaan di Afghanistan.
Namun, penganalisis politik dan pemimpin pembangkang berkata Putrajaya tidak boleh berdiam diri dan perlu menyatakan sama ada Jemaah Menteri meluluskan janji sebegitu kepada negara yang dilanda pergolakan tersebut memandangkan Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, tidak mengiktiraf kerajaan Taliban.
Taliban mengambil alih kuasa di Kabul pada Ogos lalu selepas menggulingkan kerajaan yang disokong Barat.
"Jika pertemuan itu berlaku tanpa pengesahan rasmi kerajaan [Malaysia], maka Hadi, sebagai duta yang dilantik, telah melangkaui kuasanya sebagai duta khas," kata Mazlan Ali, pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia kepada BenarNews.
“Ini berlaku ketika kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban masih belum diiktiraf secara rasmi oleh Putrajaya. Penjelasan terperinci [mengenai apa yang sebenarnya berlaku] harus dibuat oleh kerajaan dan Kementerian Luar.”
Abdul Hadi bertemu dengan wakil tetap Taliban ke PBB, Mohammed Suhail Shaheen, pada 3 Februari lalu, dan pada hari yang sama, Shaheen memuat naik ciapan di laman media sosial Twitter beliau mengenai perbincangannya bersama Abdul Hadi.
“Beliau berjanji [bahawa] Malaysia akan melakukan apa yang mampu untuk membantu rakyat Afghanistan dalam masa genting ini,” kata Shaheen mengenai pertemuan itu.
Duta Taliban ke PBB itu merujuk kepada krisis kemanusiaan yang teruk di Afghanistan.
Menurut kenyataan agensi di bawah PBB, Program Makanan Sedunia, baru-baru ini, kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan sedang kelaparan dan 8.7 juta orang berdepan dengan risiko kebuluran.
Dalam pada itu, kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertemuan Abdul Hadi di Qatar minggu lepas.
Pada Selasa, BenarNews telah menghubungi pegawai di Kementerian Luar tetapi tidak mendapat maklum balas serta merta.
Bagaimanapun, pada bulan lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata Malaysia tidak akan terburu-buru untuk mengiktiraf Afghanistan di bawah kepimpinan Taliban.
“Kami lebih suka pengiktirafan melalui platform antarabangsa tertentu seperti [Pertubuhan Kerjasama Islam - OIC]. Itu pendirian kami buat masa ini,” kata Saifuddin kepada pemberita pada masa itu.
Seorang lagi penganalisis, James Chin dari Universiti Tasmania berkata parti PAS pimpinan Abdul Hadi secara konsistennya menyuarakan sokongan kepada Taliban sejak parti politik itu ditubuhkan.
Ogos lalu, anak lelaki Abdul Hadi, Muhammad Khalil, yang merupakan pengerusi jawatankuasa hal ehwal antarabangsa dan perhubungan luar PAS, dalam ciapan di Twitter mengucapkan tahniah kepada Taliban selepas Amerika Syarikat dan anggota gabungan antarabangsa yang lain mengundurkan pasukan terakhir tentera mereka dari Afghanistan.
“Jelas sekali Kabinet tidak membuat keputusan mengenai [pentadbiran] Taliban, jadi [Abdul] Hadi Awang bertindak berani dengan menawarkan bantuan dan bentuk pengiktirafan tidak langsung semasa bertemu Taliban,” kata Chin kepada BenarNews.
“Beliau berada dalam kedudukan untuk menawarkan bantuan atas kapasiti peribadinya, atau [daripada] PAS, sebagai sebuah parti. Tetapi, jika anda membaca laporan itu dengan teliti, nampaknya beliau menawarkan bantuan bagi pihak kerajaan Malaysia. Itu yang saya rasa, dan ia agak luar biasa.”
Sementara itu, setiausaha politik beliau, Syahir Sulaiman, mempertahankan pertemuan Abdul Hadi dengan Shaheen dan mendakwa bahawa ia diatur oleh Kementerian Luar Qatar atas permintaan Malaysia.
“Sesi dengan wakil Afghanistan/Taliban di Doha adalah sesi 'dialog', yang diatur oleh [Kementerian Luar Negeri] Qatar atas permintaan kami,” kata Syahir dalam kenyataan pada Selasa, walaupun BenarNews tidak dapat mengesahkannya dakwaannya itu.
“[Seluruh dunia] berbincang dengan Afghan/Taliban melalui pelbagai saluran ‘dialog’ termasuklah OIC, PBB, AS, dan China,” kata beliau.
Sama ada pertemuan dengan pegawai Taliban itu merupakan pengiktirafan terhadap pentadbiran Taliban, Syahir berkata Abdul Hadi hanya mengulangi pendirian kerajaan Malaysia.
“Mengenai pengiktirafan…duta khas menyampaikan pendirian rasmi Malaysia yang sama seperti yang dinyatakan oleh [menteri luar].”
"Seperti yang EU katakan 'dialog tidak bermakna memberi pengiktirafan' tetapi ia adalah sebahagian daripada perbincangan operasi kami," kata Syahir dalam catatan di laman Facebook beliau.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.