Pemimpin Hamas Tidak Berada di Malaysia: Pegawai Kerajaan

N. Natha
Kuala Lumpur
2017-06-07
Share
170607-MY-hamas-620.jpg Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi sedang berdoa selepas solat di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, 20 Mei, 2017.
[AFP/NurPhoto]

Pegawai kerajaan Malaysia pada Rabu menolak laporan bahawa pemimpin-pemimpin kanan kumpulan militan Hamas, Palestin, yang Israel dan Amerika Syarikat telah jenamakan sebagai organisasi pengganas, berada di Malaysia selepas diminta untuk meninggalkan Qatar.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah menyemak dengan pegawai imigresen berkaitan laporan berita bahawa terdapat beberapa pemimpin Hamas berkemungkinan berada di dalam negara itu.

Laporan minggu ini, oleh media Israel, yang memetik sumber Palestin sebagai berkata kerajaan Qatar telah meminta beberapa pemimpin Hamas yang menginap di negara itu, untuk meninggalkan negara berkenaan dan mereka telah ke Malaysia, Lebanon atau Turki.

Pada hari Isnin, Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriyah  Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik dengan negara kecil, Qatar yang kaya dengan minyak atas dakwaan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dan Iran.

"Kami menolak khabar angin bahawa tiga pemimpin Hamas dari Palestin yang telah diberi perlindungan di Qatar, kini berada di Malaysia," kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia, kepada pemberita di satu majlis Ramadan di Kuala Lumpur.

Nama dua pemimpin Hamas yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Israel sebagai pengganas yang dikehendaki ialah Saleh al-Arouri dan Musa Dudin, adalah antara mereka yang berada dalam senarai yang diberikan oleh Qatar kepada organisasi Palestin dengan meminta mereka untuk meninggalkan negara kecil itu, kata Ynetnews, sebuah laman web yang berpangkalan di Israel.

"Nama-nama yang kami terima daripada sumber perisikan telah disemak dengan Jabatan Imigresen. Tiada nama itu yang memasuki Malaysia, "katanya tanpa memberikan nama-nama pemimpin Hamas berkenaan.

Menurut laporan oleh Times of Israel, pegawai-pegawai perisikan di negara itu percaya bahawa Arouri membantu merancang penculikan dan pembunuhan tiga remaja Israel pada bulan Jun 2014.

Haaretz, satu lagi saluran berita Israel, melaporkan bahawa Arouri adalah komander tentera yang mengawasi sel keganasan di Tebing Barat dan Dudin, yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan, telah menubuhkan sel di Gaza yang bertanggungjawab merancang serangan pengganas di Tebing Barat.

Pada Rabu, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar enggan mengulas mengenai laporan berkenaan semasa dihubungi BeritaBenar.

Tetapi Ketua Polis Negara itu berkata kepada akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Sun tidak ada kebenaran terhadap laporan itu.

"Laporan itu adalah palsu," katanya.

Hamas menafikannya, Qatar hanya berdiam.

Hamas, bagi pihaknya, menolak laporan yang pegawai-pegawainya telah diminta meninggalkan Doha, manakala pegawai Qatar terus berdiam diri mengenai perkara berkenaan.

"Kami dalam Hamas, menafikan dakwaan beberapa media mengenai senarai yang dikemukakan oleh Qatar termasuk nama-nama pemimpin Hamas yang telah diminta Qatar supaya meninggalkan negara itu," kata jurucakap Hamas Husam Badran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

"Kami memberi jaminan bahawa ini adalah sebahagian daripada perkara yang sentiasa dimainkan oleh beberapa media yang mempromosikan berita palsu mengenai Hamas sambil memutarbelitkan imej dan merosakkan hubungan luar negara."

Musuh lama Israel itu berada dalam senarai Pertubuhan Pengganas Asing, Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Hubungan Malaysia dengan Hamas

Selama ini, pegawai-pegawai Malaysia telah menyatakan simpati terhadap Hamas dan juga negara Palestin.

Parti pemerintah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak, telah menjadi tuan rumah kepada pemimpin Hamas pada acara-acara politik sebelum ini. Pada tahun 2013, Najib melawat Gaza dan semasa lawatan seharinya, beliau telah mendapat publisiti meluas serta mengadakan sidang media dengan pemimpin Hamas Ismail Haniya.

"Ini adalah lawatan kemanusiaan untuk menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza dan menyatakan penentangan kami terhadap pencerobohan ke atas Gaza," katanya kepada pemberita pada masa itu.

Lawatan itu mendapat maklum balas negatif daripada Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas, pemimpin utama parti politik Palestin yang lain, Fatah.

"Presiden Palestin mengumumkan penolakan dan mengutuk lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Gaza," satu kenyataan oleh agensi berita rasmi Palestin WAFA dipetik sebagai berkata.

Hamas mengawal Semenanjung Gaza manakala Fatah menguasai Tebing Barat yang berdekatan.
Setahun kemudian, Israel menuduh Malaysia  membenarkan militan Hamas menjalankan latihan ketenteraan di negara itu. Pegawai Malaysia telah menafikan dakwaan tersebut.

Pada Rabu, Zahid berkata Malaysia kekal mesra kepada semua bangsa dan menafikan bahawa Arab Saudi telah meletakkan tekanan ke atas kerajaan untuk memutuskan hubungan dengan Qatar.

"Masalah yang mereka hadapi adalah serantau dan kami berharap mereka akan dapat menyelesaikannya tidak lama lagi," katanya.

Terdahulu, Najib berkata Malaysia sedang memantau perkembangan di rantau itu.

"Kita sangat rapat dengan negara-negara Teluk dan kita tidak tahu apa isu sebenarnya, tetapi, pada masa ini, kita akan mengikuti perkembangannya," Najib memberitahu New Straits Times.

Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh