AS Failkan Pertuduhan Baru, Tambahan Terhadap Suspek Pengganas Indonesia, Hambali

Roni Toldanes
2019.04.12
Washington, District of Columbia
190412_ID_Guantanamo_main_1000.jpg Seorang anggota tentera berkawal di pintu masuk hadapan fasiliti tahanan keselamatan maksimum Kem Guantanamo 6 di Pangkalan Udara AS Teluk Guantanamo, Cuba, 12 Mei 2009.
[AP]

Pendakwa raya Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memfailkan pertuduhan baru dan tambahan terhadap Hambali, rakyat Indonesia yang ditahan di Guantanamo atas dakwaan mendalangi dua insiden pengeboman yang mengorbankan lebih 200 orang di tanah airnya, kata seorang jurucakap suruhanjaya ketenteraan pada Jumaat.

Pertuduhan tambahan itu termasuklah pertuduhan kelapan yang mendakwa Hambali, 54, bersubahat dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden serta 47 yang lain untuk melakukan serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara dan di tempat lain, menurut salinan kertas pertuduhan yang difailkan pada 5 April dan diperoleh oleh BeritaBenar.

Antara rakan subahatnya, menurut dokumen tersebut, adalah dua rakyat Malaysia yang turut ditahan di Guantanamo serta Khalid Sheikh Mohammad, yang dipercayai perancang serangan pengganas pada 11 September 2001 yang membunuh lebih 3,000 orang di Amerika Syarikat.

"Kami telah menerima makluman mengenai pertuduhan baru itu," kata Ron Flesvig, jurucakap Pihak Berkuasa Perhimpunan di Pejabat Pemerintah Tentera kepada BeritaBenar.

Flesvig berkata beliau tidak dapat menjelaskan mengapa pendakwa raya memfailkan pertuduhan baru itu, walaupun pihak berkuasa tentera belum memulakan prosiding bagi tujuh pertuduhan awal yang difailkan pada Jun dan Disember 2017.

Mejar James Valentine, peguam Hambali, menempelak tindakan memfaikan pertuduhan konspirasi itu sebagai ‘cubaan terdesak’ pihak pendakwaan untuk menyelamatkan kredibiliti suruhanjaya ketenteraan. Pihak berkuasa AS tidak mahu kes Hambali dibawa ke mahkamah kerana perbicaraan itu akan mendedahkan penyeksaan yang dilakukan pihak tentera terhadap anak guamnya, dakwa Valentine.

"Saya rasa AS tidak mempunyai kuasa moral atau keupayaan praktikal untuk membicarakan kes ini kerana dalam membicarakan kes ini, dengan mengikut piawaian hak asasi manusia dan peraturan undang-undang, mereka mesti mendedahkan jenayah penyeksaan," kata Valentine kepada BeritaBenar.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan AS untuk menunjukkan  bidang kuasanya ke atas kes itu, dan bukannya membenarkan Hambali untuk menghadapi perbicaraan itu di Indonesia, tempat di mana kebanyakan dakwaan jenayahnya itu berlaku.

"Dia warganegara Indonesia dan dia didakwa berhubung jenayah yang berlaku di bumi Indonesia," kata Valentine. "Saya fikir ini adalah suatu penghinaan kepada Republik Indonesia apabila AS menahan dan kemudian mahu membicarakan warganegaranya itu berbanding  menyerahkannya kembali kepada Indonesia."

Sama seperti dua pertuduhan terdahulu yang difailkan pada Jun dan Disember 2017, kertas pertuduhan terbaru itu masih mendakwa Hambali terlibat dalam kejadian pengeboman 12 Oktober 2002 yang membunuh 202 orang termasuk 88 orang rakyat Australia di pulau Bali di Indonesia.

Tujuh pertuduhan itu termasuklah pembunuhan, keganasan dan pemusnahan harta benda. Hambali juga dituduh merancang serangan bom kereta pada Ogos 2003 yang membunuh 11 orang termasuk seorang lelaki Belanda dan mencederakan 150 orang lain di Hotel J.W. Marriott di Jakarta.

Dalam pertuduhan konspirasi baru itu, pendakwa raya juga menamakan ulama Islam radikal Abu Bakar Bashir, yang sedang ditahan di penjara di Indonesia, sebagai seorang daripada rakan konspirasi utamanya. Dokumen undang-undang terbaru itu juga memberikan butiran tentang penglibatannya dalam membiayai pengeboman Bali dan rancangan keganasan lain di Asia Tenggara termasuk di Filipina, Singapura dan Australia.



Encep Nurjamen (juga dikenali sebagai Hambali) ditunjukkan dalam satu gambar tidak bertarikh oleh Pejabat Pembelaan Awam Persekutuan, di pangkalan AS di Teluk Guantanamo, Cuba. [Pejabat Pembelaan Awam Persekutuan melalui AP]

Dihantar ke sebuah rangkaian penjara rahsia CIA


Hambali, yang nama sebenarnya ialah Encep Nurjaman (alias Riduan Isamuddin), ditangkap di Thailand pada Ogos 2003 bersama-sama dua rakyat Malaysia, Bashir Lap (alias Lilie) dan Mohd Farik Bin Amin (alias Zubair). Selepas penangkapan ketiga-tiga lelaki itu, mereka dihantar ke sebuah rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke Guantanamo iaitu penjara tentera AS di Cuba pada 4 September 2006.

Pihak berkuasa tentera semasa di bawah pemerintahan Presiden Barack Obama telah mengklasifikasikan ketiga-tiga lelaki itu sebagai "tahanan tidak tetap" di bawah Undang-undang Perang, dengan mendakwa bahawa mereka terlibat dalam jenayah perang yang berlanjutan sejak 1993 dan dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan.

Di bawah sistem perundangan ketenteraan AS, pertuduhan yang telah dikemukakan oleh pendakwa raya  memerlukan persetujuan Pihak Berkuasa Perhimpunan, pejabat yang mengawal selia suruhanjaya ketenteraan itu, yang boleh memutuskan sama ada kes itu perlu dibicarakan.

Para pegawai Indonesia telah menyatakan tiga tahun lalu bahawa jika Hambali dibebaskan, mereka keberatan untuk menerima penghantaran pulangnya kerana bimbang kepulangannya boleh mencetuskan kebangkitan semula sel-sel pengganas dalam negaranya.

Valentine memberitahu BeritaBenar pada Khamis bahawa para pegawai Indonesia tidak pernah dibenarkan melawat anak guamnya itu, yang didakwanya, terus dirantai walaupun semasa dikurung.

"Dia dirantai di lantai sepanjang masa," kata Valentine sambil memberitahu bahawa anak guamnya "menjadi lemah akibat penyeksaan yang dialaminya." Beliau enggan mengulas lanjut.

Hampir 18 tahun selepas serangan pengganas 9/11, sistem suruhanjaya ketenteraan masih bergelut dengan berapa banyak bukti yang berkaitan dengan penyeksaan dan boleh digunakan semasa perbicaraan di Guantanamo, menurut New York Times.

"Mereka tidak boleh biar dunia tahu tentang apa yang mereka lakukan terhadapnya, jadi bagaimana mereka boleh laksanakan perbicaraan yang adil?" kata Valentine.

Para pegawai yang ditemu bual BeritaBenar berkata mereka tidak dapat menjelaskan mengapa pendakwa raya Pentagon mengambil masa lebih daripada 10 tahun untuk menyediakan pertuduhan terhadap Hambali.

Menurut apa yang dikatakan sebagai "Laporan Penyiksaan" Senat, yang diluluskan untuk siaran umum pada Disember 2012, Hambali tidak disoal siasat menggunakan teknik "waterboard" tetapi diperlakukan dengan "teknik yang lebih meluas" termasuk membuatnya berada dalam kedudukan menyakitkan dalam tempoh masa yang panjang dan dihentak ke dinding atau dibiarkan dalam keadaan berbogel dan dikurung di dalam kotak seperti keranda.

'Tidak ada pilihan'

Di Jakarta pada Jumaat, jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Arrmanatha Nasir, mengesahkan bahawa kerajaan Indonesia tidak mudah berhubung dengan Hambali kerana dia sedang ditahan di sebuah fasiliti ketenteraan.

"Proses itu perlu mematuhi peraturan ketenteraan, semua peguamnya adalah peguam tentera. Ada proses ketenteraan di sana kerana dia dianggap sebagai tahanan tentera dan mereka bertindak mengikut undang-undang tentera,"katanya kepada BeritaBenar.

Beliau juga berkata kakitangan Kedutaan Indonesia telah bertemu dengan peguam Hambali.

Ditanya sama ada Indonesia ada memohon penghantaran pulang Hambali, Arrmanatha menjawab, "Ada pilihankah?"

"Tidak ada pilihan," katanya. "Ini kerana dia ditahan di penjara tentera."


Ahmad Syamsudin di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.