Follow us

Pakatan Harapan Gabungan Terbaru Pembangkang

Hata Wahari
2015-09-22
E-mel
Komen
Share
Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia Wan Azizah Wan Ismail bergambar ketika tiba di pusat mengundi pilihan raya kecil Permatang Pauh, Pulau Pinang, 7 Mac 2015.
Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia Wan Azizah Wan Ismail bergambar ketika tiba di pusat mengundi pilihan raya kecil Permatang Pauh, Pulau Pinang, 7 Mac 2015.
AFP

Parti-parti pembangkang Malaysia pada Selasa mengumumkan pembentukan perikatan baru untuk mencabar Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihanraya umum akan datang yang dijangka pada awal tahun 2018.

Para pemimpin gabungan baru Pakatan Harapan (Alliance of Hope) itu juga mengisytiharkan Anwar Ibrahim, bekas pemimpim pembangkang yang kini dipenjarakan, sebagai calon Perdana Menteri jika memenangi pilihan raya umum akan datang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembentukan gabungan baru yang pada masa ini disertai oleh PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pakatan dari ketiga-tiga parti itu juga berharap dapat menjatuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpin oleh Naji yang turut menerajui Barisan Nasional. Umno yang didominasi orang Melayu telah memerintah Malaysia, sebuah negara pelbagai kaum sejak 1957, di mana parti-parti politik berasaskan kaum turut bergabung.

Dalam pada itu Parti Amanah adalah sebuah parti baru yang dibentuk di mana keanggotaannya terdiri daripada serpihan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Parti itu ditubuhkan selepas beberapa anggota dari golongan professional di dalam PAS kecewa apabila ditolak daripada memegang beberapa jawatan utama semasa muktamar tahunan PAS Jun lepas.

Disebabkan kekecewaan itu, bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu mengambil keputusan untuk mewujudkan sebuah parti baru yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada ahli PAS.

'Harapan' untuk rakyat

Wan Azizah yang juga isteri kepada Anwar berkata, persetujuan pembentukan gabungan pakatan pembangkang yang baru itu lahir daripada hasil rundingan meja bulat antara beberapa parti pembangkang pada Selasa.

"Ini adalah untuk rakyat" kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada media di Subang Jaya pada Selasa.

Beliau berkata "Persetujuan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri dicapai pada rundingan ini, kerana beliau adalah di antara kalangan pemimpin pembangkang yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak."

“Pakatan Harapan akan berfungsi sebagai satu pakatan politik yang jitu membela nasib rakyat dan besedia untuk menerima semua parti-parti politik lain untuk berhadapan dengan Umno dan BN," jelas Wan Azizah.

Pada 17 Jun lalu, gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP, sebuah parti kaum Cina dan PAS, parti yang berasaskan agama berkubur selepas tujuh tahun bersama, apabila PAS mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP semasa muktamar parti itu berlangsung.

Antara punca hubungan terputus adalah disebabkan PAS mahu melaksanakan hukum hudud - kanun jenayah syariah - di negeri utara pantai timur iaitu Kelantan, di mana parti Islam itu menerajui badan perundangan negeri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Azizah pada Jun lepas, mengenai perkara itu, beliau berkata “Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61. Tindakan tersebut telah mencetuskan kepada pengumuman Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP untuk menamatkan riwayat Pakatan Rakyat yang PKR anggap satu tindakan tergesa-gesa."

Tubuh Jawatankuasa

Dalam pada itu, persidangan meja bulat bagi membincangkan mengenai gabungan baru itu dihadiri 18 pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dan tokoh politik negara termasuk seorang pemimpin Umno yang lantang mengkritik tentang kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Najib.

Wan Azizah memberitahu, sebuah jawatankuasa yang akan diwakili oleh Setiausaha Agung bagi setiap parti akan ditubuhkan bagi memperhalusi terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah dasar bersama dan etika kerja.

Beliau yang optimistik dengan kewujudan gabungan baru ini, yang diyakini dapat memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia untuk melihat pembentukan sebuah negara yang lebih adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan kepada keluhuran undang-undang.

Katanya, pembentukan gabungan baru itu merupakan satu langkah perlu bagi membebaskan rakyat daripada tekanan ekonomi dan krisis kepimpinan ekoran kepincangan pentadbiran Najib.

“Kita memerlukan satu penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan rakyat akan terus jadi mangsa ekonomi dan berhadapan dengan permainan adu domba perkauman oleh sesetengah pihak.

“Harapan rakyat Malaysia sangat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkang yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir serta kepincangan pentadbiran Najib,” tambah beliau.

Selain Wan Azizah, Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut hadir.

Dalam pada itu, pemimpin PAS mengulangi bahawa parti mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada pakatan baru itu.

"Kita tidak dapat bersama Pakatan Rakyat 2.0 kerana adanya DAP dan Amanah yang kami anggap sebagai telah mengkhianati dan meninggalkan kami," kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, menurut Bernama, agensi berita nasional.



Lihat Laman Penuh