Follow us

Malaysia Mahu Perkenal Undang-undang Melarang Penghinaan Institusi DiRaja

Ali Nufael & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-10
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita pada satu sidang media di Putrajaya, 10 Januari, 2019.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita pada satu sidang media di Putrajaya, 10 Januari, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia merancang untuk memperkenalkan undang-undang melarang kenyataan yang “menghina” institusi diraja, kata seorang pemimpin kabinet pada Khamis, beberapa hari selepas kejutan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan penahanan tiga individu yang didakwa telah menghina baginda.

Tiga individu telah ditahan pada Selasa di bawah Akta Hasutan Malaysia berhubung komen yang kritikal mengenai peletakan jawatan itu, yang pertama seumpamanya dalam sejarah Malaysia dengan tiada alasan rasmi diberikan berhubung perkara berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan pada Khamis.

Diminta mengulas penahanan itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata undang-undang [Akta Hasutan] tersebut perlu dikaji semula bagi menentukan apa yang dianggap sebagai kenyataan menghina.

"Sekarang kita tidak tahu apa itu menghina dan pihak berkuasa sendiri kurang arif tentang apa yang boleh dianggap menghina dan apa yang tidak dianggap menghina,” kata pemimpin negara yang berusia 93 tahun itu.

"Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga jenayah itu berlaku pun kita tidak boleh sebut maka akan berlaku ketidakadilan," kata Mahathir di Putrajaya pada Khamis.

Terdahulu itu, Menteri Undang-undang Malaysia Liew Vui Keong berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk meluluskan undang-undang baharu dan mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi melindungi institusi diraja daripada “fitnah dan serangan yang tidak berasas."

"Buat masa sekarang, kita masih lagi terikat dengan undang-undang sedia ada tetapi pihak peguam negara dan saya telah melihat beberapa undang-undang yang perlu digubal. Kami sedang mengkaji dan melihat bentuk hukuman kerana pada masa ini hukuman yang dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan mencerca institusi raja adalah hukuman yang tidak berat," kata Liew merujuk kepada Akta Hasutan.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan melindungi institusi monarki di negara ini daripada serangan orang tidak bertanggungjawab. Kerajaan tidak pernah setuju dengan tindakan sesetengah golongan yang menghina raja-raja Melayu," tambah Liew lagi.

Dibebaskan

Mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung komen kritikal itu dikenali sebagai Eric Liew Chee Ling (pemilik akaun Facebook “Eric Liew”), 49; Azham Akhtar Abdullah (pemilik akaun Twitter @azhamakhtar), 26 dan Nur Alia Astaman (pemilik akaun Twitter  @aliaastaman), 27, demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Rabu.

Kesemua mereka telah dibebaskan pada Khamis selepas dua hari ditahan, tetapi masih di bawah siasatan. Mereka boleh berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM 5,000 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata "Pihak Polis terpaksa mengambil tindakan penahan tiga individu berkenaan di bawah Akta Hasutan kerana perbuatan sedemikian mungkin menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam”

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada pendakwaraya,” katanya sambil menambah dengan berkata “Undang-undang dan ketenteraman mesti dikekalkan, serta memelihara keselamatan negara dan keharmonian antara kaum, "

Di bawah Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua tertinggi persekutuan dan angkatan tentera selain berperanan sebagai ketua agama Islam di negerinya dan juga di negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang hanya mempunyai gabenor.

Sebelum tangkapan terbaru itu, pihak polis pernah menahan beberapa individu di bawah Akta Hasutan dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia.

Antara individu tersebut termasuk seorang doktor yang ditahan pada Februari tahun lepas kerana menghina sultan di Facebook manakala seorang wanita ditahan pada Julai, 2017.

Seorang peguam hak asasi manusia, Fadiah Nadwa Fikri, yang pernah menulis satu artikel yang dikatakan ‘menghina’ institusi raja-raja melayu pernah disoal siasat polis beberapa kali berkenaan artikel beliau dan sehingga kini, kes beliau masih dalam siasatan.

Institusi raja di Malaysia merupakan sistem Raja Berparlimen.

Di bawah Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mestilah melindungi kedudukan istimewa bangsa Melayu dan hak Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan juga hak-hak komuniti lain di dalam negara.

Yang di-Pertuan Agong turut merasmikan pembukaan sidang parlimen dan turut berkuasa untuk melantik ahli kabinet serta memberikan pengampunan diraja.

Berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V, Majlis Raja-Raja telah mengumumkan dua tarikh baru iaitu 24 Januari bagi pemilihan YDPA yang baru dan 31 Januari bagi upacara mengangkat sumpah.

Lihat Laman Penuh