Hospital Medan Malaysia Di Cox Bazaar Beroperasi 1 Disember

Hata Wahari
2017.11.21
Kuala Lumpur
171121-my-hospital-bangla-620.jpg Kelengkapan hospital medan Malaysia yang akan dipasang berhampiran kem pelarian Rohingya di Cox Bazar di Bangladesh sedang diangkut ke dalam perut kapal terbang untuk dihantar ke Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 21 November, 2017.
(Ihsan Angkatan Tentera Malaysia)

Hospital medan sumbangan kerajaan Malaysia bagi menampung keperluan mendapatkan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya, yang berada di kem pelarian di Cox Bazar, Bangladesh akan memulakan operasinya pada 1 Disember depan.

Menteri Kesihatan, Dr S. Subramaniam semasa dihubungi BeritaBenar pada Selasa memberitahu, persiapan untuk menghantar sepasukan 60 orang pegawai perubatan untuk berkhidmat di hospital medan tersebut sedang berjalan dan mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, pasukan pegawai perubatan yang telah dipilih itu akan dihantar minggu ini dan hospital medan berkenaan dijangka siap didirikan oleh pasukan ATM dalam beberapa hari lagi.

Dalam pada itu Ketua Pasukan Teknikal Pemasangan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen memberitahu BeritaBenar bahawa kelengkapan pembinaan hospital tersebut akan tiba di Chittagong pada Rabu menggunakan pesawat yang dibiayai sepenuhnya oleh MAS Cargo.

“Pasukan pemasangan yang terdiri daripada 28 orang anggota telah tiba di Ukhia, Cox Bazar sejak beberapa hari lepas dan kami sedang menunggu ketibaan segala peralatan hospital yang dijangka tiba dengan pesawat pada Rabu, untuk dibawa ke sini [Ukhia] dan seterusnya kerja-kerja pemasangan dapat dibuat untuk tempoh lima hari,” kata Dr Mohd Arshil ketika dihubungi oleh BeritaBenar di Ukhia, Cox Bazar, Bangladesh pada Selasa.

Katanya, sejak dua bulan lepas, pasukan teknikal pemasangan ATM itu telah membuat pelbagai persiapan dan latihan rapi di lokasi pembinaan dijangka berjalan lancar bagi merealisasikan hasrat menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada para pelarian.

Perdana Menteri, Najib Razak semasa melawat contoh hospital medan di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Wangsa Maju pada 5 November lepas turut mengumumkan bahawa penghantaran hospital medan itu akan dibuat pada 20 November dan akan didirikan ATM  tetapi pengendaliannya dijalankan oleh Kementerian Kesihatan serta sukarelawan.

“Hospital medan Malaysia akan dibuka di Bangladesh bagi membantu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari konflik di barat Myanmar, dan akan beroperasi selewat-lewatnya 1 Disember depan,” katanya sambil menambah ia adalah usaha secara bersama dan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dan rakyat Malaysia dalam terus memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pelarian Rohingya.

Pada masa ini terdapat dua hospital medan di Cox's Bazar yang dibangunkan oleh Palang Merah Norway dan Bulan Sabit Merah Bangladesh bagi menampung keperluan ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh.

Kebanjiran terbaru umat Islam Rohingya ke tenggara Bangladesh didorong oleh tindakan keras pihak tentera Myanmar di Rakhine, yang disusuli oleh serangan yang dilakukan oleh pemberontak Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) terhadap pos-pos polis dan tentera di sana pada 25 Ogos lalu.

Kira-kira sejuta pelarian Rohingya, termasuk mereka yang melarikan diri sejak keganasan awal berlaku di Rakhine, kini mendapatkan perlindungan di Bangladesh.

Pemasangan hospital enam hari

Hospital medan itu yang akan dibina kira-kira 10 hingga 15 minit (jika berjalan kaki) dari kem pelarian wilayah Cox's Bazar, Bangladesh, dan bakal dilengkapi bilik bedah, x-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik bersalin dengan kapasiti maksimum 100 katil.

Subramanian juga menegaskan yang kementerian berkenaan telah membuat keputusan menempatkan pegawai perubatan seberapa lama yang diperlukan dan sekiranya lama, pihak kementerian akan membentuk beberapa pasukan yang akan berkhidmat secara bergilir.

Suruhanjaya Penasihat Rakhine, yang dilantik oleh kerajaan Myanmar dan diketuai oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, telah mengeluarkan laporan akhir pada 24 Ogos lalu di mana ia menyenaraikan cadangan untuk mencari penyelesaian bagi ketegangan yang berlaku di Rakhine. Ini termasuk menuntut supaya dikaji semula undang-undang kewarganegaraan Myanmar, dan menamatkan pelbagai sekatan lain terhadap kaum Rohingya, kumpulan minoriti tanpa negara yang menduduki negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.