Malaysia Tutup Hospital Medan di Cox’s Bazar Secara Rasmi

Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-22
Share
201022-BD-BU-US-donors-rohingya_inside_620.jpeg Seorang budak lelaki Rohingya yang cedera duduk di luar perkarangan Hospital Medan Malaysia selepas mendapatkan rawatan di Cox's Bazar, Bangladesh, 27 Januari 2018.
[Kamran Reza Chowdhury/BeritaBenar]

Malaysia secara rasminya telah menutup hospital medannya di Cox’s Bazar, Bangladesh dua tahun lebih awal dari tarikh yang dirancang berikutan risiko yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19, demikian menurut sumber kerajaan.

Penutupan Hospital Medan Malaysia [HMM] itu telah diputuskan Kabinet pada awal bulan ini di mana pada Mac lepas semasa pengumuman penutupan dibuat yang pada masa itu bersifat sementara waktu, kata sumber yang tidak boleh dinamakan kepada BeritaBenar pada Khamis.

“Kenyataan sebelum ini dibuat berdasarkan penarikan balik petugas pada Mac kerana COVID-19 dan pada masa itu juga sudah dicadangkan untuk menamatkannya secara rasmi tetapi kelulusan mengenai penutupan itu hanya diperolehi baru-baru ini,” tambah sumber itu lagi.

Menurut sumber, pada mulanya hospital tersebut telah dicadangkan untuk dibuka semula selepas pandemik reda sebaliknya tiada sebarang tanda yang COVID-19 akan berakhir buat masa ini.

“Ya…, pada Mac lalu operasinya dihentikan buat sementara sehingga COVID-19 reda. Tapi kelihatan seperti tidak nampak yang tanda-tanda akan reda dengan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi menjelang Januari 2021,” katanya sambil memaklumkan yang semua petugas telahpun kembali ke Tanahair tetapi segala peralatan masih berada di Cox’s Bazar.

“Kita belum lagi mengambil peralatan untuk dibawa pulang. Pada masa ini ianya agak berisiko untuk kembali ke sana,” kata sumber tanpa mengulas lanjut.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Bangladesh, jumlah terkini kes COVID-19 adalah sebanyak  394,827 kes jangkitan dengan 5,747 kematian yang telah dilaporkan bagi negara itu.

Hospital yang pada mulanya dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia itu telah beroperasi sejak November 2017 dan lima bulan selepas itu, iaitu pada Mac 2018 Angkatan Tentera Malaysia telah mengambil alih operasi HMM itu dengan tempoh kendalian operasi yang dipersetujui sehingga Disember 2021.

Hospital itu sehingga kini sudah merawat 108,038 pesakit dan mengadakan 3,500 pembedahan, di mana 900 daripadanya adalah pembedahan untuk penyakit berisiko tinggi.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam kenyataannya pada Rabu yang memaklumkan bahawa HMM dikendalikan oleh 56 kakitangan secara sistem penggiliran yang terdiri daripada 20 orang pegawai Angkatan Tentera Malaysia termasuk lapan orang Pakar Perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat dari Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta enam jururawat awam.

Sehingga Mac lepas, ATM telah menghantar sebanyak lima pasukan perubatan ke HMM dengan menawarkan perkhidmatan kelas 3 walaupun terletak di luar kem pelarian.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, x-ray dan rawatan-rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal,” kata MINDEF.

180202-MY-BD-Rohingya-SS-03.jpg

Papan tanda yang menunjukkan lokasi Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh, 26 Jan, 2018. [Kamran Reza Chowdhury/BeritaBenar]

Trend penurunan pesakit

Sepanjang tempoh di sana, petugas perubatan terdedah kepada risiko kesihatan dan keselamatan seperti wabak COVID-19 dan ancaman penyakit berjangkit serta peningkatan kes jenayah di kalangan penduduk setempat dan pelarian Rohingya.

Menurut MINDEF jumlah pesakit yang semakin berkurang kerana kedudukan hospital yang berada di luar kawasan kem pelarian dan tahap kesihatan pelarian Rohingya yang semakin baik membawa kepada keputusan kerajaan untuk menutup perkhidmatan hospital itu sepenuhnya.

“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, Kerajaan telah memutuskan agar pengoperasian HMM ditamatkan lebih awal iaitu pada tahun 2020 berbanding dengan mandat operasi sehingga Disember 2021,” kata kementerian dalam kenyataan itu.

Selain itu, pelarian turut mempunyai pelbagai pilihan hospital untuk menerima rawatan kerana terdapat enam hospital medan yang sehingga sekarang masih beroperasi di kawasan itu.

“Trend penurunan bilangan kes dan kehadiran pesakit ini adalah berikutan keadaan di kawasan kem pelarian semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik berikutan penyakit kronik telah diberikan rawatan sewajarnya dan banyak prosedur pembedahan telah berjaya dilaksanakan.

“Selain itu, terdapat penambahan enam buah hospital medan di dalam kawasan kem pelarian kendalian Kerajaan Turki dan NGO antarabangsa lain seperti Mèdecins SansFrontiéres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship.

“Pertambahan bilangan hospital medan ini telah memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya dan penduduk tempatan yang secara langsung
telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada HMM yang terletak di luar kawasan kem pelarian,” kata MINDEF.

Menurut MINDEF, penubuhan hospital medan itu telah berjaya mencapai sasaran dan objektif penubuhannya dan tindakan penutupan tidak memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta terhadap imej negara.

Kata kementerian itu lagi, Malaysia sangat prihatin terhadap krisis kemanusian yang dihadapi Rohingya dan akan terus memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan isu Rohingnya di peringkat global.

“Kepulangan petugas perubatan ATM membolehkan Hospital Angkatan Tentera beroperasi sepenuhnya dan membantu kerajaan menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula” kata MINDEF.

Malaysia yang sedang dilanda gelombang ketiga berdepan dengan kenaikan jangkitan koronavirus yang tinggi dengan jumlah harian positif berada pada purata 800 setiap hari sejak seminggu lalu.

Sehingga kini negara itu merekodkan sejumlah 23,408 kes jangkitan dengan 204 kematian telah dilaporkan manakala di peringkat global, lebih dari 41.5 juta jangkitan dicatatkan dengan lebih 1.13 juta penduduk dunia meninggal akibat pandemik tersebut.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh