Seorang rakyat tempatan saman dua bekas perdana menteri batal projek landasan kereta api laju
2023.01.31
Kuala Lumpur

Seorang rakyat tempatan telah memfailkan saman terhadap dua bekas Perdana Menteri Malaysia kerana dikatakan telah menyalahgunakan kuasa serta cuai berkenaan pembatalan projek landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura tiga tahun lepas.
Mohd Hatta Sanuri, 47, plaintif dalam tindakan undang-undang tersebut, menuntut supaya bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang menangguhkan projek HSR, dan Muhyiddin Yassin, yang membatalkannya, membayar RM1 juta (AS$ 234,457) kepada setiap warga Malaysia kerana tindakan mereka yang didakwa telah mengakibatkan negara terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM366 juta (AS$ 85.8 juta) kepada Singapura kerana melanggar perjanjian tersebut.
Lelaki itu memfailkan writ saman terhadap Mahathir dan Muhyiddin, yang merupakan perdana menteri Malaysia ketujuh dan kelapan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin, di mana beliau turut menuntut supaya projek kereta api berkelajuan tinggi itu disambung semula.
Menurut dokumen mahkamah serta writ saman yang dilihat BenarNews, Mohd Hatta turut menamakan Mustapha Mohamed, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal ekonomi; bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.
Dalam saman yang difailkan beliau, Mohd Hatta mendakwa bahawa Mahathir "telah melakukan kecuaian, ketinggalan serta penyalahgunaan jawatan awam atau tort ‘misfeasance in public office’ apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR yang telah menyebabkan kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura sebanyak hampir RM46 juta (AS$ 10.78 juta)".
Mohd Hatta juga mendakwa bahawa Muhyiddin telah turut melakukan kecuaian dan penyalahgunaan jawatan awam sebagai perdana menteri pada 2020 dengan membatalkan projek HSR pada 31 Disember 2020, satu tindakan yang dikatakan telah menyebabkan Malaysia terpaksa membayar lebih RM320 juta (AS$ 75 juta) sebagai pampasan kepada Singapura pada 2021 kerana melanggar perjanjian dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara.
"Plaintif membawa tindakan mewakili dirinya sendiri dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh defendan-defendan," kata Mohd Hatta dalam penyata tuntutannya yang difailkan di mahkamah.
Selain itu, Mohd Hatta turut menuntut deklarasi dibuat terhadap pembatalan projek HSR yang diumumkan oleh Muhyiddin pada 31 Disember 2020 adalah batal dan tidak sah, serta perintah restitusi terhadap Mahathir dan Muhyiddin serta dua orang bekas menteri supaya membayar kembali keseluruhan jumlah pampasan kepada kerajaan Malaysia.
BenarNews telah menghubungi pejabat Mahathir untuk mendapatkan komen dan dimaklumkan pegawainya yang bekas perdana menteri itu masih belum menerima surat saman berkenaan, manakala komen daripada Muhyiddin dan Wee tidak mendapat balasan sehingga berita ini ditulis.
Jimat masa perjalanan
Projek HSR yang bernilai AS$12.3 bilion itu meliputi laluan kira-kira 350 kilometer (217 batu) dengan 335km melibatkan Malaysia manakala 15km lagi di Singapura, dengan dua trek laluan bertentangan. Ia bakal menyaksikan pergerakan kelajuan melebihi 300km sejam.
Perjalanan kereta api laju itu akan bermula dari Bandar Malaysia, di Kuala Lumpur ke Jurong East, di negara jiran itu dengan melibatkan enam stesen perantaraan lain iaitu Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Ia dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan antara kedua-dua negara, berbanding dengan perjalanan kereta api sedia ada pada jarak yang sama mengambil masa hampir 11 jam manakala perjalanan darat melalui Projek Lebuhraya Utara-Selatan adalah kira-kira lima jam.
Projek juga bertujuan menyediakan alternatif kepada laluan udara Singapura-Kuala Lumpur, yang mencatatkan 30,537 penerbangan antara kedua-dua bandar raya itu pada 2017, menjadikannya laluan paling sibuk di dunia, menurut Forum Ekonomi Dunia.
Cadangan pembinaan projek landasan itu telah diumumkan pada 2013 oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak dengan perjanjiannya ditandatangani pada 13 Dis 2016.
Selepas gabungan parti politik Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, Mahathir yang baharu dilantik semula sebagai perdana menteri buat kali kedua telah mengumumkan keputusan Putrajaya untuk membatalkan rancangan projek berkenaan kerana ia menelan belanja yang ‘amat besar’ selain menghasilkan pulangan pelaburan yang rendah.
Bagaimanapun, kira-kira dua bulan selepas itu, Mahathir dilaporkan memberitahu media tempatan bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membatalkan projek HSR kerana ia akan menyebabkan negara terpaksa membayar pampasan yang tinggi kepada Singapura, namun penangguhan boleh dibuat terhadap projek berkenaan.
Kedua-dua negara kemudiannya telah bersetuju untuk penangguhan projek sehingga 31 Mei 2020, dan pada saat akhir tempoh penangguhan itu tamat, Putrajaya yang semasa itu di bawah pimpinan Muhyiddin telah mengumumkan perlanjutan tempoh penangguhan projek landasan tersebut kepada tujuh bulan lagi dengan tarikh akhirnya pada 31 Dis 2020.
Malaysia pada September tahun yang sama juga telah menandatangi perjanjian pembayaran sebanyak AS$10.9 juta kepada Singapura kerana penangguhan tersebut.
Kedua-dua negara berkenaan kemudiannya dilaporkan telah bersetuju untuk membatalkan projek HSR awal Januari 2021 dan pada Mac tahun yang sama, Malaysia dilaporkan telah membuat pembayaran sebanyak SG$102,815,576 atau RM320,270,519.24 (AS$76.3 juta) kepada Singapura sebagai pampasan penuh bagi pembatalan projek berkenaan.
Menurut laporan media tempatan Mohd Hatta adalah Ahli Majlis Perbandaran Kuala Selangor, dan juga ahli Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.