NGO Malaysia Tuntut Akauntabiliti Kerajaan, Tindakan Terhadap Pemerdagangan Manusia

Melati A. Jalil
2016.07.26
Kuala Lumpur
160726-my-1-human-trafficking-620 Susan Coppedge, Duta kanan Amerika Syarikat yang memantau dan membenteras pemerdagangan manusia bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, 26 Julai, 2016.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap kes-kes penyeludupan manusia jika mereka serius untuk menangani masalah itu, kata para pemimpin NGO pada Selasa semasa seorang pegawai kanan Amerika Syarikat yang pakar dalam isu berkenaan, melawat negara itu.

Wakil dari beberapa NGO tempatan menyuarakan pandangan mereka di suatu mesyuarat yang berlangsung malam Isnin di Kuala Lumpur bersama wakil Jabatan Negara AS, Susan Coppedge, yang memantau dan memerangi penyeludupan manusia.

Kumpulan itu turut memberitahu Coppedge mengenai kekecewaan mereka terhadap kerajaan Malaysia yang tidak mengambil tindakan susulan yang tegas selepas penemuan puluhan kubur dan mayat mangsa pemerdagangan manusia di dalam hutan di Perlis, negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Kami merasakan bahawa Malaysia boleh membuat pelbagai undang-undang mengenai pemerdagangan di negara ini, tetapi tanpa penguatkuasaan yang tegas, semua ini tidak ada gunanya," kata Sumitha Shaanthinni Kishna, penyelaras kumpulan kerja mengenai penghijrahan, Migration Working Group, salah sebuah NGO kepada BeritaBenar.

"Itulah antara perkara yang kami maklumkan kepada beliau [Coppedge]. Kami lebih mengambil berat tentang apa yang sebenarnya berlaku dan bukan apa yang tertera di atas sekeping kertas (dokumen).”

Menurut Kishna, Malaysia perlu memberi penekanan kepada usaha untuk melindungi mangsa. Beliau melahirkan harapan bahawa Coppedge dapat menyampaikan kebimbangan berkenaan kepada pegawai Malaysia semasa lawatan dua harinya itu.

Coppedge tiba di Malaysia di tengah-tengah rungutan bahawa negara Asia Tenggara tersebut telah gagal untuk menyiasat kes ratusan kubur mangsa yang disyaki diperdagangkan serta mengambil tindakan untuk mendakwa penjenayah yang terlibat di dalam kes berkenaan.

Jabatan Negara telah menghadapi kritikan meluas selepas ia mengeluarkan Malaysia, rakan kongsi perdagangan utama AS, daripada senarai hitam negara-negara yang gagal memenuhi standard minima terhadap perhambaan zaman moden, dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) edisi 2016 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Laporan itu menyatakan bahawa kubur, yang terdapat di kedua-dua belah sempadan Malaysia-Thailand yang mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya Islam dari Myanmar dan pendatang Bangladesh, ditemui pada Mei 2015.

"Kerajaan (Malaysia) menyoal siasat beberapa pegawai selepas penemuan ratusan kubur di sempadan Thailand, tetapi tidak mendakwa mana-mana pegawai yang bersubahat dalam jenayah pemerdagangan manusia itu," kata laporan berkenaan.

Laporan TIP juga menyatakan bahawa bilangan siasatan kes pemerdagangan menurun kepada 24 kes pada tahun lepas berbanding 186 kes yang disiasat pada 2014.

Selepas Jabatan Negara menerbitkan laporan itu pada bulan lepas, ia telah menerima teguran hebat daripada seorang senator Amerika Syarikat, Bob Menendez (Demokrat dari negeri New Jersey), seorang anggota kanan Jawatankuasa Senat untuk Hal Ehwal Luar Negara, dengan mempersoalkan kredibiliti kedudukan Malaysia di dalam laporan tersebut.

"Saya percaya bahawa kedudukan (yang ditentukan untuk sesebuah negara di dalam laporan itu) mestilah berdasarkan kepada penilaian objektif dan melepasi standard minima di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan; usaha sesebuah negara untuk bertemu dengan mangsa; dan kesan tindakan kerajaan di dalam memperbaiki kehidupan mangsa. Tiada pertimbangan lain diperlukan, " kata beliau.

Kekurangan kesungguhan

Kekurangan pendakwaan membuktikan terdapatnya kekurangan kesungguhan politik untuk menyelesaikan masalah penyeludupan manusia, menurut Glorene A. Das, yang mengetuai Tenaganita, sebuah NGO Malaysia yang menyokong hak-hak untuk pendatang dan pelarian, sejak 25 tahun yang lalu.

Penemuan kubur di dalam hutan membawa kepada penahanan 12 anggota polis, yang didakwa dikaitkan dengan penyeludup manusia di sempadan Malaysia-Thailand, tetapi tidak seorang pun daripada mereka telah didakwa di bawah undang-undang setakat ini, katanya.

Terdapat beberapa tangkapan melibatkan warga asing, rakyat Malaysia serta kakitangan kerajaan Malaysia tetapi setakat ini, hanya seorang rakyat Bangladesh yang telah dikenakan tindakan pendakwaan. Walau bagaimanapun, tiada pihak berkuasa atau pegawai kerajaan yang telah didakwa," Das memberitahu BeritaBenar.

"Kadar pendakwaan tidak menggalakkan. Nampaknya tiada kerjasama dan penyelarasan antara agensi-agensi kerajaan, yang secara kebetulan menjalankan tugas penguatkuasaan anti-pemerdagangan manusia, "katanya.

Menurut Das, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, mesti bertanggungjawab dan telus di dalam usaha untuk mendakwa semua pegawai atau rakyat Malaysia yang terlibat di dalam kes kubur mangsa-mangsa pemerdagangan, kerana kes tersebut telah lama tertangguh.

Pada Jun, mahkamah Malaysia menghukum seorang lelaki Bangladesh selama 10 tahun selepas beliau mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pemerdagangan manusia di mana sejumlah106 kubur, yang dipercayai mengandungi mayat kaum Rohingya Islam, ditemui di kawasan tersebut pada Mei 2015.

Pada hari Selasa, Coppedge bertemu dengan Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, pejabat Zahid berkata, Malaysia telahpun melaksanakan usaha untuk memerangi penyeludupan manusia.

"Timbalan Perdana Menteri menyatakan kesediaan negara untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam bidang pembinaan keupayaan, termasuk pendakwaan, hukuman, mengenal pasti mangsa eksploitasi buruh dan buruh paksa," kata kenyataan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.