Mahkamah Syariah Malaysia penjarakan ibu tiga anak, ubah tarikh lawatan anak

Seorang ahli perniagaan telah memfailkan permohonan mendakwa wanita itu menghina mahkamah kerana mengubah tarikh lawatannya
Ronnie Bergman & Noah Lee
2022.06.27
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Mahkamah Syariah Malaysia penjarakan ibu tiga anak, ubah tarikh lawatan anak Emilia Hanafi berpakaian putih tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, 27 Jun, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2022-06-27

Bermula Isnin, seorang ibu tunggal di Malaysia yang memiliki tiga anak terpaksa menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana mengubah tarikh bekas suaminya melawat anak mereka, satu perbuatan yang dianggap menghina Mahkamah Syariah yang bertanggungjawab bagi hal ehwal keluarga Islam di negara itu.

Pada April, seorang Ahli Parlimen turut dijatuhi hukuman penjara seminggu kerana mengkritik keputusan mahkamah sama terhadap Emilia Hanafi yang didakwa adalah bukti bahawa undang-undang itu tidak adil kepada wanita beragama Islam.

Emilia, bekas isteri seorang ahli perniagaan daripada sebuah keluarga kaya dan ternama, menyerah diri kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada pagi Isnin sebelum dihantar ke sebuah penjara di Selangor untuk menjalani hukuman itu.

"Saya berasa kecewa kerana terpaksa ke penjara atas kemungkinan ketidakadilan penghakiman dan ketidakadilan perjalanan mahkamah yang saya lalui.

"Saya cuba menyelesaikan perkara ini melalui Semakan Kehakiman Sivil tetapi permohonan saya untuk mendapatkan perintah menggantung (keputusan mahkamah) dengan segera tidak berjaya. Mahkamah ingin mendengar daripada semua pihak pada tarikh lain iaitu 20 Julai 2022.

"Untuk tidak merumitkan keadaan, saya menyerah diri tetapi saya melakukan perkara ini dalam protes... Fokus saya akan terus pada anak-anak saya yang merupakan hidup saya. Saya lakukan ini untuk tiga anak lelaki saya. Saya harap seseorang akan meneliti kes-kes syariah seperti ini dan buat apa yang betul," katanya.

Emilia telah memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang didakwa tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

Wanita berusia 43 tahun itu dijatuhi hukuman penjara pada 2019 selepas bekas suaminya memfailkan permohonan kepada mahkamah supaya beliau dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas Emilia mengubah tarikh lawatan ahli perniagaan tersebut untuk bertemu anak-anak mereka.

Pada April, Ahli Parlimen pembangkang Maria Chin Abdullah telah dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari kerana mengkritik hukuman terhadap Emilia. Bagaimanapun, beliau berjaya memperoleh perintah penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Maria sebelum ini mendakwa hukuman terhadap Emilia membuktikan bahawa wanita telah dilayan secara tidak adil di bawah sistem perundangan syariah.

Kumpulan pejuang hak wanita Sisters in Islam (SIS) pula menyifatkan Isnin sebagai hari yang gelap untuk semua wanita terutama kaum ibu dan para isteri kerana terpaksa menyaksikan apa yang berlaku kepada Emilia.

"Sistem kehakiman Syariah, yang sepatutnya bertanggungjawab menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan ahli keluarga terbabit daripada ditindas, sebaliknya telah bertindak untuk mengeluarkan waran tangkap penjara selama 7 hari ke atas ibu tersebut hanya kerana beliau menukar tarikh lawatan bekas suami atas permintaan anak-anaknya," menurut SIS dalam satu kenyataan.

SIS juga menambah bahawa ramai wanita beragama Islam telah meminta nasihat guaman percuma daripada mereka dan berkongsi kesukaran mereka dalam mendapatkan tuntutan bayaran alimoni, nafkah anak dan hak penjagaan di bawah sistem Mahkamah Syariah.

Bagi Mufti Wan Salim Wan Mohd Noor, hukuman ke atas seseorang individu harus ditentukan dengan mengambil kira situasi yang mungkin menyebabkan perlakuan tertuduh.

"Sesiapa yang belajar dan mengamalkan undang-undang syariah akan faham bahawa undang-undang adalah berdasarkan ciri-ciri keadilan, belas kasihan dan kebijaksanaan," katanya kepada BenarNews.

"Apa-Apa yang tidak mengikut ciri-ciri ini bukan undang-undang Islam, walaupun ia adakalanya dilabelkan sedemikian. Oleh itu, sesiapa yang merasakan bahawa hukuman dijatuhkan ke atas mereka sebagai tidak adil, layak untuk memfailkan permohonan supaya kesnya dibicarakan semula di mahkamah lebih tinggi."

Siti Kasim, peguam yang telah memberikan khidmat secara pro bono kepada Emilia, memaklumkan BenarNews bahawa keputusan mahkamah itu adalah sesuatu yang tidak wajar kerana terdapat hukuman lain seperti denda atau penjara minimum.

Beliau berkata hukuman ke atas Emilia adalah bukti jelas ketidakadilan yang berlaku terhadap wanita oleh Mahkamah Syariah.

"Saya berasakan bahawa terdapat ketidakadilan yang berlaku terhadapnya dan ia adalah penting untuk kita bawa ke tengah isu mengenai wanita ditindas di Mahkamah Syariah," katanya.

Sementara itu, Akberdin Abdul Kader, peguam yang mewakili bekas suami Emilia iaitu SM Faisal, memberitahu BenarNews bahawa wanita tersebut sering mengubah tarikh lawatan anak guamnya.

"Emilia tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk mengubah tarikh lawatan atau memutuskan bila bapa itu boleh melawat anak mereka, dan membawa mereka ke luar negara tanpa persetujuan bapa itu," katanya.

"Telah banyak kali peluang diberikan... Namun ibu itu tidak memberikan kerjasama untuk membolehkan lawatan dibuat seperti yang telah diarahkan oleh mahkamah," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh