Penculikan Warga Indonesia di Perairan Sabah, Jakarta Panggil Duta Besar Malaysia

Tia Asmara
2020.01.23
Jakarta, Indonesia
200123_ID_fisherman_1000.jpeg Muhammad Farhan (berbaju biru), seorang nelayan Indonesia yang dibebaskan dari cengkaman tebusan kumpulan Abu Sayyaf, di selatan Filipina semasa majlis mempertemukannya dengan keluarga beliau oleh Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi (ketiga dari kiri) di Kementerian Luar Negeri Indonesia, di Jakarta , 23 Januari, 2020.
(Tia Asmara/BeritaBenar)

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata beliau telah memanggil duta besar Malaysia di Jakarta berkaitan insiden penculikan lima anak kapal nelayan Indonesia di perairan Sabah dan meminta Kuala Lumpur mempertingkat langkah menjaga keamanan di wilayahnya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia Zainal Abidin Bakar berjanji akan mengkaji semula prosedur kawalan keselamatan dan mengingatkan pemilik kapal di negara itu agar mematuhi waktu beroperasi pada sebelah malam di perairan yang berbahaya.

Retno menggesa pihak berkuasa Malaysia agar memantau pemilik kapal dalam usaha mengutamakan keselamatan anak kapal nelayan di perairan Sabah, yang kebanyakannya berasal dari Indonesia.

"Kami mohon pihak berkuasa di sana meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Malaysia agar penculikan tidak berlaku lagi," kata Retno kepada pemberita di Jakarta.

"Jika tidak, penculikan akan terus berlaku dan ini tidak boleh dibiarkan kerana sekiranya berlaku penculikan, mereka ini (para pemilik kapal) tidak mahu bertanggungjawab," kata beliau.

Para penculik yang disyaki daripada kumpulan Abu Sayyaf di Filipina selatan telah menawan kapten kapal Arsyad Dahlan dan empat kru iaitu Arizal Kastamiran, La Baa, Riswanto Hayano dan Edi Lawalopo dari perairan Tambisan di Sabah pada 16 Jan lalu.

Sementara itu, tiga nelayan lain iaitu Abdul Latif, 37, Daeng Akbal, 20, dan Pian Janiru, 36, dilepaskan dan dibiarkan berada di atas kapal mereka sendiri. Mereka kemudian kembali ke Sabah pada keesokan harinya.

Daripada sejumlah 13 kes penculikan oleh Kumpulan Abu Sayyaf yang membabitkan 44 warganegara Indonesia (WNI), hampir semua berlaku di perairan Sabah, Malaysia yang terletak di utara Kalimantan, kata Retno.

Zainal Abidin pula berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar Indonesia untuk membincangkan langkah bagi memperkukuh koordinasi dan kerjasama antara tiga negara.

"Kami juga akan mengkaji semula mekanisme antara petugas di tiga negara. Kami juga kesal kerana insiden ini berlaku lagi," katanya kepada pemberita di Kementerian Luar di Jakarta.

Malaysia juga akan menilai prosedur operasi standard sehingga mampu membuahkan hasil yang lebih efektif dan langkah yang perlu diambil jika insiden serupa berulang, kata Zainal Abidin.

Duta Besar Malaysia itu berkata pihaknya akan memperketat peraturan terhadap nelayan agar mereka tidak memasuki kawasan yang terdedah dengan penculikan.

Pihak berkuasa Malaysia berjanji akan segera menyelesaikan masalah ini dan melakukan segala yang terdaya untuk menghentikan insiden penculikan, kata beliau lagi.

Antara maklumat yang diterima ialah nelayan yang diculik didapati menangkap ikan semasa perintah berkurung pada waktu malam. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kami sedar kami harus memberikan nasihat yang lebih tegas kepada pemilik kapal Malaysia agar mereka sentiasa mematuhi peraturan sedia ada. Dan amat sukar untuk mengawal pemilik kapal juga nelayan jika mereka membuat keputusan sendiri tetapi mereka yang akan menanggung akibatnya," katanya.

Mempertingkat Rondaan

Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI) Kementerian Luar Joedha Nugraha berkata pemerintah Indonesia juga meminta Malaysia mempertingkat rondaan pada sebelah malam dan mengenakan tindakan yang tergas terhadap mereka yang melanggar larangan belayar di perairan kawasan yang sering berlakunya kes penculikan.

“Kejadian terakhir berlaku pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan dan pada masa itu adalah waktu perintah berkurung,” katanya sambil menambah yang punca insiden penculikan berulang kerana majoriti anak kapal yang bekerja di Sabah adalah warga Indonesia.

“Jadi memang secara sosiologi rakyat tempatan Malaysia tidak tertarik lagi untuk bekerja sebagai anak kapal, tetapi ramai daripada mereka menjadi pemilik...  jadi posisi anak kapal semuanya diisi oleh warga Indonesia. Oleh itu, berkemungkinan mangsa penculikan adalah warga negara Indonesia,” kata beliau.

Meskipun pentadbiran kerajaan Malaysia sudah menguatkuasakan larangan menangkap ikan pada waktu malam, tetapi masih banyak yang masih melanggar larangan itu.

“Banyak pemilik kapal yang meminta untuk menangkap ikan di sana atau kapten kapalnya nekad untuk ke kawasan itu kerana terdapat banyak ikan walaupun dilarang,” katanya.

Menurut data Kementerian Luar Negara Indonesia, jumlah warga Indonesia yang bekerja sebagai anak kapal di Sabah dianggarkan antara 1,000 hingga 1,500 orang.

Malaysia, Indonesia dan Filipina dijangka mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat bagi menilai insiden penculikan terbaru itu. Penyelesaiannya sudah tentu melibatkan alternatif ekonomi yang akan kami fikirkan. Tidak selamat untuk mereka menangkap ikan tetapi mereka perlu meneruskan kehidupan, ini yang sedang dibahaskan,” ujar Joedha lagi.

Serah pada keluarga

Kementerian Luar Indonesia juga menyerahkan tawanan terakhir Abu Sayyaf yang dibebaskan iaitu Muhammad Farhan kepada keluarganya.

Muhammad Farhan, 27, merupakan tawanan Abu Sayyaf yang berjaya dibebaskan oleh pasukan keselamatan Filipina pada 15 Januari lepas. Sebelum itu beliau dikatakan telah berjaya meloloskan diri daripada penculiknya dan disebabkan tersesat semasa melarikan diri itu, beliau ditangkap semula oleh penculik.

Kepulangan Farhan ke Jakarta diuruskan oleh Duta Besar Indonesia ke Filipina, Sinyo Sarundajang, dengan diiringi oleh anggota keluarga mangsa termasuk kakaknya, Sri Wahyuni.

“Terima kasih kepada pemerintah, akhirnya adik saya bisa tiba di sini dengan keadaan selamat. Kami sekeluarga sangat bersyukur,” kata Sri.

Farhan bersama-sama ayahnya, Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 26, telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf semasa mencari udang di perairan Lahad Datu, Sabah di Malaysia pada 23 Sept tahun lepas.

Maharudin dan Samiun telah dibebaskan pada pertengahan Disember dan dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing pada 26 Dis 2019.

Penculikan terhadap warga Indonesia di perairan Malaysia telah berlaku sejak 2016. Sejumlah 44 warga Indonesia telah diculik oleh Abu Sayyaf dan 38 orang daripada mereka berjaya dibebaskan. Seorang maut semasa usaha pembebasan dilakukan pada akhir tahun lalu manakala lima lagi masih ditawan.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius insiden penculikan lima warga Indonesia di perairan Sabah pada 16 Jan lepas.

“Adalah ditegaskan bahawa kesemua usaha-usaha kesepakatan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak tahun 2016 telah dan sedang dilaksana oleh ATM,” kata ATM dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan pada Khamis di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.