Penyitaannya 'Tidak Sah', Hakim Indonesia Perintah Kapal Layar Jho Low Dikembalikan

Rina Chadijah & Hareez Lee
2018.04.18
Jakarta & Kuala Lumpur
180417_ID_Equanity_1000.jpg Kapal layar Equanimity yang didaftarkan di Pulau Cayman dan dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia Jho Low, sedang berlabuh di Pelabuhan Benoa di Bali, 13 April 2018.
[AFP]

KEMASKINI pada 13.00 p.m ET - 2018-04-19

Polis Indonesia pada Selasa bersetuju untuk melepaskan sebuah kapal layar mewah, di tengah-tengah siasatan yang berkaitan dengan dana pelaburan negara Malaysia, 1MDB, selepas seorang hakim Jakarta memutuskan bahawa tindakan penyitaan kapal itu adalah "tidak sah dan tidak berasas dari segi undang-undang."

Dalam sidang pengadilan yang dijalankan pada Selasa, hakim Pengadilan Negeri Jakarta Selatan, Ratmoho, memutuskan untuk memihak kepada Equanimity (Cayman) Ltd, pemilik kapal bernilai $250 juta itu, yang telah mencabar tindakan penyitaan kapal layar itu di mahkamah-mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat.

"Kami memutuskan bahawa penyitaan (kapal layar itu) oleh pihak polis itu adalah tidak sah dan tidak berasas dari segi undang-undang," kata Ratmoho pada sidang pengadilan itu.

Pada 27 Feb lalu, polis Indonesia dan ejen FBI menyerbu masuk ke dalam Equanimity, yang mengibarkan bendera Pulau Cayman ketika ia berlabuh di Teluk Benoa di selatan Bali, merampas dokumen dan menyiasat 34 anak kapal susulan permintaan penyiasat di Amerika Syarikat.

Rudy Heriyanto, seorang pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia berkata, pihak berkuasa tempatan membantu FBI menyita kapal layar itu namun, berjanji untuk mematuhi keputusan mahkamah.

"Kami akan mematuhi perintah Mahkamah Jakarta Selatan dan akan segera memulangkan kapal layar itu kepada pemiliknya," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Penyitaan dicetuskan FBI


Sementara itu, di Kuala Lumpur, Equanimity (Cayman) Limited mengeluarkan satu kenyataan media pada Rabu yang menyambut baik keputusan mahkamah Indonesia itu dengan berkata, keputusan itu  membuktikan bahawa mahkamah Indonesia berjaya menegakkan kedaulatan undang-undang dan sekaligus mengesahkan bahawa rampasan kapal layar yang dicetuskan oleh FBI adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang.

"Insiden tersebut adalah satu lagi contoh dunia berhubung tindakan tidak adil oleh kerajaan Amerika Syarikat, yang bertindak ekstrem  dan tidak wajar untuk merampas aset dari seluruh dunia sambil terus mengelak untuk membuktikan adanya merit terhadap kes itu," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menyatakan bahawa Equanimity (Cayman) Limited adalah pemilik sah kapal layar Equanimity dan merupakan Pihak Yang Menuntut dalam tindakan pelucuthakan DOJ.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa bahawa ahli perniagaan Malaysia, Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho, telah membeli kapal layar mewah itu dengan wang yang diselewengkan dari dana negara Malaysia yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos 2017, DOJ mengumumkan bahawa ia sedang mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana dari 1MDB. Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat belum lagi mendakwa sesiapa pun bagi jenayah yang berkaitan dengan dakwaan penyelewengan itu.

Ditubuhkan pada 2009 dengan matlamat untuk mendapatkan projek-projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada warganegara Malaysia, 1MDB menjadi tumpuan penyiasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland dan Singapura.

Dalam sidang pengadilan pada Selasa, Hakim Ratmoho memutuskan bahawa penyitaan Equanimity itu menyalahi undang-undang dan polis Indonesia telah melangkaui pihak berkuasa berkenaan selepas menerima surat daripada FBI yang menyuarakan hasratnya untuk melaksanakan operasi secara bersama.

"Membatalkan surat penyitaan polis bertarikh 26 Feb 2018. Memohon pempetisyen supaya memulangkan kapal layar itu kepada pihak yang menuntut," kata Ratmoho.

Andi Simangungsong, seorang peguam untuk Equanimity Cayman Ltd, menyambut baik keputusan mahkamah itu.

"Dengan keputusan ini, apa yang penting bagi kami ialah kapal layar ini dibatalkan penyitaannya ... dikembalikan kepada pemiliknya," katanya sambil memberitahu  bahawa kapal itu akan beredar meninggalkan perairan Indonesia tidak lama lagi.

"Selepas para penyiasat melepaskan kapal ini, kami akan menyerahkannya kepada anak guam kami," katanya.

Bukti tiada kaitan


Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Eric See To berkata, berita mengenai penyitaan itu dan dakwaan terhadap hartanah berkaitan 1MDB serta pentadbiran Najib sengaja dicetuskan dan diperbesar-besarkan, dan keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa kapal layar itu sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB.

"Kapal itu milik sebuah syarikat di Pulau Cayman dan jelas bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB. Ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan 1MDB dan kerajaan [Malaysia]," kata See To kepada BeritaBenar pada Rabu.

Pakar Strategi Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia Azmin Hassan bersetuju dengan kenyataan See To dan mengatakan bahawa keputusan mahkamah Indonesia itu adalah betul dari sudut pandangan undang-undang.

Beliau berkata, tidak ada peruntukan undang-undang untuk merampas Equanimity kerana pemiliknya tidak pernah didapati bersalah atas penyelewengan dana 1MDB di Indonesia.

Sambil menyatakan keadaan sama juga berlaku terhadap Perdana Menteri yang teruk dituduh terlibat dalam skandal termasuk skandal kewangan 1MDB, Azmi berkata, Najib tidak pernah didakwa atau didapati bersalah atas kesalahan itu oleh DOJ atau Jawatankuasa Akaun Awam Malaysia (PAC).

Beliau memberitahu bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib telah dibuat tanpa bukti dan digunakan sebagai senjata politik oleh pihak-pihak tertentu.

Sementara itu, C4, sebuah badan bukan kerajaan yang berpejabat di Kuala Lumpur berkata, keputusan mahkamah pada Selasa hanya berdasarkan isu-isu teknikal dan tidak mempertikaikan penyiasatan yang dilakukan terhadap penyelewengan dana 1MDB.

Pengarahnya Cynthia Gabriel menarik perhatian bahawa tindakan penyitaan itu menjadi tidak sah kerana kegagalan untuk memohon bantuan undang-undang bersama (MLA) dengan Indonesia, yang menurutnya, merupakan satu keperluan teknikal untuk menjalinkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan.

"Jabatan Kehakiman, atau lebih tepatnya Biro Penyiasatan Persekutuan, perlu menggunakan perkara ini dengan pihak berkuasa Indonesia.

“Ia tidak mempertikaikan hakikat bahawa kapal layar itu telah diperoleh secara haram dengan dana yang dicuri daripada 1MDB. Ia adalah tentang menggunakan mekanisme undang-undang yang betul," katanya kepada BeritaBenar.

Menurut DOJ, kes 1MD merupakan tindakan tunggal terbesar dalam sejarah inisiatif apa yang digelar sebagai kleptokrasi  oleh Washington, yang bertujuan untuk mengekang rasuah antarabangsa dengan mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada dana awam itu.

Jho Low tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam dana negara itu tetapi beliau "tetap mempunyai kawalan penting terhadap 1MDB" semasa pemerolehan Equanimity itu, menurut dokumen tindakan saman DOJ.

Dokumen-dokumen mahkamah mendakwa bahawa lebih daripada $730 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi "Pegawai Malaysia 1," rujukan kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

Najib, yang mengasaskan 1MDB dan sedang berusaha untuk memenangi pilihan raya bagi penggal ketiga, menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan  tuduhan  itu sebagai "gangguan yang tidak diperlukan negara."

Pendakwa Raya Persekutuan percaya bahawa wang yang digunakan untuk memperoleh kapal layar itu adalah sebahagian daripada $1.7 bilion hartanah dan aset lain yang cuba didapatkan semula oleh DOJ daripada lebih $4 bilion yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.


Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.