Follow us

Penyeludupan Manusia: Malaysia Tahan 18 Anggota Polis, Tentera Termasuk Pegawai Kanan

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-18
E-mel
Komen
Share
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menerangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, bagaimana sindiket yang ditumpaskan pasukannya beroperasi, di Johor Baharu, 18 Jun, 2020.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) menerangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, bagaimana sindiket yang ditumpaskan pasukannya beroperasi, di Johor Baharu, 18 Jun, 2020.
[Ihsan Polis Johor]

Polis Johor pada Khamis berkata seramai 18 individu termasuk pegawai kanan polis dan tentera telah ditahan dalam beberapa siri operasi sejak awal minggu kerana disyaki bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan manusia.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua pegawai yang ditahan termasuk mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dalam satu operasi yang dijalankan selama tiga hari sejak Isnin, kini disiasat berhubung pembabitan dalam sindiket penyeludupan manusia rakyat Indonesia melalui lorong tikus menggunakan jalan laut di negeri itu.

"Kesemua 18 suspek yang ditangkap terdiri daripada lima anggota Angkatan Tentera Malaysia [ATM] dan 13 anggota Polis DiRaja Malaysia [PDRM]. Dua pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat bagi ATM, manakala bagi PDRM seorang pegawai berpangkat ASP dan 12 anggota berpangkat rendah.

“Pegawai Kanan Polis berpangkat ASP yang ditahan bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri Johor. Seorang anggota berpangkat rendah pula adalah dari pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi [Johor]. Dua orang anggota bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi [Johor],” kata beliau semasa satu sidang media di Johor Baharu pada Khamis.

Ayob memberitahu BeritaBenar yang kesemua mereka bukan sahaja membocorkan maklumat operasi pihak berkuasa tetapi juga memainkan peranan melindungi pendatang asing.
"Ada yang terbabit dalam sindiket sejak 2017 dan ada juga yang baru menyertai kumpulan sindiket ini. Mereka juga melindungi pendatang asing yang diseludup keluar dan masuk ke Malaysia dalam laluan - Malaysia ke Batam, Indonesia," tambah beliau.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 dan 41 tahun yang disiasat di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

"Siasatan mendapati mereka dipercayai menerima imbuhan mencecah sehingga RM10,000 (AS$2,336) bagi setiap transaksi penyeludupan yang biasa diberikan dalam bentuk wang tunai," kata Ayob sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Indonesia untuk mengesan saki baki serta ketua sindiket penyeludupan manusia itu.

Beliau juga memberitahu yang sindiket berkenaan didapati merekrut penghubung (transporter) menerusi tapisan ketat sebelum diterima bekerja bagi mengelakkan jenayah terbongkar dan dikesan pihak berkuasa.

Tiada kompromi bagi ATM

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang, menyatakan yang angkatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dalam melakukan kegiatan jenayah.

"Ketegasan ini penting kerana ia mencerminkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

"ATM juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut supaya mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini dapat ditangani sepenuhnya. Penahanan mereka ini juga menunjukkan, keberkesanan Operasi Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menyatakan melalui Operasi Benteng yang melibatkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"Dari 1 Mei sehingga 17 Jun, seramai 850 PATI dan 153 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus. Turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 18 buah kapal," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Sindiket kaut RM60 juta keutungan

Sementara itu, menurut seorang pegawai kanan polis yang bertanggungjawab dalam Ops Benteng, sindiket yang ditumpaskan dan melibatkan pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi itu sudah mengaut keuntungan lebih RM60 juta (AS$14 juta) hasil penyeludupan keluar dan masuk puluhan ribu warga asing sejak enam tahun lalu.

"Sindiket yang merangkumi rakyat tempatan dan warga Indonesia ini sememangnya sangat terancang sebab itu mereka mengupah 'mata-mata' dalam kalangan pihak berkuasa sendiri, yang mempunyai peranan dan fungsi masing-masing," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau juga memberitahu yang sindiket berkenaan memberikan fokus kepada penyeludupan keluar masuk pendatang asing di pesisiran Pantai Timur Johor dan sindiket berlainan pula memberi fokus kepada Pantai Barat Johor.

"Semuanya memang memerlukan pembabitan pihak berkuasa tidak kira polis, tentera atau agensi lain, jika tidak taktik mereka pasti terbongkar.

"Pendatang asing yang ingin keluar masuk Malaysia biasanya akan ditetapkan bayaran mencecah RM1,400(AS$327) seorang," kata sumber itu lagi yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran bercakap dengan media.

Menurut sumber yang sama dalang sindiket itu dipercayai berada di Batam, Indonesia dan kini sedang dijejaki dengan bantuan polis negara berkenaan.

Lihat Laman Penuh