100 migran Indonesia dari wilayah sama mati di luar negara pada 2023

Kebanyakan mangsa menghidap penyakit kronik yang tidak didiagnosis sebelum meninggalkan negara itu, kata pegawai.
Pizaro Gozali Idrus
2023.08.30
Jakarta
100 migran Indonesia dari wilayah sama mati di luar negara pada 2023 Pekerja migran Indonesia Ari Rohman memunggah buah sawit ke dalam kereta sorong semasa musim menuai di sebuah ladang di Banting, Selangor, Malaysia, 10 Jun 2022.
[Hasnoor Hussain/Reuters]

Sakit dan bekerja terlalu teruk dikatakan menjadi penyebab kematian 100 migran yang berhijrah ke luar negara dari sebuah wilayah di timur Indonesia, demikian menurut sebuah agensi perlindungan pekerja kebangsaan Indonesia pada Rabu.

Sembilan puluh tujuh orang daripada mereka meninggal dunia sejak 1 Jan lepas di negara jiran Malaysia manakala bakinya di Laos, Papua New Guinea dan Gabon, kata Benny Rhamdani yang mengetuai Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia.

Pekerja yang meninggal dunia di Malaysia kebanyakannya bekerja dalam industri minyak sawit, kata beliau. Mereka terpaksa menempuh masa yang panjang untuk melakukan kerja-kerja yang teruk termasuk membersihkan kawasan, memotong rumput dan mengangkut buah sawit yang berat.

“Mereka bekerja berlebih-lebihan melepasi had normal. Mereka bekerja seperti buruh paksa jika mereka adalah pekerja haram kerana ia seolah-olah sama seperti perhambaan di zaman moden,” katanya kepada BenarNews.

Kesemua 100 orang yang meninggal dunia adalah antara hampir 600 migran tidak berdokumen yang telah meninggalkan rumah mereka di wilayah Nusa Tenggara Timur yang miskin pada 2023 untuk bekerja di luar negara.

“Kesemuanya adalah pekerja haram,” kata Benny merujuk kepada pekerja terbabit yang telah meninggal dunia.

Sebelum meninggalkan Indonesia, kebanyakan mereka menghidap penyakit kronik seperti masalah buah pinggang, paru-paru dan jantung serta tuberkulosis. Bagaimanapun, kebanyakannya tidak mengetahui keadaan kesihatan mereka kerana tidak menjalani pemeriksaan perubatan sebelum berhijrah ke luar negara, kata Benny.

Beliau turut mengesyaki bahawa sesetengah pekerja adalah mangsa sindiket penyeludupan manusia namun tidak memberikan sebarang bukti atau butiran lanjut.

Nusa TenggaraTimur, dengan kadar kemiskinan hampir 20 peratus, adalah antara wilayah termiskin di negara itu, menurut Statistik Biro Pusat.

Pejabat wilayah agensi pekerja imigran itu menyatakan bahawa sejumlah 5,098 orang telah meninggalkan Nusa Tenggara Timur untuk bekerja di 20 negara dari 2017 hingga 2023. Daripada jumlah tersebut, hampir 80 peratus telah bekerja di Malaysia.

Dianggarkan kira-kira 9 juta warga Indonesian yang bekerja di luar negara telah menghantar pulang berbilion-bilion dolar AS setiap tahun. Kebanyakan mereka bekerja dalam sektor berkemahiran rendah seperti perkhidmatan domestik, pembinaan dan pertanian di Malaysia, Singapura dan Arab Saudi.

Pekerja migran terbabit sering berdepan isu eksploitasi, penderaan dan penyeludupan oleh broker serta majikan yang tidak berperikemanusiaan yang mengambil kesempatan terhadap ketiadaan perlindungan dan dokumentasi mereka. Nasib kebanyakan mereka berakhir dengan terjebak dalam ikatan hutang, buruh paksa dan eksploitasi seksual.

Agensi perlindungan itu berkata sejak tiga tahun lepas, kira-kira 2,300 pekerja migran dari seluruh pelusuk negara itu telah meninggal dunia di luar negara.

Perjanjian yang ditandatangani

Indonesia telah menandatangani perjanjian dengan beberapa negara destinasi untuk meregulasi perekrutan dan penempatan pekerja migran terbabit namun sesetengah daripada mereka berhijrah ke luar negara melalui saluran yang tidak sah atau tinggal melebihi tempoh visa.

Judha Nugraha, Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar, berkata beliau tidak tahu jumlah pekerja migran dari Nusa Tenggara Timur di Malaysia.

“Kebanyakan pekerja migran Indonesia tidak melaporkan diri ke pejabat wakil Indonesia kerana status mereka yang tidak memiliki dokumen,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, bukan semua pekerja tidak berdokumen menjadi mangsa kepada sindiket penyeludupan manusia, katanya.

Undang-undang Indonesia mendefinisikan penyeludupan manusia sebagai satu tindakan menghantar, memindah dan menerima seseorang individu melalui ancanan keganasan, penculikan, penahanan, pemalsuan, penipuan, penyalahgunaan kuasa, ikatan hutang atau melakukan pembayaran atau memberikan manfaat untuk memperoleh keizinan daripada individu yang mempunyai kawalan ke atas individu lain.

Hermono, Duta Besar Indonesia Malaysia, berkata perlu ada asas yang jelas sebelum pekerja terbabit yang telah meninggal dunia diklasifikasikan sebagai mangsa penyeludupan manusia.

“Apakah asas untuk merumuskan bahawa mereka adalah mangsa sindiket penyeludupan manusia? Siapakah yang menentukan bahawa mereka adalah mangsa sindiket penyeludupan manusia?” katanya kepada BenarNews.

Ketika para pegawai tidak memiliki maklumat yang mengaitkan mangsa yang telah meninggal dunia dengan jenyah itu, pasukan petugas khas kerajaan berkaitan penyeludupan manusia berkata mereka telah memberkas 962 suspek dan menyelamatkan 2,549 mangsa sejak Jun lepas.

Wahyu Susilo, Pengarah Migrant Care, sebuah NGO yang memperjuangkan hak-hak pekerja migran, telah mengkritik Benny kerana telah melabel kesemua migran yang telah meninggal dunia itu sebagai pekerja haram.

“Itu adalah alasan bagi mengelak daripada memikul tanggungjawab," kata Susilo kepada BenarNews sambil menambah bahawa undang-undang telah mewajibkan semua pekerja migran diberi perlindungan tanpa mengira status mereka.

Beliau berkata kebanyakan migran tidak berdokumen kerana kerenah birokrasi dan proses penempatan yang mahal.

“Mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab denganmendakwa bahawa semua yang meninggal dunia itu tidak berdokuman dan menyalahkan mangsa," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.