Indonesia, Malaysia Gesa Diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN Bincang Krisis Myanmar

Ronna Nirmala & Muzliza Mustafa
Jakarta & Kuala Lumpur
2021-03-19
Share
Indonesia, Malaysia Gesa Diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN Bincang Krisis Myanmar Orang ramai menaburkan bunga pada potret mereka yang terbunuh di Myanmar semasa tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa tentera, di luar Bangunan ASEAN di Jakarta, 12 Mac 2021.
[Reuters]

Bimbang dengan tindakan keras junta tentera Myanmar terhadap para penunjuk perasaan, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Jumaat menggesa supaya diadakan sidang kemuncak khas ASEAN untuk membincangkan pergolakan yang berlaku di negara anggota ASEAN itu.

Muhyiddin dengan nada tegas mengecam tindakan junta tentera, yang telah menembak mati lebih 200 orang penunjuk perasaan yang kebanyakannya melakukan demonstrasi secara aman sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari, selepas kemenangan besar Liga Demokrasi Nasional yang diterajui pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi (NLD) pada pilihan raya umum November lalu.

"Kami di Malaysia dan rata-rata anggota komuniti ASEAN tidak sanggup melihat negara saudaranya, Myanmar, menjadi tidak stabil, berada dalam genggaman beberapa orang terpilih yang berhasrat untuk mengetengahkan kepentingan sendiri," kata Muhyiddin dalam kenyataan sambil menyokong gesaan Jokowi supaya diadakan sidang kemuncak khas pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu.

“Jelas sekali pergelutan politik semasa di negara itu hanya menjadikan rakyat biasa Myanmar sebagai mangsa. Ini tidak dapat diterima oleh nilai-nilai kepercayaan, hati nurani dan budaya kita.

"Ia bertentangan dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN, dengan kita di ASEAN komited untuk menggalakkan dan melindungi keamanan, keselamatan dan kemakmuran rantau kita supaya ia terus terjamin."

Muhyiddin berkata Malaysia "merasa amat bimbang dengan keadaan tragik" di Myanmar dan beliau turut "terkejut dengan penggunaan kekerasan serius berterusan terhadap orang awam tidak bersenjata hingga mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan selain penderitaan di seluruh negara itu.

"Ini tidak boleh dipersoalkan - penggunaan peluru hidup terhadap para penunjuk perasaan secara aman tidak dapat diterima langsung. Keadaan menyedihkan ini mesti dihentikan dengan segera. ”

ASEAN, yang mempunyai 10 negara anggota, dikecam kerana tidak serius dalam mengambil tindakan untuk menghentikan krisis yang semakin meningkat di rantau itu. Indonesia melancarkan usaha diplomatik sejurus selepas rampasan kuasa itu berlaku tetapi ia tidak berkesan dengan junta tentera terus melakukan kekerasan maut terhadap penunjuk perasaan aman.

Kira-kira 40 wartawan telah ditangkap sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, dengan separuh daripadanya masih dalam tahanan termasuk Thein Zaw dari The Associated Press. Dua lagi wartawan ditangkap pada Jumaat.

Jokowi menggesa supaya "dihentikan segera penggunaan kekerasan di Myanmar untuk mengelak lebih banyak kehilangan nyawa" dan menegaskan bahawa keselamatan rakyat Myanmar perlu diutamakan.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan Sultan Brunei Darussalam yang merupakan pengerusi ASEAN mengenai kemungkinan mengadakan sidang kemuncak khas ASEAN untuk membincangkan krisis di Myanmar," katanya.

Brunei, sebuah kesultanan kecil di pulau Borneo, menyandang jawatan pengerusi ASEAN secara penggiliran. ASEAN turut dianggotai Indonesia, Malaysia, Myanmar, Kemboja, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Jokowi menggesa pihak-pihak di Myanmar supaya memulakan dialog dan perdamaian bagi memulihkan demokrasi, keamanan dan kestabilan di negara itu.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga terus menekan junta supaya menghentikan keganasan dan mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Menteri Luar negara-negara anggota EU pada Isnin akan meluluskan sekatan terhadap 11 pegawai junta berikutan tindakan rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Di Washington pada Jumaat, Dewan Perwakilan AS membuat resolusi untuk mendesak junta supaya membenarkan Parlimen yang dipilih rakyat meneruskan tugasnya. Mereka juga mengutuk rampasan kuasa tentera di Myanmar dan menuntut pembebasan tahanan serta mengembalikan kebebasan media.

Gesaan tidak dilayani

Pada Khamis, panglima tentera Indonesia Marsyal Udara Hadi Tjahjanto menyuarakan "kebimbangan mendalam" mengenai peningkatan keganasan di Myanmar.

"TNI [Tentera Nasional Indonesia] sentiasa bersedia memberikan bantuan dan berkongsi pengalamannya dalam membangun pasukan pertahanan yang profesional di negara demokrasi," kata Hadi pada mesyuarat dalam talian ketua-ketua pertahanan ASEAN.

Indonesia, semasa di bawah kepimpinan bekas Jeneral Susilo Bambang Yudhoyono yang merupakan presiden pertama yang dipilih rakyat di negara itu, memainkan peranan penting dalam peralihan demokrasi Myanmar kira-kira sedekad lalu.

Dalam catatan Twitter pada Jumaat, Yudhoyono berkata beliau menyokong gesaan Jokowi supaya diadakan segera mesyuarat pemimpin tertinggi ASEAN bagi menangani krisis di Myanmar.

"Inisiatif ini bersesuaian dengan peranan tradisi Indonesia sebagai pendamai global dan penjaga keamanan," katanya.

Yudhoyono pernah menjadi pengantara konflik antara kerajaan dan etnik minoriti Myanmar serta memberi input dalam penggubalan undang-undang demokrasi dan menjemput pegawai berkenaan untuk mendalami institusi demokrasi. Tetapi, interaksi seperti itu semakin berkurangan semasa di bawah kepimpinan Jokowi, kata penganalisis.

Tidak lama selepas rampasan kuasa tersebut, Malaysia dan Indonesia menggesa supaya diadakan mesyuarat khas ASEAN mengenai Myanmar tetapi ia gagal mencapai kesepakatan dalam menuntut pembebasan segera pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain yang ditahan oleh tentera.

Sebaliknya, ASEAN hanya menggesa supaya dihentikan keganasan di Myanmar dan mendesak diadakan dialog bagi mengakhiri krisis itu.

Dalam pertemuan bersemuka dipercayai yang pertama diadakan antara kerajaan tentera Myanmar dan diplomat asing, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi memberitahu wakil junta itu pada akhir Februari lalu bahawa ia mesti mendengar suara rakyat Myanmar, mengelak daripada melakukan keganasan dan membenarkan proses peralihan demokrasi berlaku.

Tetapi, gesaan itu tidak dilayani.

Seorang penganalisis di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Dewi Fortuna Anwar, berkata ASEAN perlu mengeluarkan kenyataan tegas bagi menyokong demokrasi di Myanmar.

"ASEAN tidak mempunyai instrumen untuk mengenakan sekatan, tetapi ia boleh mengenakan tekanan terhadap junta supaya menghentikan kekerasan dan membuka laluan dialog dengan kepemimpinan NLD," kata Dewi kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada parti yang memenangi pilihan raya umum Myanmar pada November lalu.

Dewi berkata ASEAN berdepan cabaran untuk tampil dengan pendirian sama berikutan adanya pandangan berbeza di kalangan negara anggota itu mengenai rampasan kuasa di Myanmar.

“Di ASEAN, keputusan mengenai politik dan keselamatan juga perlu dibuat dengan sepakat. Oleh itu, sukar bagi ASEAN untuk membuat satu pendirian yang tegas," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh