Follow us

Malaysia Nyatakan Komitmen Lindungi Perairan Sabah

Arief Rahmat & Tia Asmara
Kuala Lumpur & Jakarta
2020-01-24
E-mel
Komen
Share
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia berjalan bersama dengan rakan sejawatannya Prabowo Subianto di Kementerian Pertahanan Indonesia di Jakarta, 24 Januari 2020.
Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia berjalan bersama dengan rakan sejawatannya Prabowo Subianto di Kementerian Pertahanan Indonesia di Jakarta, 24 Januari 2020.
(Ihsan Kementerian Pertahanan Indonesia)

Malaysia memberi komitmennya serta jaminan terhadap kesungguhan negara itu memastikan keselamatan maritim di Sabah, selepas kejadian terbaru penculikan yang melibatkan warga Indonesia di kawasan perairan negeri timur Malaysia yang berkongsi sempadan dengan Filipina dan Indonesia.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu yang membuat lawatan rasmi ke negara jiran Indonesia, dengan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Prabowo Subianto di Jakarta pada Khamis.

“Malaysia tetap komited dan memberi jaminan terhadap kesungguhan bagi memastikan keselamatan di kawasan perairan itu [Sabah],” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai lawatan menteri berkenaan ke Indonesia.

Kenyataan tersebut dibuat selepas pertemuan kedua-dua menteri pertahanan yang antara lain menyentuh mengenai kejadian penculikan terbaru yang melibatkan lima nelayan Indonesia di perairan Tambisan, Sabah.

Mohamad juga memberi penekanan terhadap kesungguhan dan jaminan komitmen Malaysia khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengamankan kawasan.

Pada 16 Januari lepas, lima nelayan warga Indonesia yang bekerja dengan bot nelayan Malaysia di Sabah, diculik di perairan negeri itu selepas enam lelaki bertopeng dan bersenjata menceroboh masuk bot dinaiki lapan lelaki dekat pulau Tambisan yang kemudiannya menuju ke perairan Filipina.

Pihak berkuasa tidak menyatakan kumpulan yang bertanggungjawab bagi penculikan terbaru itu, yang merupakan kejadian pertama bagi tahun 2020.

Bagaimanapun kumpulan Abu Sayyaf telah dipersalahkan bagi beberapa kejadian penculikan di rantau berkenaan sejak beberapa tahun lalu di mana pelayar dan nelayan Malaysia serta Indonesia dijadikan tebusan. Suspek kejadian penculikan sebelum ini akan menuntut wang tebusan bagi pembebasan mereka.

Aturan Kerjasama Trilateral

Pada pertemuan di Jakarta pada Jumaat itu juga, kedua-dua menteri menyatakan keyakinan mereka terhadap pelaksanaan perjanjian tiga hala berkaitan keselamatan di perairan Malaysia, Filipina dan Indonesia iaitu Aturan Kerjasama Trilateral (TCA) dalam menangani ancaman keselamatan maritim di perairan yang bersempadan.

Sehubungan itu, Mohamad dan Probowo telah menyatakan persetujuan mereka untuk bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana di luar penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) untuk membincangkan langkah meningkatkan TCA yang seterusnya pada Febuari depan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia itu lagi.

Sementara itu, Kementerian Petahanan Indonesia mengatakan kunjungan Mohamad bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan sedia ada berdasarkan kepentingan bersama, selain bekerjasama dalam membangunkan kerjasama industri pertahanan.

Kementerian Pertahanan Indonesia bagaimanapun tidak memperinci hasil pertemuan antara kedua-dua pemimpin pertahanan tersebut.

Pada Khamis Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata beliau telah memanggil duta besar Malaysia di Jakarta berkaitan insiden penculikan lima anak kapal nelayan Indonesia di perairan Sabah dan meminta Kuala Lumpur mempertingkat langkah menjaga keamanan di wilayahnya.

"Kami mohon pihak berkuasa di sana meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Malaysia agar penculikan tidak berlaku lagi," kata Retno kepada pemberita di Jakarta.

Duta Besar Malaysia Zainal Abidin Bakar yang ditemui di Kementerian Luar Indonesia berkata, negaranya sedia mengkaji semula prosedur kawalan keselamatan dan mengingatkan pemilik kapal di negara itu agar mematuhi waktu beroperasi pada sebelah malam di perairan yang berbahaya.

Mohamad juga menerima kritikan bekas menteri pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein yang antara lain dilaporkan sebagai berkata selepas hampir dua tahun Mohamad menerajui Kementerian Pertahanan, masih tidak ada perkembangan baru dan usaha untuk memantapkan inisiatif TCA yang turut membabitkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Tentera Filipina.

Menurut data Kementerian Luar Negara Indonesia, jumlah warga Indonesia yang bekerja sebagai anak kapal di Sabah dianggarkan antara 1,000 hingga 1,500 orang.

Penculikan terhadap warga Indonesia di perairan Malaysia telah berlaku sejak 2016. Sejumlah 44 warga Indonesia telah diculik oleh Abu Sayyaf dan 38 orang daripada mereka berjaya dibebaskan. Seorang maut semasa usaha pembebasan dilakukan pada akhir tahun lalu manakala lima lagi masih ditawan.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh