IDC: Negara-Negara Perlu Bekerjasama Perangi Psikologi Terhadap Radikalisme

Fahirul N. Ramli
2016.01.26
160126-MY-SEAMILITAN620 Imej ini diambil daripada video yang dirakamkan oleh Kumpulan Abu Sayyaf dan dikeluarkan oleh kumpulan pelampau Negara Islam, yang menunjukkan anggota militant berkumpul selepas melafazkan ikrar taat setia kepada pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi, dalam satu majlis di Basilan, Kepulauan Sulu, Filipina.
[Ihsan daripada Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan, Singapura]

Perang terhadap ektremisme keganasan gagal meraih kemenangan jika ia tidak dapat menyusup masuk minda anak muda yang mudah dipengaruhi untuk terjebak dalam radikalisme, kata penceramah pada akhir persidangan deradikalisasi antarabangsa di Kuala Lumpur.

"Tidak syak lagi ini adalah pertempuran dalam semua ruang-ruang siber,  medan dan minda," kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa semasa merasmikan penutupan persidangan dua hari itu yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari 19 negara termasuk semua 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

"Kita mesti  memastikan keberkesanan program pemulihan kita, kita mesti melibatkan semua pihak yang berkaitan. Adanya keperluan jelas untuk melibatkan diri dan melibatkan semula belia kita, "katanya.

Adalah penting bagi negara-negara yang memerangi ideologi dan pengaruh kumpulan radikal seperti Negara Islam (IS) untuk saling  bekerjasama,  kata Ahmad Zahid, untuk  mengatasi dan mematahkan apa yang beliau sifatkan sebagai "komitmen ghairah" yang ditunjukkan oleh  mereka yang menyertai kumpulan itu.

"(Ini) adalah semangat yang timbul daripada pematuhan amat mendalam dan kesetiaan kabur kepada satu misi, iaitu misi yang, sering kali, kebanyakan daripada mereka tidak memahami dengan sepenuhnya namun, memberikan kesetiaan dan komited [hingga] 100 peratus, "kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia.

Selepas menyampaikan ucapannya, Ahmad  Zahid mengadakan sidang akhbar di mana beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pusat digital serantau pada 1 Mei, yang misinya adalah untuk menangani  propaganda dalam talian IS.

Projek bernilai RM200 juta (US$46.8 juta)  itu sedang dibina menerusi perjanjian dua hala yang ditandatanganinya dengan Amerika Syarikat pada Oktober lalu. Apabila siap, pusat itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, kata beberapa pegawai.

'Penting'

Ahmad Zahid juga mengulas mengenai pentingnya dimensi psikologi yang disuarakan sebelum ini dalam kenyataan oleh pakar keganasan, Rohan Gunaratna, yang membuat pembentangannya pada sesi terakhir persidangan itu.

Kejayaan Malaysia dalam program  memulihkan mereka yang telah diradikalkan, boleh digunakan untuk semua negara-negara ASEAN, kata Gunaratna, kolumnis BeritaBenar yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.

"Ini memerlukan lebih banyak usaha dan kesungguhan, namun ia penting untuk mengurangkan dan mengakhiri ekstremisme, bukan sahaja di peringkat yang boleh dilihat dengan mata kasar, malah yang 'ghaib', di dalam minda, terutamanya dalam kalangan belia, "kata Gunaratna.

"Program Capaian Komuniti, kempen dalam talian, dan lain-lain perlu ditambah dan disebarluaskan, dengan membawa mesej yang IS adalah semata-mata salah tafsir dan salah gambaran tentang Islam ...," katanya.

Gunaratna kemudian memberitahu BeritaBenar bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia, negara itu bekerjasama dengan kerajaan Filipina dalam mencegah IS daripada berkembang ke negerinya, Sabah, dari selatan Filipina yang terletak berhampiran.

Kumpulan militan tempatan di selatan Filipina baru-baru ini melafazkan ikrar taat setia kepada IS dan Abu Bakr al-Baghdadi,  yang mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah,  kata Gunaratna dalam ruangannya untuk BeritaBenar awal bulan ini.

"Malaysia sepatutnya merasa bimbang  kerana ia secara langsung akan berkembang ke sempadan Borneo, bersama-sama dengan Sabah, negeri di negara itu...," kata Gunaratna.

Paradoks Moden

Beliau baru sahaja membuat pembentangan  bersama-sama dengan Zaini Othman, yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan dan Strategik (SASSREC) di Universiti Malaysia Sabah.

Dalam pembentangannya, Zaini menyentuh mengenai "paradoks global" dan ketegangan yang wujud di antara kemajuan zaman moden dan peningkatan selari dalam ideologi ekstremis dengan teknologi digital membantu menyebarkannya.

"Memandangkan isu radikalisme dan ekstremisme telah melangkaui sempadan negara-negara,  begitulah juga dengan penyelesaian," kata Zaini.

"Kesan yang tidak diingini, seperti kehilangan autonomi, kuasa dan kesahihan, mestilah dibendung dengan penuh waspada tanpa konflik yang tidak perlu yang timbul daripada kerjasama telus dan mulia dengan cara yang sistematik dan saling berkait dalam organisasi  pelbagai negara," kata Zaini.

Suhana Osman turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.