Malaysia Tumpas Sindiket Pemalsuan Kad Pelarian UNCHR, 16 Warga Asing Ditahan

Nisha David
2020.08.05
Kuala Lumpur, Malaysia
200805-MY-Imigresen1000.jpg Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud menunjukkan dokumen palsu yang dirampas dari sindiket pemalsuan dokumen warga Myanmar semasa sidang media di Putrajaya, 5 Ogos 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia telah menahan 17 suspek anggota sindiket yang menjual hampir 30,000 kad pelarian palsu UNHCR kepada etnik Rohingya, kata pegawai pada Rabu, sehari selepas Menteri Dalam Negeri memberitahu yang pihak berkuasa mahu mengkaji semula status pelarian di negara itu.

Hamzah Zainuddin, menteri dalam negeri semasa menjawab soalan di Parlimen tidak bersetuju yang kad identiti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) adalah satu dokumen yang sah dalam mengenal pasti pelarian termasuk kurang jelas dengan berfungsi sebenar kad tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan itu melibatkan 16 warga asing iaitu 15 lelaki Myanmar, seorang warga Bangladesh manakala seorang rakyat tempatan yang turut ditangkap ialah pemilik premis yang disewakan kepada sindiket itu.

"Sindiket yang mempunyai pelanggan di seluruh negara didalangi warga Myanmar dengan modus operandi yang mensasarkan etnik Rohingya dan Arakan Islam Myanmar yang baru tiba secara haram di Malaysia. Pemerhatian kami selama dua bulan mendapati antara 30 dan 50 dokumen palsu seperti kad UNHCR, kad pertubuhan Rohingya di Malaysia dan i-Kad Imigresen dikeluarkan setiap hari kepada pelanggan.... dan jumlah keseluruhan pengeluaran boleh mencecah sehingga 30,000 dokumen setahun.

"Dokumen palsu itu dijual antara RM30 (AS$7) hingga RM150 (AS$35.78) bergantung kepada jenis yang ditempah, dan ianya digunakan untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa," kata Khairul Dzaimee pada satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Beliau memberitahu aktiviti sindiket itu dikesan susulan siasatan yang dibuat terhadap pendaratan sekumpulan etnik Rohingya di Pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac tahun lalu dan kejayaan mematahkan sindiket tersebut adalah hasil perkongsian maklumat risikan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Khairul Dzaimee berkata, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk membolehkan kes itu juga dapat disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Kajian kerajaan

Sementara itu, Hamzah berkata kerajaan akan melihat semula pengeluaran kad UNHCR di negara berkenaan sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan termasuk pertimbangan mengenainya akan diserah kepada Kementerian Luar untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut mempersoalkan kedudukan pemegang kad UNHCR di Malaysia yang didapati meningkat jumlahnya.

“Kedudukan mereka yang memiliki kad UNHCR ini adalah sesuatu yang kita sendiri pun tidak faham kerana sepatutnya angka pemegang kad UNHCR tidak berganjak mahupun kekal,

“Kad UNCHR yang digunakan oleh mereka adalah sesuatu yang kadangkala kita sendiri tidak faham [bagaimana ia berfungsi],” demikian kata Hamzah semasa sidang Parlimen pada Selasa.

Pada April lepas, Menteri Dalam Negeri itu berkata Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian mana-mana kumpulan termasuk Rohingya walaupun mereka memegang kad UNHCR sebaliknya mengklasifikasikan mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

"Namun, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNCHR menerusi dasar 'satu kes ke satu kes'," katanya menerusi satu kenyataan pada masa itu, berhubung status pelarian Rohingya di Malaysia.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, sehingga Mac, 2020 terdapat 179,521 pemegang kad UNHCR di Malaysia dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya.

Pengenalan UNHCR

Usaha BeritaBenar menghubungi pejabat UNHCR pada Rabu bagaimanapun gagal tetapi pada lewat Julai lalu, jurucakap agensi itu memberitahu dokumen pengenalan pelarian yang dikeluarkan suruhanjaya itu adalah satu dokumen yang dikeluarkannya kepada individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa, yang sekaligus menyatakan mereka adalah dibawah perlindungan UNHCR.

Jurucakap itu berkata, dokumen UNHCR membantu seseorang pelarian atau pemohon suaka daripada dihantar pulang ke tempat asal di mana kebebasan atau hidup mereka dalam bahaya, berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa.

“Dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan memberikan satu tahap perlindungan yang boleh mengurangkan risiko pemegangnya daripada ditahan pihak berkuasa serta akses terhad kepada servis kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sokongan lain dari UNHCR serta agensi sekutu.

“Bagaimanapun, pemegang kad berkenaan masih tertakluk kepada undang-undang negara tuan rumah dan boleh dijatuhkan hukuman sekiranya mereka melakukan jenayah,” kata jurucakap itu.

UNHCR Malaysia juga menyatakan bahawa hanya mereka yang berjaya melepasi proses ketat termasuk sesi temuduga dan prosedur saringan untuk menentukan status pemohon samada pelarian sebenar atau sebaliknya, akan dikeluarkan dengan dokumen pengenalan tersebut.

"Melalui proses yang mantap dan penilaian tegas ini, UNHCR akan menentukan samada seseorang itu mempunyai permohonan yang sah untuk mendapatkan perlindungan antarabangsa. Dan dokumen dikeluarkan UNHCR mengiktiraf keperluan seseorang pelarian atau pemohon suaka bagi mendapatkan perlindungan antarabangsa," tambah jurucakap itu lagi kepada BeritaBenar.

 

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.