Warga Asing ‘Berkampung’ Di Pejabat Imigresen Tunggu Giliran Dapatkan Pas Khas

Nisha David
2019.12.23
Kuala Lumpur, Malaysia
191223-MY-Imigresen1000.jpg Warga asing tanpa dokumen dari pelbagai negara memenuhi ruang kaki lima bangunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, menunggu giliran untuk mendaftar bagi mendapatkan pas khas program pengampunan Back For Good yang akan berakhir pada hari terakhir bagi tahun 2019, 23 Disember, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Tinggal tujuh hari lagi sebelum program pengampunan Back For Good [B4G] berakhir, dan Malaysia sekali lagi mengulangi tidak akan melanjutkan tempoh masa program berkenaan walaupun ribuan warga  asing terpaksa berkampung diluar Ibupejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya untuk mendapatkan pas khas sebelum dibenarkan pulang ke negara masing-masing.

Ada di antara mereka yang sudah lebih lima hari berada di ibupejabat jabatan itu untuk menunggu giliran dengan terpaksa membeli tiket kapal terbang untuk kali kedua, kerana syarat mengikut program berkenaan perlu mengemukakan tiket yang sudah dibeli, selepas gagal untuk berdaftar bagi mendapatkan pas khas pengampunan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud berkata meskipun keadaan semakin genting pada masa ini, kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh masa program yang berakhir pada 31 Disember ini.

"Jumlah warga asing meningkat dengan mendadak kerana ramai yang suka menunggu saat-saat akhir dan beranggapan bahawa program ini akan disambung, tetapi keputusan sudah dibuat oleh kerajaan, dan tempoh masa program ini tidak ada sambungan. Program Pengampunan Back For Good (B4G) akan tetap berakhir pada 31 Disember ni," kata Khairul Dzaimee kepada BeritaBenar.

Beliau turut menjangka jumlah warga asing akan meningkat sehingga tarikh tamat program yang semakin hampir dengan Jabatan Imigresen telah melanjutkan tempoh waktu perkhidmatan kaunter yang dibuka sehingga jam 10 malam.

"Kami sudah lanjutkan tempoh operasi sehingga 10 malam setiap hari dan pejabat Imigresen seluruh Malaysia juga dibuka pada Sabtu dan Ahad," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau turut menasihati mereka yang berada di Lembah Klang untuk tidak bertumpu di Jabatan Imigresen Putrajaya dan Kuala Lumpur, sebaliknya boleh pergi ke pejabat Imigresen yang kurang sibuk seperti di Terengganu, Pahang dan di utara Semenanjung.

BeritaBenar melaporkan pada awal Disember lalu, seramai 111,000 pekerja asing tanpa dokumen sudah berdaftar di bawah program pengampunan Malaysia, B4G itu.

Seorang warga asing menunjukan pasportnya bersama tiket temujanji yang sudah diperolehi tetapi terpaksa menunggu giliran untuk dipanggil dan telah beberapa hari berada di kaki lima Ibupejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses seterusnya, Putrajaya, 23 Disember, 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Terpaksa berkampung berhabis duit

Sementara itu, Bilal Roshan, 49 tahun, seorang pekerja dari sektor perladangan dan sudah 12 tahun berada di Malaysia berkata, beliau terpaksa menambah RM600 (AS$144.85) lagi untuk membeli tiket penerbangan baru untuk pulang ke negara asalnya Bangladesh, kerana masih tidak mendapat pas khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen

Bilai yang mempunyai keluarga di Dhaka, berkata, beliau sepatutnya berlepas pulang pada 22 Disember namun sehingga Ahad masih belum berjaya mendaftar untuk mendapatkan pas khas Imigresen.

"Saya bukan sahaja terpaksa menambah wang untuk membeli tiket ganti yang dijadualkan pada 26 Dis depan, telefon bimbit saya juga hilang ketika mengecas di ruang pejabat Imigresen ini," katanya dengan sedih.

Menurutnya, beliau merebut peluang keemasan yang ditawarkan kerajaan Malaysia untuk dengan hanya membayar RM700 (AS$168.99) untuk pulang ke negara asalnya selepas permit kerjanya tamat dua bulan lalu.

"Saya nyaris kena tahan di Cameron Highlands dua minggu lepas. Ketika itu baru saya membuat keputusan untuk balik ke Bangladesh melalui program ini," katanya kepada BeritaBenar.

Bagi rakan senegaranya, Alamgir Hossain, 29, perjalanan pulang dengan tiket penerbangan pada Isnin menampakan seperti tidak akan menjadu kenyataan kerana masih lagi gagal untuk mendaftar walaupun sudah enam hari berada di pejabat itu dan tarikh temujanji yang diberikan oleh jabatan itu adalah pada Ahad, 22 Disember.

"Saya sudah tiada wang untuk membeli tiket baru. Saya sudah enam hari di sini, temujanji saya adalah pada 22 Dis tetapi disebabkan Ahad, cuma 200 nombor diberikan jadi saya tidak dapat untuk mendaftar.

"Saya tahu memang tidak dapat berbuat apa-apa lagi, tetapi masih menunggu dalam barisan ini dengan harapan untuk pulang. Nampaknya seperti saya perlu menyerah diri sahaja kepada pegawai Imigresen untuk ditempatkan di depot sebelum diusir pulang ke Bangladesh, kerana sudah tidak punya masa" katanya yang sudah empat tahun mencari punca pendapatan di Banting, Selangor.

Seorang lagi pekerja asing dari Bangladesh, Sayed Alamin, 58, yang sudah lima hari menunggu di barisan itu lebih kasihankan wanita warga asing yang sukar mendapat akses ke tandas selepas jam 8 malam.

"Kami lelaki, boleh kencing di mana-mana tetapi perempuan macam mana. Ramai yang tidur saja di sini dikelilingi lelaki. Nasib tiada sesiapa berani ganggu atau buat sesuatu yang tidak elok pada waktu malam," katanya yang sudah empat tahun bekerja di Malaysia.

Menurut Sayed, mereka akan diberikan satu kertas kecil yang tertera tarikh temujanji dan diminta berbaris mengikut tarikh berkenaan dan kadang kala ada juga yang cuba memotong barisan.

"Saya terpaksa pulan ke Bangladesh selepas ada seorang ejen melarikan wang tunai berjumlah RM3000 (AS$724.23) yang diberikan untuk tujuan memperbaharui permit kerja. Baik saya balik dengan kompaun RM700 (AS$168.99) daripada ditahan dan denda lebih tinggi dari itu," katanya kepada BeritaBenar.

Sehingga 28 Nov, seramai 111, 736 warga asing tidak mempunyai dokumen dan tinggal lebih masa sudahpun mendaftar di bawah program pengampunan B4G.

Untuk layak mengikuti program ini, mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Kedutaan masing-masing di Kuala Lumpur dan kemudiannya membeli tiket untuk pulang.

Bilangan peserta terbesar adalah dari Indonesia (53,328), diikuti oleh Bangladesh (38,724), India (22,964), Pakistan (5,755) dan Myanmar (6,923). Yang lain pula adalah dari Nepal, Nigeria, Sri Lanka, Filipina dan China.

Sebelum itu, satu lagi program pengampunan telah bermula pada 2014 yang membawa kepada seramai 840,000 pendatang meninggalkan negara itu selepas mereka membayar kira-kira RM400 juta (AS$95.9 juta) denda.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.