India Minta Bantuan Risikan Malaysia Mengenai Pembiayaan Rancangan Keganasan

Ulama India dan pemimpin etnik Rohingya menghantar wang sebanyak $200,000 dari Kuala Lumpur, menurut laporan dari India, yang memetik sumber perisikan.
Hadi Azmi, Nisha David and Muzliza Mustafa
2020.12.15
Kuala Lumpur
India Minta Bantuan Risikan Malaysia Mengenai Pembiayaan Rancangan Keganasan Pendakwah televisyen India yang berpangkalan di Malaysia, Zakir Naik, menunaikan solat di sebuah masjid di Melaka, Malaysia, 7 Sep 2019.
[Reuters]

New Delhi menghubungi pihak berkuasa Malaysia berubung laporan perisikan India yang mendakwa berlakunya transaksi wang sebanyak AS$200,000 yang didakwa dihantar dari Kuala Lumpur ke India untuk digunakan bagi membiayai serangan pengganas di benua itu dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang pegawai keselamatan kanan kepada BeritaBenar.

Menurut dokumen perisikan India yang dilihat oleh dua syarikat media terkemuka negara itu, wang tersebut dihantar oleh ulama Islam India yang bermastautin di Malaysia, Zakir Naik, dan seorang pemimpin etnik Rohingya dikenali sebagai Mohammad Naseer, bagi membiayai operasi pengganas diterajui seorang wanita di utara atau timur India.

"Mereka menghubungi kami untuk meminta maklumat lebih lanjut mengenainya pada hari laporan berita itu disiarkan," kata pegawai keselamatan Malaysia, yang tidak dibenarkan bercakap secara umum mengenai isu tersebut dan meminta namanya tidak disiarkan, dengan merujuk kepada laporan media India pada hujung minggu lalu.

BeritaBenar cuba menghubungi pegawai anti keganasan di India dan pegawai penyiasatan jenayah di negeri timur Bengal Barat bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, namun gagal, Kedutaan India di Kuala Lumpur juga tidak mengulas mengenai perkara itu.

Laporan dari India itu menyatakan bahawa New Delhi mengesyaki wanita yang mengetuai rancangan serangan pengganas itu telah dihantar dari Malaysia ke Myanmar untuk latihan, dan merancang menyusup masuk ke India melalui Bangladesh atau Nepal.

Pegawai anti keganasan Bangladesh memberitahu BeritaBenar bahawa mereka tidak menerima sebarang maklumat dari India mengenai dakwaan seorang suspek pengganas memasuki India melalui sempadan negaranya.

"Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan berlakunya penyusupan masuk ke India dari Bangladesh. India juga belum menghubungi kami mengenai perkara ini," kata Saiful Islam, timbalan pesuruhjaya Anti Keganasan dan Jenayah Rentas Sempadan Bangladesh.

Pegawai perisikan India mendapati bahawa seorang individu di bandar selatan Chennai menerima sebahagian daripada $200,000 yang dihantar dari Kuala Lumpur, kemungkinan melalui sistem pemindahan wang bukan perbankan yang dikenali sebagai hawala, lapor media India.

Malaysia belum menerima sebarang bukti dari India mengenai dakwaan transaksi kewangan itu tetapi bank pusat negaranya sedang meneliti perkara tersebut, kata pegawai keselamatan Malaysia itu.

"BNM (Bank Negara Malaysia) masih meneliti rekod transaksi. Walau bagaimanapun, sebarang transaksi hawala tidak akan muncul dalam rekod kewangan rasmi. Rekod Hawala juga sangat sukar untuk dibuktikan kerana ia bukan rekod rasmi,” kata pegawai itu kepada BeritaBenar.

"Memandangkan pihak berkuasa India mendakwa mereka telah memintas rekod kewangan itu, saya mengesyorkan anda supaya mendapatkan maklumat terus daripada BNM kerana Zakir Naik dikaitkan dengan transaksi tersebut. Kami juga menunggu mereka untuk menjelaskan perkara ini. "

BNM tidak mengulas pertanyaan BeritaBenar.

Lelaki Rohingya yang tidak dikenali

Zakir, pendakwah televisyen yang tegas, meninggalkan India pada 2016 dan kemudian menjadi pemastautin tetap di Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Muslim. Beliau menghadapi pertuduhan di India berkaitan pengubahan wang dan mencetuskan kebencian menerusi khutbahnya yang disiarkan di Peace TV.

Pihak berkuasa India menuduh Zakir memberi inspirasi kepada beberapa militan yang melakukan serangan pengganas berkaitan dengan Negara Islam di sebuah kafe di Dhaka di mana 29 orang termasuk 20 tebusan terbunuh pada Julai 2016.

Pada Ogos 2019, Malaysia melarang Zakir menyampaikan khutbah buat sementara waktu susulan rungutan ramai bahawa khutbahnya mengandungi unsur perkauman mengenai negara berbilang budaya itu, yang memberi perlindungan kepadanya daripada pendakwaan di India.

Pegawai Malaysia tidak tahu menahu mengenai Naseer, lelaki etnik Rohingya yang didakwa menghantar wang ke India bersama-sama Zakir.

"Setakat ini, 'Mohammed Naseer' tidak ditemukan dalam radar anti keganasan kami," kata pegawai keselamatan itu, sambil memberitahu bahawa dua unit polis yang memantau NGO Rohingya telah memberikan reaksi negatif terhadap pertanyaan mengenai nama tersebut.

Ayob Khan Mydin Pitchay, yang berkhidmat sebagai ketua anti-keganasan Malaysia sehingga Februari 2020, memberitahu BeritaBenar bahawa nama Mohammed Naseer tidak ditemukan selama beliau menyandang jawatan itu termasuk yang berkaitan dengan kumpulan Rohingya yang didapati menghantar dana kepada militan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) di Myanmar pada 2019.

"Mungkin dia dikenali dengan nama lain di sini," kata Ayob.

‘Berita sampah’

Sehingga Oktober 2020, Malaysia menerima 102,000 pelarian etnik Rohingya, menurut angka daripada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Agensi itu tidak menghuraikan jumlah mereka yang tiba di Malaysia selepas tindakan keras pihak tentera di Myanmar pada 2017 memaksa ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan negara-negara lain.

Myanmar melakukan tindakan keras setelah serangan maut di pos-pos keselamatan polis dan tentera di negeri Rakhine dengan pihak berkuasa menyalahkan pemberontak ARSA. Myanmar mengisytiharkan ARSA sebagai kumpulan pengganas pada 25 Ogos 2017.

Pada 2018, satu laporan kajian oleh Yayasan Eropah bagi Pengajian Asia Selatan (EFSAS) di Amsterdam menyatakan bahawa Malaysia "digunakan sebagai pusat pertukaran dana ARSA dan pusat transit pergerakan militan."

Setahun kemudian, Malaysia melakukan penangkapan pertama berkaitan dengan keganasan yang melibatkan etnik Rohingya, kata polis pada masa itu.

Pada Mei 2019, dua etnik Rohingya adalah antara suspek yang ditangkap selepas pihak berkuasa Malaysia menggagalkan rancangan Negara Islam (IS) untuk menyerang pusat ibadat dan membunuh "personaliti berprofil tinggi" pada Ramadan.

Mengenai ulama Zakir, jurucakapnya memberitahu BeritaBenar bahawa laporan media India yang mendakwa pembabitannya adalah tidak berasas langsung.

"Selalunya Dr. Zakir tidak akan mengulas berita yang kabur sebegitu. Apa yang dilaporkan oleh The Times of India adalah berita sampah. Laporan itu tidak menjelaskan pun kaitan mengenai dakwaan hubungan itu,” kata jurucakap Zakir, yang tidak mahu namanya disiarkan atas alasan keselamatan.

Beliau merujuk kepada satu daripada dua media India yang melaporkan tentang dakwaan pembiayaan bagi serangan keganasan.

Shailaja Neelakantan di Washington, Prapti Rahman di Dhaka dan Paritosh Paul di Kolkata, India, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.