Tiga Pekerja Asing Warga India, Mangsa Dera Diselamatkan di Pahang

Ali Nufael
2019.07.15
Kuala Lumpur, Malaysia
190715-MY-India-Migran-620.jpg Seorang pekerja asing warga India yang diikat dan dikurung oleh majikan berjaya diselamatkan oleh Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Kontinjen Pahang pada Sabtu di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Lipis, Malaysia, 13 Jun, 2019.
[Ihsan PDRM Pahang].

Pihak berkuasa Malaysia berjaya menyelamatkan tiga pekerja asing warga India yang dipercayai menjadi mangsa diseksa, dikurung dan diikat oleh majikan selepas salah seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri untuk mendapatkan bantuan.

Dua lelaki yang diselamatkan dipercayai bekerja di sebuah ladang kelapa sawit manakala seorang lagi di restoran, yang dimiliki oleh seorang rakyat tempatan di Kuala Lipis, Pahang, dengan turut tidak dibayarkan gaji, demikian menurut para pegawai.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Mohd Azli Noor berkata, majikan warga tempatan dan orang tengah rakyat India telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut pada Ahad.

"Seorang mangsa berjaya melarikan diri daripada tempat kurungan yang tidak dikunci dengan betul. Mangsa melarikan diri untuk mendapatkan bantuan orang awam dan beliau kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis. Berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menyelamatkan dua mangsa yang lain.

"Mereka mendakwa telah dikurung dan dipukul dengan seorang mangsa yang anggota kami temui kakinya di rantai dengan besi dan dipercayai telah dirantai sejak sebulan lepas manakala tangan kanannya berbalut dipercayai patah. Mereka juga mendakwa tidak diberi makan yang cukup dengan gaji bekerja di restoran dan ladang kelapa sawit tidak dibayar," kata Azli kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Isnin.

Menurut Mohd Azli, dua lelaki yang ditahan polis itu kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd Azli  kesemua mangsa berumur antara 33 dan 48 tahun tiba di Malaysia pada tarikh yang berlainan antara September 2018 dan April 2019.

“Ketiga-tiga mereka memasuki negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] pada waktu yang berbeza. Dua mangsa mempunyai permit kerja yang sah manakala seorang lagi tidak mempunyai permit,” kata ketua polis daerah itu sambil menambah yang mereka dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran.

“Mangsa juga mendakwa pasport dan telefon bimbit telah dirampas oleh majikan dan anaknya. Selain hanya menerima gaji sbanyak RM600 (AS$146) pada bulan pertama mula bekerja iaitu pada Disember 2018, walaupun telah dijanjikan gaji antara RM800(AS$194.79) hingga RM1,200(AS$292.19) setiap bulan,” kata Mohd Azli.

BeritaBenar difahamkan ketiga-tiga mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan sehingga siasatan kes selesai.

Ditindas

Migran dari India yang memasuki negara makin meningkat menurut kumpulan hak asasi manusia yang memperjuangkan nasib pekerja asing di Malaysia, Tenaganita turut mendakwa pekerja asing India banyak menerima tawaran bekerja di restoran tempatan dan kerap ditindas oleh majikan.

"Sejak tahun lepas, pihak kami telah menerima banyak kes kemasukkan warga India yang bekerja sebagai pelayan restoran dan beberapa kes yang kami selia, terdapat keraguan di mana sesetengah pekerja tidak mempunyai rekod kemasukan yang sah ke dalam negara walaupun melalui KLIA.

“Ada kes yang kami pernah siasat, mereka tidak dibayar gaji, diseksa dan dipaksa bekerja lebih masa. Dokumen perjalanan mereka turut dirampas oleh majikan,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Aegile Fernandez yang berharap perkara ini dapat dibongkar oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Fernandez turut mendedahkan yang pihaknya pada tahun lepas telah berjaya menghantar pulang empat wanita warga India yang diseludup masuk untuk dijadikan penari.

"Kami berjaya menghantar mereka pulang tahun lepas dan kami berharap banyak lagi kes melibatkan mangsa penyeludupan dapat dihantar balik," katanya.

Fernandez turut menggesa kerajaan supaya segera mengadakan pertemuan dengan badan hak asasi manusia yang lain dalam usaha membanteras gejala penyeludupan manusia.

Beliau menambah bahawa polis, imigresen serta kedutaan negara yang terlibat sudah dimaklumkan tentang pertemuaan itu.

"Kerajaan harus memandang serius perkara ini. Satu pertemuan dengan NGO perlu dibuat bagi mencari jalan penyelesaikan terhadap masalah berkenaan. Polis dan badan berkaitan termasuk kedutaan, semua tahu akan masalah ini dan semua telah dimaklumkan serta sedar bahawa masalah tersebut yang perlu diberi perhatian serius. Jadi kita tidak perlu menunggu ada tangkapan, baru mahu bertindak," tambah Fernandez lagi.

Menurut laporan rasmi Pemerdagangan Manusia 2018 yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat telah menempatkan Malaysia didalam senarai pemerhatian tingkat dua.

"Kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minimum untuk penghapusan pemerdagangan orang. Walau bagaimanapun, ia melakukan usaha penting dalam  berbuat demikian."

"Kerajaan menunjukkan usaha yang ketara dengan mensabitkan lebih banyak pemerdagang orang, meningkatkan penguatkuasaan terhadap jenayah penahanan pasport yang tidak dibenarkan, memberi lebih banyak mangsa kebebasan pergerakan, menambah pembiayaan tiga kali ganda untuk NGO termasuk untuk tiga pusat perlindungan yang dikendalikan oleh NGO, dan membuka mahkamah khusus yang pertama untuk pemerdagangan orang," demikian menurut laporan itu.

Laporan itu turut berkata bahawa pekerja asing terdiri lebih 20 peratus daripada tenaga kerja Malaysia dan biasanya mereka datang secara suka rela—selalunya secara haram—dari Bangladesh, India, Nepal, Burma, Indonesia, Filipina, dan negara-negara Asia lain.

"Majikan, ejen pekerjaan, dan pengambilan pekerja tidak rasmi mengenakan sesetengah pekerja asing keadaan yang memaksa mereka bekerja atau perhambaan hutang apabila mereka tidak dapat membayar yuran untuk pengambilan kerja dan perjalanan yang berkaitan," laporan itu menambah.

Sementara itu, menurut laporan yang dikeluarkan Institut Kajian Khazanah pada 2018, terdapat kira-kira 2.2 juta pekerja asing di Malaysia, melebihi jumlah yang telah direkod oleh kerajaan Malaysia bagi tahun yang sama iaitu seramai 1.8 juta orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.