Ibu Bapa Perlu Beri Persetujuan Sebelum Tukar Agama Anak
2018.01.29
Kuala Lumpur
Mahkamah tertinggi Malaysia pada Isnin memutuskan bahawa kedua-dua ibu bapa mestilah memberi persetujuan kepada penukaran agama anak-anak mereka, semasa ia berpendapat bahawa tindakan seorang bapa mualaf India yang menukar agama tiga anaknya kepada Islam secara satu pihak telah melanggar hak perlembagaan ibu mereka.
Semasa menetapkan definisi Perlembagaan "ibu bapa" sebagai majmuk, lima panel Mahkamah Persekutuan memberi keputusan yang memihak kepada guru tadika M. Indira Gandhi, 43, yang beragama Hindu, dan menolak tindakan bekas suaminya, seorang mualaf, yang telah menukar agama anak-anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan wanita itu sembilan tahun lalu.
Hakim Zulkefli Ahmad Makinuddin, presiden Mahkamah Rayuan yang mengetuai panel tersebut berkata: "Mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa penukaran agama anak bukan Islam mestilah mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa."
Keputusan itu, yang menyusuli perbicaraan mahkamah hampir sedekad, mengisytiharkan bahawa sijil pengesahan penukaran agama yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah bagi tiga kanak-kanak berkenaan, yang kini berusia 20, 19 dan 9 tahun, adalah batal dan tidak sah.
Bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, 47, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, menukar agama anak-anaknya kepada Islam pada 11 Mac 2009 tanpa pengetahuan wanita berkenaan, dan meninggalkan rumah bersama-sama anak bongsunya tiga minggu kemudian.
Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu Mahkamah Syariah di mana ia mendengar kes-kes melibatkan pertikaian keluarga dan harta pusaka bagi orang Islam, yang dikendalikan selari dengan mahkamah sivil negara. Orang bukan Islam tidak berhak hadir di Mahkamah Islam – yang menyebabkan berlakunya banyak perbalahan berhubung hak penjagaan yang bermasalah.
"Kami mendapati bahawa Pendaftar Mualaf (orang yang menukar agama kepada Islam) tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama terhadap ketiga-tiga anak pasangan berkenaan kepada Islam," kata Hakim Zainun Ali ketika membaca penghakiman bagi kes itu.
Dalam keputusannya, mahkamah mengesahkan bahawa istilah "ibu bapa" mestilah bersifat majmuk dan dibaca sebagai "ibu dan bapa," kata Zainun.
"Adalah didapati bahawa dalam menterjemahkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, ia kelihatan bahawa intipati sebenar versi Bahasa Inggeris tidak difahami. Ini benar-benar satu kes yang silap terjemahan," kata Zainun.
Perkara itu menyatakan bahawa agama seseorang yang berumur bawah 18 tahun akan diputuskan oleh "ibu atau bapa atau penjaganya." Sebelum keputusan hari ini, pertikaian difokuskan kepada hujah bahawa persetujuan daripada seorang ibu atau bapa sudah memadai.
Walaupun kerajaan Malaysia sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan kes-kes sedemikian, tidak ada undang-undang atau mekanisme yang dapat menghentikan tindakan ibu bapa menukar agama anak secara satu pihak.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu menunjukkan bahawa hak agama minoriti adalah dilindungi, kata peguam Mohd Haniff Khatri.
Malaysia mempunyai penduduk yang 60 peratus daripadanya adalah beragama Islam dan selebihnya menganuti agama Buddha, Hindu dan Kristian.
"Golongan minoriti boleh melihat kes ini sebagai penghakiman yang diutuskan oleh Tuhan," katanya kepada BeritaBenar.
Mahu bersatu kembali
Indira mahu bersatu semula dengan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa, yang tidak pernah ditemuinya sejak kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam pada 2009.
Dia mempunyai hubungan dengan anak sulungnya, Tevi Darsiny, 21, dan Karan Dinish, 20, manakala bekas suaminya mempunyai hak penjagaan ke atas anak bongsu mereka.
"Apa yang paling menyedihkan adalah anak perempuan saya masih hilang. Saya tidak dapat bertemunya. Saya benar-benar mahu memeluknya, sudah sembilan tahun (kami tidak bertemu). Walaupun kami memenangi kes ini, anak saya tiada bersama kami," kata Indira kepada wartawan di luar mahkamah.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan perundangannya dan mahkamah, Indira turut meminta polis Malaysia untuk mengesan bekas suaminya dan menyerahkan Prasana.
"Beliau perlu bertindak sekarang," katanya, merujuk kepada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Fuzi berkata polis mematuhi keputusan mahkamah itu dan akan terus mencari Riduan, sambil memberitahu bahawa waran terhadap lelaki itu telah dikeluarkan sejak 2014. Polis menghantar dua surat pada 2017 kepada peguam Indira untuk memaklumkannya mengenai usaha pihak berkuasa untuk mencari bekas suami dan anak perempuannya.
"Polis Malaysia sekali lagi meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai apa-apa maklumat mengenai Patmanathan (alias Krishnan Muhammad dan Riduan Bin Abdullah) untuk tampil membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan," kata Fuzi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Azalina Othman, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berhubung hal ehwal undang-undang berkata, kerajaan Malaysia meminta semua pihak supaya menghormati keputusan mahkamah itu.
“Saya percaya keputusan hari ini telah mengambil kira keharmonian masyarakat yang berbilang kaum serta hak sama rata ibu bapa sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (Akta 351),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Badan hak asasi, Bebas, menyeru pihak berkuasa Islam di Malaysia meminda prosedur supaya persetujuan kedua ibu bapa terlebih dahulu didapatkan sebelum penukaran agama anak-anak bawah umur kepada Islam didaftarkan.
"Bebas menggesa kerajaan Persekutuan supaya meminda Akta Membaharui Undang-Undang Persekutuan (Perkahwinan dan Perceraian) dan bagi kerajaan negeri Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Perlis, Pahang dan Kelantan untuk meminda undang-undang Islam negeri masing-masing, secara eksplisit menyatakan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak yang berusia bawah 18 tahun kepada Islam, "kata badan bukan kerajaan itu dalam kenyataan.
Pihak berkuasa Islam di lima negeri yang lain telah menetapkan supaya persetujuan kedua ibu bapa diperlukan terlebih dahulu bagi tindakan penukaran agama anak.