Malaysia Dapat Sokongan Wujudkan Sekretariat Antarabangsa Deradikalisasi

Muzliza Mustafa
2016.08.18
Kuala Lumpur
160818-MY-de-radicalization-620.jpg Pita polis digunakan untuk mengawal orang ramai daripada memasuki tapak serangan bom tangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS), dekat Kuala Lumpur, 28 Jun, 2016.
AFP

Cadangan Malaysia untuk menubuhkan sebuah sekretariat yang diterajui oleh Interpol untuk membendung radikal militan di Asia Selatan dan Asia Tenggara Asia mendapat sokongan daripada pakar keganasan.

Minggu lepas, semasa persidangan memerangi keganasan di Bali yang melibatkan sekurang-kurangnya 23 buah negara, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Ahmad Zahid Hamid mencadangkan penubuhan sekretariat yang diterajui oleh Pertubuhan  Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan misi utamanya adalah untuk membendung radikal militan di peringkat antarabangsa.

Pada masa itu, Zahid berkata Jürgen Stock, pengarah eksekutif organisasi separa kerajaan yang berpangkalan di Perancis itu berminat untuk menyelaras cadangan berkenaan  dengan Majlis Keselamatan PBB.

Walaupun pegawai-pegawai Interpol tidak memberi komen kepada BeritaBenar untuk mengulaskan mengenai usaha mewujudkan sekretariat itu, pakar keselamatan Asia Tenggara berkata program berkenaan tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

Seorang pegawai polis anti-keganasan Malaysia yang mengetahui tentang perkara tersebut berkata, Interpol, organisasi polis terbesar di dunia dengan 190 anggota, adalah salah satu organisasi yang tepat untuk bekerjasama kerana keupayaan berteknologi tinggi yang dimilikinya.

"Mungkin lebih mudah baginya untuk mendapatkan dana bagi meneruskan  program di bawah sekretariat berkenaan, dan Interpol mempunyai kemudahan yang sangat baik untuk melatih para pegawai dari negara yang mengambil bahagian," kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan oleh BeritaBenar.

Menangani ancaman serantau

Kerajaan Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara telah menyuarakan kebimbangan bahawa pengaruh kumpulan pelampau IS semakin meningkat di rantau itu dan akan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Pada akhir Jun lalu, Malaysia digegarkan dengan serangan pertama pengganas IS, apabila bom tangan dilemparkan di arah sebuah kelab malam di Kuala Lumpur yang mencederakan beberapa orang awam yang sedang menonton perlawanan bola sepak melalui televisyen.

Beberapa hari kemudian, 20 tebusan telah dibunuh dalam serangan pengganas yang didakwa dilakukan oleh IS, di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh. Pihak berkuasa tempatan negara itu telah percaya serangan tersebut dilakukan oleh pengganas. Dan pada Januari lepas, IS mendakwa telah melancarkan serangan pertama di Asia Tenggara, apabila skuad bunuh dirinya menyerang pusat bandar Jakarta dengan bom dan senjata api di mana empat penyerang dipercayai turut terbunuh.

Ahmad El-Muhammady, seorang penganalisa yang membantu pihak berkuasa Malaysia dalam program deradikalisasi berkata, cadangan itu akan memberi peluang kepada negara yang mengambil bahagian untuk berkongsi amalan terbaik dalam pelbagai program deradikalisasi militan.

Penganalisa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berharap cadangan berkenaan akan dilaksanakan dengan lebih berhati-hati bagi memastikan keberkesanannya kerana program itu, katanya, cenderung untuk menjadi "kurang berkesan jika terlalu mendapat perhatian."

Program deradikalisasi memerlukan kebijaksanaan dan pendekatan yang halus untuk menambat hati dan pemikiran seorang militan, katanya kepada BeritaBenar.

"Ini bukan satu program biasa. Kami berjaya kerana kerana mengambil pendekataan sederhana dan bijak, "katanya.

Menurut penganalisa keselamatan Malaysia, Zaini Othman, dalam menubuhkan program tersebut berbagai pihak perlu mengenal pasti hubungan antara radikalisme, kapitalisme dan globalisasi yang terdapat di akar umbi radikalisme.

"Secara teknikal, ini satu cadangan yang baik. Jika menjadi kenyataan, ia akan meningkatkan usaha untuk membendung dan memantau sebarang pembangunan radikalisasi sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa, " kata Zaini, yang mengetuai Pusat Penyelidikan Keselamatan Strategik di Universiti Malaysia Sabah kepada BeritaBenar.

Rohan Gunaratna, Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, bersetuju  dengan cadangan berkenaan sambil berkata, ia tepat pada masanya kerana boleh membantu mengurangkan ancaman ekstremisme di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Cadangan untuk melibatkan Interpol adalah penting kerana ia boleh menjadi platform dalam  penyelarasan dan kerjasama antara pihak penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia, kata Gunaratna, yang juga kolumnis BeritaBenar.

"Pihak penguatkuasaan undang-undang perlu membina keupayaan di luar penguatkuasaan mereka untuk mengurangkan ancaman keganasan dan ekstremisme yang semakin menular. Tanpa melabur dalam pencegahan radikalisasi dan deradikalisasi, ancaman akan meningkat ke tahap di mana kerajaan akan berdepan dengan cabaran yang tidak terkawal, "katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.