Kecetekan Tentang Islam dan Ingin Mati Syahid Dorong Sertai IS

Oleh Hata Wahari
2015.08.27
150827-MY-IS620 Seorang daripada 10 warga tempatan termasuk dua wanita yang ditahan Polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria. 21 Ogos 2015.
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Fahaman yang cetek tentang Islam serta terlalu taksub untuk mati syahid adalah antara  sebab utama segelintir rakyat Malaysia terpedaya dengan propaganda Kumpulan  militan Negara Islam (IS).

Pegangan agama yang goyah ditambah pula dengan  pelbagai masalah peribadi menyebabkan mereka mudah dipengaruhi; lantas mengambil tindakan nekad untuk meninggalkan Malaysia dan berjuang di tanah asing.

Selain itu, putus asa dengan kehidupan dan tidak mendapatkan bantuan yang sewajarnya, memesongkan fikiran mereka untuk  menyertai perjuangan bersenjata agar mati syahid supaya dapat masuk ‘syurga.’

Inilah antara kesimpulan umum mengenai persoalan mengapa segelintir rakyat Malaysia terpengaruh dengan dakyah militan seperti IS sehingga sanggup mengorbankan diri mereka untuk menyambut seruan "jihad".

Isu IS kembali diperbincangkan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM)  baru-baru ini menahan 10 rakyat tempatan dalam serbuan di enam lokasi di seluruh Malaysia kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan militan IS.

Pada 20 Ogos lepas, sepuluh rakyat tempatan termasuk dua wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi IS serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.

Lebih mengejutkan, enam daripada mereka yang ditahan terdiri daripada anggota keselamatan, dua pegawai kerajaan, seorang guru tadika dan seorang bekas pereka bentuk dalaman.

Bagaimanapun, difahamkan kesemua mereka yang ditahan tidak mengenali antara satu sama lain kerana mereka bukan daripada kumpulan yang sama.

Malaysia telah menahan seramai 111 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu sejak tahun lepas. Daripada jumlah itu, enam telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 66 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS berada di Syria dan Iraq dengan 11 dilaporkan terkorban.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Othman Mustapha semasa ditemui BeritaBenar berkata, isu penglibatan rakyat Malaysia dalam IS mutakhir ini adalah kerana segelintir mereka mendapat maklumat yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Kekurangan ilmu ini menyebabkan mereka tergelincir dari Islam yang sebenar…. Umat Islam perlu mempunyai ilmu yang sahih dan benar bagi menangani propaganda IS terutamanya yang melibatkan isu jihad,” katanya di Kuala Lumpur.

Pejuangan sia-sia


Othman menegaskan umat Islam di Malaysia perlu memahami penglibatan dalam IS merupakan satu perjuangan yang sia-sia kerana mereka tidak tergolong dalam golongan jihad serta kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid seperti menurut kerangka hukum syarak yang sebenar.

Sehubungan itu beliau berkata, umat Islam di Malaysia perlu memahami keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang telah menegaskan bahawa kumpulan IS merupakan kumpulan sesat.

"Penyelesaian terbaik dalam perkara ini ialah umat Islam perlu mendalami ilmu terutama mengenai jihad kerana hanya dengan ilmu dan kefahaman yang sahih,  akan menjadi muslim sejati serta layak menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, adalah perlu dijauhkan diri daripada terikut-ikut dalam sesuatu perkara tanpa memahaminya dengan jelas.

Bagi Pengarah Institut Jenayah dan Krimanologi di HELP, sebuah universiti tempatan, dan juga Presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar turut mengakui bahawa kebanyakan rakyat Malaysia yang terlibat dalam gerakan ektremis terpengaruh dengan dakyah berjihad dan mati syahid.

"Mereka sanggup berjuang kerana simpati dengan nasib umat Islam yang dizalimi di Palestin, Iraq dan Syria serta kebencian terhadap negara barat. Mereka ditanamkan perasaan dendam ke atas Amerika Syarikat (AS) yang menyerang Iraq, Afghanistan dan Libya yang  membunuh orang-orang awam.

"Keadaan ini telah mencetuskan rasa dendam dan mereka membentuk kumpulan kecil untuk menentang kezaliman yang dilakukan oleh AS," katanya kepada BeritaBenar.

Menurutnya lagi, faktor menebus dosa serta undang-undang kerajaan yang longgar juga menyebabkan golongan ini tertarik kepada gerakan militan seperti IS.

Untuk mengatasi masalah ini, Akhbar mencadangkan satu mekanisma anti keganasan yang benar-benar berwibawa  diwujudkan di Malaysia.

Malaysia sangat memerlukan undang-undang pencegahan dan hukuman yang cukup tegas, selain satu usaha besar-besaran untuk memberi penjelasan dan meluaskan kefahaman kepada masyarakat, katanya.

Beliau turut mencadangkan semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan supaya turun padang untuk menentang propaganda militan itu.

"Dalam pada itu, pengawasan juga perlu dilakukan di institut pengajian tinggi, sekolah, madrasah dan sekolah pondok terutamanya sekolah pondok persendirian, kerana mempunyai keinginan kuat untuk berjihad,” katanya.

Bagi menangani ancaman pengganas, Parlimen Malaysia telah meluluskan Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 pada  April lalu.

Menurut POTA, mana-mana suspek boleh ditahan sehingga 59 hari (termasuk tempoh reman awal), sebelum dibawa menghadap Lembaga Pencegahan Keganasan yang boleh dikenakan tahanan lanjut sehingga 2 tahun.

Tempoh tahanan boleh dilanjutkan jika lembaga memutuskan terdapat alasan yang munasabah dan ia juga boleh mengarahkan seseorang untuk dibebaskan jika difikirkan perlu.

Tapis penceramah agama


Akhbar juga mencadangkan pihak berkuasa Malaysia, supaya menapis dengan ketat penceramah agama dari luar terutama dari Indonesia bagi memastikan mereka tidak menyebarkan ideologi militan IS.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay pula berkata, berdasarkan pendedahan suspek yang ditahan oleh bahagian itu serta agensi penguatkuasaan asing, kebanyakan yang terpengaruh dengan propaganda IS ini adalah dari kalangan mereka yang mempunyai masalah keluarga, sosial dan pendidikan.

Katanya, kebanyakan mereka ini mencari jalan pintas untuk menghapuskan dosa lampau serta mempunyai kecenderungan untuk menjadi pengebom sanggup mati supaya dapat 'mati syahid'.

Jelas mangsa mudah terpedaya dengan usaha pihak IS yang memutar-belitkan ayat al-Quran dan Hadis untuk menarik mereka ke arah keganasan.

"Puak IS juga memperdayakan segelintir masyarakat Islam di Malaysia dengan menggunakan sentimen kononnya mereka adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang sebenarnya, sedangkan kita seharusnya berpegang kepada al-Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak Ulama," katanya.

Ayub memberitahu, perkara asas yang perlu ditekankan di kalangan masyarakat Islam, khususnya di Malaysia, ialah mereka perlu berpegang teguh kepada ajaran Sunni yang merangkumi empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali.

"Selagi kita berpegang kepada salah satu mazhab ini, saya yakin tiada masalah yang akan timbul. Pengikut empat mazhab ini tidak pernah melabelkan kumpulan-kumpulan lain sebagai kafir walaupun terdapat perbezaan dalam isu-isu furuk di antara mereka. Fahaman lain selain daripada Sunni sering melabelkan umat Islam yang tidak mengikut cara mereka sebagai pengamal bidaah, sesat, kafir dan darah mereka halal,” tambah beliau.

Beliau berkata, berdasarkan kajian polis, semua fahaman militan yang disebarkan di Malaysia bermula daripada pengaruh "pendakwah" tempatan dan juga dari luar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.