Ketua Anti-Keganasan: Anggota Kanan IS Malaysia Terbunuh dalam Serangan Udara Syria

Muzliza Mustafa
2019.11.12
Kuala Lumpur, Malaysia
191112-MY-militants-1000.jpg Seorang anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF) sedang melihat asap tebal daripada satu kawasan kecil di daerah terakhir yang diduduki militan Negara Islam, semasa pasukan yang disokong Amerika Syarikat melancarkan serangan darat dan udara untuk menawan wilayah Baghouz, di Syria, 3 Mac 2019.
[AP]

Dua perekrut utama Malaysia bagi kumpulan pengganas Negara Islam, termasuk bekas anggota kumpulan rock, terbunuh dalam serangan udara Rusia di Syria pada awal tahun 2019, Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberitahu BeritaBenar.

Dua warga Malaysia itu, Mohd Rafi Udin (juga dikenali sebagai Abu Ain dan Abu Awn al-Malisi), 53, dan Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin (aka Akel Zainal), 40-an, masing-masing terbunuh pada Januari dan Mac, demikian menurut Ayob Khan Mydin Pitchay, yang memetik maklumat antarabangsa dari rakan sejawatannya serta sumber rakyat Malaysia di Syria.

Tanpa memberi tarikh tepat, beliau berkata kedua-dua lelaki itu terbunuh dalam serangan udara di sekitar Baghouz, sebuah bandar di sempadan Iraq yang merupakan benteng terakhir kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria, selepas dikalahkan oleh pasukan gabungan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat pada 23 Mac.

Akel terbunuh bersama isteri dan anak-anaknya, seorang seorang pejuang IS warga Belgium, kata Ayob.

"Maklumat yang diterima berkata bahawa rumah Akel di Baghouz terkena letupan bom semasa serangan udara pada Mac lalu. Isteri dan dua anaknya, yang berumur dua dan tiga tahun, juga terbunuh," kata Ayob kepada BeritaBenar.

Akel, menjadi terkenal di Malaysia sekitar tahun 1990-an sebagai pemain drum kepada kumpulan rock, Ukays, meninggalkan negara itu pada 2014 untuk menyertai IS di Syria.

Pihak berkuasa Malaysia kemudiannya mengenal pasti beliau bersama Rafi Udin dan dua lelaki lain sebagai perekrut utama IS bagi Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang juga merupakan seorang lagi perekrut utama IS, terbunuh dalam serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April 2017.

"Serangan udara itu juga telah membawa kepada kematian seorang pejuang asing dari Belgium yang pada masa itu berkahwin dengan Mahmudah Ahmad, bekas isteri Muhammad Wanndy Mohamad Jedi," kata Ayob, merujuk kepada serangan yang membunuh Akel dan keluarganya.

Rafi, yang diisytiharkan oleh Amerika Syarikat sebagai Pengganas Global Tentuan Khas pada Ogos 2018, terbunuh semasa cuba melarikan diri dari Baghouz, kata Ketua Anti-Keganasan Malaysia itu.

“Kami mendapat maklumat daripada rakan-rakan kami beberapa bulan lalu. Beliau terbunuh ketika cuba melarikan diri dari serangan udara bersama dua rakannya yang juga rakyat Malaysia. Kami juga mendapat pengesahan dari rakyat Malaysia yang masih berada di Syria," kata Ayob.

Rafi, yang meninggalkan Malaysia untuk menyertai IS di Timur Tengah lima tahun yang lalu, adalah bekas anggota kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), sebuah kumpulan militan Malaysia yang kini tidak berfungsi lagi.

Tahun lepas, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat menamakannya bersama dua lagi pejuang Asia Tenggara - Mohammed Karim Yusop Faiz dan warga Filipina Mohammad Reza Lahaman - sebagai pengganas global.

Jabatan itu berkata mereka adalah perekrut kanan bagi Negara Islam (IS), yang telah muncul dalam video propaganda pada 2016 yang menunjukkan mereka memenggal kepala tiga tawanan.

Seramai 65 rakyat Malaysia pergi ke Syria untuk menyertai IS dengan 40 daripadanya telah menyatakan hasrat untuk kembali ke negara mereka, kata Ayob.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa Malaysia sedang berusaha membawa pulang 40 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian di timur laut Syria.

Malaysia setakat ini berjaya membawa seorang wanita bersama dua anaknya, pulang ke Tanahair pada Oktober 2018, menurut Ayob.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.