Follow us

Bapa Risikokan Nyawa Demi Selamatkan Anak Lelaki Daripada IS

Razlan Rashid
2016-03-07
E-mel
Komen
Share
Beberapa lelaki membantu bapa seorang pejuang Negara Islam yang mencari anak lelakinya, berjalan selepas kereta mereka rosak berhampiran Aleppo, Syria pada Disember 2013.
Beberapa lelaki membantu bapa seorang pejuang Negara Islam yang mencari anak lelakinya, berjalan selepas kereta mereka rosak berhampiran Aleppo, Syria pada Disember 2013.
Khas untuk BeritaBenar

Dia merupakan anak lelaki yang taat - idealis yang mempunyai masa depan yang cerah. Namun,  semua itu berubah pada 22 Oktober, 2013.

Pada malam itu, penuntut perubatan berusia 22 tahun itu, yang mengikuti pengajian di Ireland, telah menghubungi ibu bapanya di Asia Tenggara untuk memberitahu mereka yang dia telah ke Syria.

Pemuda itu, yang menurut kata-kata bapanya, telah terjebak "dalam perangkap pengganas Muslim Sunni Arab."

Dalam masa beberapa hari kemudian,  bapanya memulakan usaha untuk membawa pulang anak lelakinya - perjalanan yang berbahaya itu telah membawanya ke tengah-tengah wilayah yang dikatakan Negara Islam  di Syria. Tetapi, usahanya berakhir dengan berita meruntun jiwa.

Bapa ini menceritakan kisahnya kepada BeritaBenar dengan syarat tiada siapa pun dalam kalangan ahli keluarganya dinamakan.  Butiran peribadi lain juga tidak dinyatakan bagi melindungi keluarganya.

Lelaki itu bimbang publisiti akan terus menyedihkan keluarganya dan berpotensi memberi implikasi negatif kepada perniagaannya.

Namun, beliau mahu berkongsi kisahnya kerana, katanya, orang lain perlu tahu apa yang dialami keluarganya dan mengambil iktibar daripada pengalamannya itu.

Seorang wartawan BeritaBenar buat pertama kalinya bertemu bapa ini pada Disember 2013 di Hatay, Turki.

'Terpengaruh'

Anak lelakinya mengikuti pengajian perubatan di Ireland. Dari situ, dia mula membimbangkan  kedua ibubapanya dengan melahirkan hasrat untuk ke Timur Tengah. Dia mahu meringankan kesengsaraan orang yang menderita akibat perang, kata bapanya.

"Saya menasihati beliau, memandangkan dia belajar perubatan, cara terbaik membantu mereka adalah dengan membuka klinik dan hospital. Dan saya berjanji kepadanya yang saya akan menyediakan dana untuk itu," kata ahli perniagaan itu kepada BeritaBenar dalam satu temu bual eksklusif.

"Satu-satunya syarat saya kepadanya ialah dia hanya boleh memulakan kerja-kerja kemanusiaan selepas tamat pengajian."

Beberapa hari selepas panggilannya dari Syria, mereka tidak lagi mendengar berita daripada anak lelaki kesayangan mereka itu. Dalam masa sejam kemudian, bapanya membuat laporan polis dengan pihak berkuasa di negara mereka.

Kemudian, beliau mula mencari maklumat di internet - kehebatan teknologi yang digunakan oleh kumpulan militan seperti Negara Islam (IS) untuk menarik anak muda dari Asia Tenggara dan pelusuk lain dunia menyertai perjuangan ekstremis mereka.

Pada Oktober 2013, IS belum lagi dikenali ramai. Tetapi, panggilan telefon daripada anak lelakinya itu telah menimbulkan rasa syak bapa berkenaan, yang anaknya telah terjebak dalam cengkaman kumpulan seperti IS.

Dalam panggilan telefon berikutnya, beliau dapat merasai perubahan anak lelakinya dan jarak yang semakin ketara dengannya.

"Dia amat berahsia tentang di mana dia berada dan rancangannya.  Saya dapat merasakan dengan jelas yang dia dalam keadaan berlainan seperti dipengaruhi ketika bercakap dengan kami sekeluarga. Namun begitu, dia sopan sepanjang perbualan kami, " kata ahli perniagaan itu.

Beliau kemudiannya, melakukan penyelidikan sendiri mengenai konflik Syria, membaca tentang pelbagai kumpulan pemberontak yang memerangi rejim Bashar al-Assad.

"Tidak lama kemudian, saya mula mengguna pakai platform media sosial, yang IS dan kumpulan pemberontak lain gunakan untuk merekrut ahli baru kumpulan mereka. Saya mula menggunakan Whatsapp, Telegram, WeChat, Facebook dan platform lain - semua ini adalah zon yang tidak saya kenali ketika itu, " tambah beliau.

Melalui internet, beliau dapat berhubung dengan organisasi di Syria dan Turki, lalu memohon bantuan mereka dalam usaha menjejaki anaknya yang bakal menyusul.

Pada November 2013, semasa perbualan telefon mereka, anak lelakinya mengaku yang dia telah menyertai IS tetapi enggan memberitahu di mana berada.

"Dia telah dinasihatkan dan diberitahu oleh Emir [ketuanya] untuk tidak mendedahkan lokasi mereka, walaupun kepada ibu bapa. Kami dapat rasakan dengan jelas daripada panggilannya bahawa bukan sahaja dia telah dipengaruhi malah dia juga dipantau dengan ketat dan dibimbing untuk bercakap oleh pengganas Arab semasa membuat panggilan itu,” kata bapa berkenaan.

Memasuki zon perang

Beberapa hari kemudian, lelaki ini menuju ke Syria melalui Turki - pintu masuk ke kawasan konflik.

Beliau menyeberang masuk ke Syria dari Reyhanli, sebuah bandar sempadan di wilayah Hatay, Turki.

Sebelum menyeberangi sempadan, beliau telah menghubungi organisasi-organisasi yang membawa ubat-ubatan, makanan, bantuan, peralatan dan bekalan kepada kumpulan pemberontak di Syria. Seorang daripada mereka bersetuju untuk membenarkannya pergi bersama-sama mereka.

"Saya berada di Babalhawa, kawasan yang tidak terlalu jauh dari sempadan, dan tinggal di sebuah gudang besar. Saya dimaklumkan bahawa ia adalah satu daripada tempat yang paling selamat di Syria, " kata beliau.

160304-father-story2-620

Gambar gudang di Babalhawa di mana bapa itu ditempatkan semasa usahanya mencari anak lelakinya di Syria, Disember 2013. [Khas untuk BeritaBenar]

Lelaki-lelaki yang mengiringinya semua bersenjata.

"Saya tahu saya dijaga dengan baik, tetapi di Syria, apa sahaja boleh berlaku."

Semasa beliau bertemu kumpulan itu buat pertama kalinya, beliau membayar ahli-ahlinya sebanyak US$40,000 untuk menampung perbelanjaan mereka dalam membantu beliau mencari anak lelakinya.

Tetapi, mereka kemudian mengembalikan wangnya. Ahli perniagaan yang terkejut dengan tindakan kumpulan itu, menyoal ketuanya, mengapa mereka memulangkan wang tunai itu.

"Dan lelaki itu mengucapkan satu daripada kata-kata yang paling indah yang tidak pernah saya dengar sejak bertahun-tahun lamanya - 'Anda seorang Muslim dan kami juga Muslim.  Membantu anda mencari anak lelaki anda adalah tanggungjawab kami dan inilah Islam kita, " kata bapa itu menceritakan.

'Bersedia untuk yang terburuk'


Keseluruhannya, bapa berkenaan meluangkan masa kira-kira lima minggu di wilayah itu – dengan  kebanyakannya berada di sempadan Turki.

Sepanjang berada di  Syria, lelaki-lelaki bersenjata yang beliau ikuti, telah memperkenalkannya kepada penduduk tempatan sebagai "seorang doktor sukarela."

Beliau berada di Syria hanya untuk seminggu tetapi ancaman bahaya tidak pernah putus.

Semasa mereka memandu berhampiran Aleppo pada suatu hari,  pesawat perang Syria menggugurkan bom kira-kira 10 meter (33 kaki) dari kereta mereka, kata bapa berkenaan.

Pada masa yang lain, kumpulan mereka juga nyaris bertempur dengan kumpulan pro-kerajaan.

Kereta yang dinaiki kumpulan itu rosak di jalan raya antara Babalhawa dan Aleppo. Detik-detik cemas menyusul.

Bapa berkenaan dan beberapa lelaki lain berjalan ke kampung terdekat untuk mencari mekanik.

Mereka disambut oleh penduduk bersenjata yang menawarkan mereka makanan. Mereka juga menemui seorang mekanik, tetapi tempoh membaiki kereta mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

"Selepas makan dan menunaikan solat, kami minum  kopi sementara menunggu kereta dibaiki. Entah dari mana, seorang penduduk kampung menerjah dan menjerit yang tentera kerajaan Bashar hanya 500 meter [1,640 kaki] sahaja dari situ, " tambah ahli perniagaan itu.

"Tentera semakin hampir dan ... kumpulan bersenjata dari kampung itu sedia untuk bertempur. Saya ditawarkan pistol tetapi saya menolak kerana saya tidak pernah menggunakan senjata sepanjang hidup saya. Saya sudah bersedia untuk yang terburuk, " katanya.

Mekanik sempat membaiki kereta mereka dan kumpulan itu berjaya bergerak keluar dalam masa yang singkat itu.

'Amat dekat, namun begitu jauh'

Dalam minggu semasa berada di zon konflik berkenaan, ahli perniagaan itu bertemu dengan kumpulan bebeza untuk mengumpul seberapa banyak maklumat yang mampu bagi mengesan anak lelakinya.

"Semua kumpulan itu mesra dan memahami rayuan saya, dan berjanji untuk menyerahkan anak saya jika dia berada di kem mereka. Tetapi, mereka memberi amaran bahawa ia bukanlah satu tugas yang mudah jika anak saya berada di kem ISIS, " kata ahli perniagaan itu lagi.

Beliau pergi ke kem IS berbeza untuk bertanya tentang anaknya. Beliau juga membina rangkaian pemberi maklumat tempatannya sendiri, yang dibayarnya bagi memberi maklumat risikan tentang kedudukan anaknya.

Maklumat risikan yang dikumpulkan oleh rangkaian itu kemudian berjaya memberi petunjuk yang membawa kepada lokasi anak lelakinya, yang berada di kem IS untuk pejuang Eropah di Dar Ta Izzah.

"Kesemuanya, saya telah pergi ke tujuh kem ISIS berbeza dengan orang hubungan tempatan saya, dengan menggunakan pendekatan yang sopan," kata bapa itu, merujuk kepada IS dengan akronim lain.

"Saya masih ingat dengan jelas semasa kunjungan kami ke Kem Eropah ISIS di Dar Ta Izzah, saya diberitahu supaya menunggu di dalam kereta dan mereka meninggalkan semua senjata mereka di dalam kereta," katanya.

Ketua kem itu enggan menyatakan sama ada anak lelakinya berada di situ, dengan menyatakan bahawa mereka tidak dibenarkan memberi maklumat tersebut.

"Semasa melihat keadaan kawasan sekitarnya, ia sebenarnya padan dengan kawasan yang anak saya ceritakan dalam perbualan kami. Saya benar-benar merasakan di dalam hati saya bahawa inilah kem itu.

"Malah, ketua konvoi itu mengesahkan bahawa anak saya berada di kem itu, melalui pemerhatiannya di kem itu.  (Dia) amat dekat, namun begitu jauh,” katanya dengan sebak.

160304-father-story3-620
Ahli-ahli kumpulan yang membantu lelaki itu, sedang bercakap dengan Emir (ketua) puak pemberontak Syria. [Khas untuk BeritaBenar]

Senyap

Ahli perniagaan itu, sentiasa berhubung dengan anaknya sepanjang perjalanan beliau tanpa mendedahkan lokasinya sendiri. Tetapi, pada suatu hari, ahli perniagaan itu mengaku kepada anaknya bahawa beliau berada di Syria untuk mencarinya.

Dan secara kebetulan, bermula lewat  Disember 2013, komunikasi antara mereka semakin berkurangan.

Setelah gagal menjejaki anak lelakinya, ahli perniagaan itu menghentikan usahanya dan pulang ke tanah air pada Januari 2014. Namun, beliau terus berhubung dengan rangkaian pemberi maklumatnya.

Menurut risikan mereka, unit IS anaknya telah berpindah ke wilayah Iraq.

"Panggilan telefon daripadanya semakin berkurangan dan saya diberitahu bahawa telefon bimbitnya telah diambil oleh Emir," kata beliau.

Pada April 2014, tiada langsung panggilan daripada anak lelakinya.

Kemudian pada Ogos, lima hari sebelum berakhirnya Ramadan, seorang pemberi maklumat memberitahu ahli perniagaan itu bahawa anaknya telah terbunuh empat bulan sebelum itu semasa pertempuran dekat Mosul di Iraq.

Pemberi maklumat itu,  yang merupakan isteri kepada ahli IS, juga memberitahu ahli perniagaan itu bahawa kumpulan ekstremis telah merekrut anak lelakinya untuk berada di barisan hadapan.

"Saya tahu maklumat yang diberikan adalah benar dan tepat kerana kami tiada hubungan dengannya sejak April dan sehingga hari ini. Saya mempercayai sumber itu kerana dia memberitahu saya bahawa dia menyimpan maklumat itu sudah terlalu lama dan berasa bersalah, " kata ahli perniagaan itu lagi.

Tiada negara yang menyenaraikan pemuda itu, antara yang terbunuh dalam konflik di Syria dan Iraq.

Ketika dihubungi BeritaBenar, kerajaan Iraq tidak dapat mengesahkan kematiannya.

Ahli perniagaan itu berkata, beliau tidak tahu tentang keluarga lain yang anak mereka hilang di Iraq atau Syria, kerana nasib mereka tidak pernah disahkan secara rasmi.

"Ia seperti bencana ... Anak lelaki saya adalah motivasi saya selama ini, dan kemudian, ini yang datang.  Bayangkanlah keadaannya buat kami semua, " katanya sambil menangis.

Semasa Aidilfitri pada 2014, ahli perniagaan berkenaan mengadakan tahlil bersama ahli keluarga di kampung halamannya untuk allahyarham anak lelakinya itu.

Lihat Laman Penuh