Usaha IS Merekrut Ahli Menurun Di Malaysia: Pegawai

Fadzil Aziz
2017.08.22
Kuala Lumpur
170822-MY-recruitment-620.jpg Pasukan Petugas Khas Polis DiRaja Malaysia semasa mengambil bahagian dalam latihan keselamatan di Stadium Nasional di Kuala Lumpur, 25 Mei 2017.
AFP

Usaha untuk merekrut ahli kumpulan Negara Islam [IS] didapati menurun di Malaysia sejak kematian militan IS Muhammad Wanndy Mohamad Jedi empat bulan lepas, tetapi pihak berkuasa akan terus berwaspada, pegawai tertinggi anti-keganasaan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Selasa.

Wanndy, perekrut prolifik IS utama di Asia Tenggara, terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada 29 April lepas, sepuluh bulan selepas beliau mengatur serangan ke atas sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur yang mencederakan lapan pelanggan kelab berkenaan..

“Walaupun trend seolah-olah perlahan, ia tidak semestinya bermakna bahawa mereka tidak aktif merekrut ahli baru. Mungkin mereka aktif, tetapi kami tidak dapat mengesan aktiviti mereka, " kata Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Bahagian Anti-Keganasan PDRM kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sehari sebelum itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata pihak berkuasa telah menahan beberapa suspek dipercayai pengganas warga Malaysia dan asing sempena Sukan SEA ke-29 yang dihoskan oleh Kuala Lumpur.

Ayob mengesahkan penangkapan itu pada Selasa.

"Memang benar, tetapi butiran akan didedahkan kemudian," katanya.

Amaran tertinggi

Pihak berkuasa Malaysia telah melakukan sekurang-kurangnya empat latihan dan tiga serbuan sejak beberapa minggu lepas bersempena berlangsungnya pelbagai pertandingan sukan, yang bermula sejak 19 Ogos dan berakhir pada hujung bulan ini. Lebih 10,000 anggota polis bertugas di beberapa lokasi dan mercu tanda yang dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur.

"Polis akan terus berjaga-jaga terutamanya semasa Sukan SEA," tambah Ayob.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 310 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS, di mana 66 daripada mereka telah dibebaskan, menurut maklumat  kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Sumber keselamatan yang tidak mahu dikenali berkata 32 anggota militan Malaysia terbunuh ketika berjuang untuk IS di Syria dan Iraq manakala 55 lagi dipercayai masih berperang di negara itu

Disyaki pengganti

Polis Malaysia menyalahkan Wanndy dan mereka yang direkrutnya untuk melakukan serangan pengganas pertama seperti yang dituntut IS di tanahair - letupan bom tangan di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Dua lelaki, Wahyudin Karjono dan Jonius Indie (alias Jahali), masing-masing dihukum penjara 25 tahun kerana melemparkan bom tangan terhadap orang ramai di kelab malam Movida di Puchong, di selatan Kuala Lumpur.

Wanndy mengambil media sosial untuk menuntut kredit terhadap serangan itu.

Pegawai kerajaan mula menjejaki Wanndy sejak dua tahun lalu apabila rakaman sebuah video yang menunjukkan beliau mengambil bahagian dalam memenggal kepala seorang lelaki Syria yang ditangkap oleh pasukan IS.

Beliau terus menjadi seorang rakyat Malaysia yang paling mendapat perhatian dalam kumpulan yang mengisytiharkan diri mereka sebagai khalifah di Syria dan Iraq. Pada Mac lepas, Amerika Syarikat menamakan Wanndy dan Bahrun Naim, seorang warga Indonesia, sebagai pengganas global.

Pada Selasa, Ayob telah menamakan Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, aka Akel Zainal, sebagai pengganti Wanndy sebagai perekrut utama Malaysia bagi IS.

"Inilah sebabnya mengapa kami akan meneruskan pengawasan dan pengumpulan risikan dalam usaha memastikan sebarang percubaan untuk melancarkan serangan dapat dihentikan," katanya.

Akel Zainal, 38, menjadi terkenal sekitar tahun 1990-an sebagai pemain drum bagi sebuah kumpulan rock Malaysia. Baru-baru ini, beliau telah merekrut rakyat Malaysia untuk bertarung di Syria, dan mempunyai sekurang-kurangnya 15,000 pengikut Facebook, kata pegawai risikan.

Dua lagi warga Malaysia yang menyertai usaha merekrut keahlian IS ialah Mohd Rafi Udin dan Abu Zahar.

Rafi, 51, adalah seorang pemandu teksi sebelum muncul dalam video propaganda IS pada Jun 2016 bersama seorang warga Indonesia dan seorang Filipina yang memenggal kepala tawanan.

Abu Zahar, 36, berkhidmat dalam tentera di sebuah kem di Sabah. Dia menggunakan Facebook untuk merekrut ahli IS yang berpotensi di kalangan tentera Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.