Dua Suspek Militan Rancang Serang Rumah Ibadat Didakwa di Mahkamah

N. Nantha
2018.03.26
Kuala Lumpur
180326-MY-suspect-620.jpg Suspek militan Malaysia, Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, diiringi pegawai pegawai anti-keganasan ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru selepas dia ditangkap kerana disyaki merancang menyerang rumah ibadat, 26 Mac, 2018.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia memfailkan pertuduhan pada Isnin terhadap dua suspek yang disyaki ahli IS dengan mendakwa mereka merancang melancarkan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan sasaran lain termasuk balai polis.

Seorang lagi suspek militan didakwa di negeri selatan, Johor, kerana memiliki video pro-IS dalam telefon bimbit dan peranti tabletnya, kata para pegawai.

Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada enam ahli sel pengganas yang ditangkap oleh pegawai-pegawai anti-keganasan Malaysia dalam tiga serbuan berasingan sejak akhir Februari di negeri itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan pada Sabtu.

Pihak berkuasa tidak menamakan rumah ibadat berkenaan dalam kertas pendakwaan.

"Kita tidak boleh mendedahkan nama sasaran mereka, tetapi saya boleh mengesahkan bahawa mereka menyasarkan beberapa  pegawai dan anggota polis dari Johor," kata Fuzi kepada wartawan.

Seorang pembuat bom rakyat Filipina yang disyaki mempunyai kaitan dengan  Furuji Indama, pemimpin kumpulan militan Abu Sayyaf yang pro-IS di selatan Filipina, pula ditahan di negeri timur, Sabah, bulan ini, kata Fuzi.

Pegawai tidak menamakan suspek berkenaan.

Militan Abu Sayyaf terkenal dengan tindakan memenggal kepala tebusannya kecuali jika pembayaran dibuat. Tahun lepas, mereka memenggal kepala tebusan rakyat Jerman pada Februari dan dua pelayar Vietnam pada Julai.

Butiran kertas pendakwaan


Pihak berkuasa mendakwa Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, yang bekerja sebagai juruteknik dan pengawal keselamatan Ismadi Md Nor (alias Ismail), 30, merancang untuk melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan di Johor Bahru, ibu kota Johor.

Sekiranya didapati bersalah, kedua-dua lelaki itu boleh dihukum penjara tidak lebih daripada tujuh tahun.

Tertuduh ketiga, Mohammad Zaki Ibrahim, 49, juga pengawal keselamatan, didakwa memiliki klip video kegiatan IS dalam telefon bimbit dan peranti tabletnya. Dia juga menghadapi hukuman penjara tujuh tahun jika didapati bersalah.

Ketiga lelaki itu tidak diwakili peguam dan, menurut pegawai mahkamah, tiada pengakuan direkodkan pada Isnin.

Mereka merancang untuk melarikan diri ke sebuah negara jiran yang tidak dinamakan setelah berjaya melaksanakan rancangan serangan itu, kata Fuzi.

Perairan yang kurang kawalan keselamatan, yang memisahkan Malaysia dari selatan Filipina, adalah syurga bagi lanun dan pengganas, kata para pegawai. Kedua-dua negara Asia Tenggara itu memulakan rondaan bersama-sama Indonesia pada Oktober 2017 untuk meningkatkan lagi usaha maritim tiga hala bagi mencegah ancaman ekstremis IS di sempadan perairan mereka.

Fuzi berkata sel pengganas itu dikatakan merancang untuk menyerang balai polis selepas sambutan Hari Polis pada Ahad.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu BeritaBenar bahawa ini bukan kali pertama pihak berkuasa Malaysia mengetahui mengenai rancangan militan untuk menyerang dan membunuh anggota polis.

Sel pengganas Johor dianggap berbahaya kerana ia mempunyai kaitan dengan kumpulan yang berpangkalan di selatan Thailand, kata sumber itu.

Perekrut utama IS dari Malaysia, negara majoriti penduduk Muslim, Wanndy Mohamad Jedi, yang terbunuh dalam serangan drone tahun lalu di Syria, telah menyeru ahli IS di Malaysia untuk melancarkan serangan terhadap anggota polis di negara ini.

Rancangan menjadikan Borneo tempat ekstremis

Fuzi memberitahu pemberita pada Sabtu bahawa pembuat bom Filipina itu telah merancang untuk menyerang sasaran di Sabah dalam usaha menjadikan sebahagian Borneo Malaysia sebagai tempat yang selamat bagi pengganas IS.

"Suspek itu mempunyai hubungan dengan Dr. Mahmud Ahmad, warganegara Malaysia yang menyertai IS di selatan Filipina," kata Fuzi. "Suspek juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana didakwa terlibat dalam siri cubaan membunuh dan kegiatan menculik untuk wang tebusan."

Ahli Abu Sayyaf, yang disokong oleh pejuang militan dari Asia Tenggara dan negara-negara lain, bergabung tenaga tahun lalu untuk mengambil alih Marawi, wilayah selatan Filipina, dengan menentang pasukan keselamatan Filipina dalam pertempuran selama lima bulan yang mengorbankan lebih daripada 1,200 orang, yang kebanyakannya militan.

Penangkapan itu membawa kepada sejumlah 389 suspek pengganas yang ditahan ketika pihak berkuasa Malaysia meningkatkan usahanya untuk mengekang militan sejak empat tahun lalu, menurut angka BeritaBenar, yang disahkan oleh Fuzi pada Ahad.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk, termasuk 19.5 juta umat Islam, merupakan satu daripada ekonomi paling maju di Asia Tenggara. Ia telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, menurut pegawai.

Rancangan pengeboman yang dapat digagalkan itu termasuklah yang menyasarkan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata polis. Tetapi pada Jun 2016, militan berkaitan IS melakukan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran ibu negara Kuala Lumpur,

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad memberi penghormatan kepada polis Malaysia kerana menjaga keselamatan negara.

"Sehingga hari ini, saya berterima kasih kerana tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang terbunuh di negara ini akibat serangan IS," kata Najib dalam ucapannya. "Ini adalah kerana adanya tindakan polis yang berkesan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.