Pekerja Kilang Dan Warga Indonesia Mengaku Tidak Bersalah Terlibat IS

Hata Wahari
2017.11.13
Kuala Lumpur
171113-my-IS-Indon-620.jpg Tertuduh, Anwar (kiri) dan Mohamad Awang, ketika keluar dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didakwa cuba menyertai IS di Syria, 13 November 2017.
(Ihsan Polis DiRaja Malaysia)

Dua lelaki, termasuk seorang warga Indonesia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin tehadap tuduhan cuba menyertai militan Negara Islam di Syria, selain turut  memiliki lebih 20 gambar dan video berkaitan kumpulan pengganas itu awal tahun ini.

Mohamad Awang, 41, warga tempatan dari Batu Pahat, Johor dan Anwar, 28, seorang warganegara Indonesia dari Jawa Barat didakwa cuba memasuki Syria melalui Tehran, Iran serta berniat untuk melakukan keganasan di negara itu dengan menyertai IS pada Februari lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Hotel Crystal Crown, No 3 Jalan Jambu Mawar, Jalan Kepong Utama pada pukul 12 tengahari 21 Februari tahun ini.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pendakwaan dilakukan di hadapan Hakim Aman Abdullah di bawah Seksyen Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, jika didapati bersalah terhadap tuduhan itu.

Anwar yang bekerja sebagai petani turut didakwa memiliki 17 gambar dan empat video berkaitan dengan IS di dalam telefon bimbitnya. Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta  tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tersebut juga menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember  tahun ini.

Dibenarkan pulang jika menyerah diri

Pihak berkuasa Malaysia sedia menerima semula 53 orang rakyatnya yang menyertai IS tetapi terkandas di Timur Tengah selepas kejatuhan khalifah diiktiraf oleh IS sendiri di bandar Raqqa, kata ketua polis negara itu kepada BeritaBenar pada 7 November lepas.

Malaysia juga akan membenarkan suspek militan itu, yang pasport mereka telah dibatalkan, untuk kembali tetapi dengan satu syarat, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

"Sekiranya mereka sanggup menyerah diri, beritahu kami, dan kami akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," kata Fuzi.

"Jika kami boleh bantu, kami akan bantu. Tugas kami ialah untuk membantu orang,” katanya.

Pada 23 Okt, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen bahawa 53 rakyat Malaysia bersembunyi di medan pertempuran Iraq dan Syria, selepas pihak tentera yang disokong Amerika Syarikat mengesan para pejuang IS dan merampas Raqqa, yang dikenali sebagai ibu negeri de facto kumpulan ekstremis itu. Beliau berkata, 34 rakyat Malaysia juga telah terbunuh dalam pertempuran di kedua-dua negara tersebut.

Fuzi berkata 53 rakyat Malaysia itu – yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak - masih berada di Syria dan mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran sengit berlaku. Pegawai-pegawai lain sebelum itu mendakwa bahawa rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem di sempadan Jordan dan Turki.

Dalam tempoh empat tahun  lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS. Enam puluh enam d-aripada suspek tersebut telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.