Penjara Lapan Tahun Terhadap Peniaga Matawang Asing Sokong IS

Ray Sherman
2017.07.17
Kuala Lumpur
170714_ID_Telegram_1000.jpg Pengguna Telegram membuka aplikasi perkhidmatan mesej popular di telefon pintarnya di Jakarta, 14 Julai, 2017.
Rina Chadijah/BeritaBenar

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang peniaga matawang asing atas kesalahan menyokong kumpulan militan Islamic State (IS).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Hizmi Razli Abdul Rahim setelah beliau mengaku bersalah.

Hizmi, 33, diarahkan menjalani hukuman dari tarikh tangkapannya pada 21 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, peniaga itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan melafazkan sumpah taat setia menerusi aplikasi Telegram dalam telefon bimbitnya, pada jam 12.37 pagi pada Mac 30 tahun lalu, di Kampung Pulau Kapas, Kota Baru, Kelantan.

Beliau menggunakan nama "Abu Al-Farish" semasa menyertai kumpulan Telegram "Gagak Hitam" yang pernah diketuai oleh militan IS rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, yang terbunuh di Syria.

Hizmi didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J(1) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda.

'Bukan gurauan'

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata,  lafaz sumpah taat setia ole Hizmi kepada kumpulam IS "bukan gurauan".

"Ia adalah perbuatan yang serius dan hukuman ini patut menjadi pengajaran bagi kamu dan yang lain," katanya.

Sebelum itu, dalam mitigasi, Hizmi berkata beliau menyesali perbuatannya dan ini adalah kesalahan pertamanya.

Penolong pendakwaraya Mohd Izhanudin Alias mewakili pihak pendakwaan manakala Hilmi diwakili peguam Mohd Hazrin Arif Wahab.

Pada Oktober tahun lalu, Hizmi didakwa di Mahkamah Majistret di Kota Baru, Kelantan, dengan seorang lagi individu, Tengku Shukri Che Tengku Hashim, 30, seorang peniaga atas dua pertuduhan.

Pada masa itu, Hizmi menghadapi pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan dan dilakukan dengan niat untuk melanjutkan ideologi serta dianggap mengugut orang awam melalui aplikasi Telegram di lokasi sama, antara 3.18 pagi hingga 3.32 pagi, pada 28 Jun 2016.

'Malaysia tidak sekat Telegram'

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negara itu tidak berhasrat untuk menyekat penggunaan aplikasi Telegram di Malaysia, walaupun negara jiran Indonesia telah mengharamkan penggunaannya selepas didapati wujud unsur melibatkan keganasan.

Laporan agensi berita Bernama memetik Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sebagai berkata, kerajaan Malaysia menghormati hak peribadi pengguna di negara itu dan tidak berhasrat mencampuri kegiatan 'chatting’ pengguna Telegram.

"Penelitian KDN (Kementerian Dalam Negeri) khasnya Unit Anti Keganasan dan Cawangan Khas PDRM mendapati bahawa aplikasi (Telegram) setakat ini tidak mengandungi unsur-unsur yang melibatkan jenayah, jauh sekali daripada perbuatan merekrut atau untuk memperolehi dana bagi membiayai aktiviti keganasan," katanya kepada media sambil menambah yang kerajaan akan terus memantau saluran komunikasi melalui platform tersebut.

Indonesia pada Jumaat lalu menyekat aplikasi Telegram atas dasar aplikasi itu digunakan untuk merekrut ahli baru dan mengumpul dana untuk aktiviti keganasan.

Langkah Indonesia itu juga telah dikritik oleh beberapa pihak yang berkata penyokong keganasan akan mencari jalan lain untuk berkomunikasi satu sama lain.

Angkat sumpah seminit

Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM], Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar Februari lalu yang upacara angkat sumpah untuk menyertai kumpulan militan IS melalui aplikasi Telegram hanya mengambil masa kira-kira seminit.

Ini membolehkan IS  meningkatkan jumlah anggota barunya dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat sumpah di hadapan seorang pemimpin IS, katanya.

Penyiasat mendakwa akaun kumpulan Telegram Gagak Hitam yang digunakan oleh sel militan tempatan disertai sekurang-kurangnya 66 anggota, menurut siasatan.

Kumpulan Gagak Hitam itu diketuai oleh Muhammad Wanndy yang juga merancang serangan bom yang mencederakan lapan pelanggan di sebuah kelab malam di Puchong, Kuala Lumpur,  tahun lepas.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, seramai 66 anggota telah dibebaskan, demikian menurut statistik kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, kata Ayob Khan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.