Polis Malaysia Kaitkan Pakar Bom IS di Syria Dengan Tangkapan Terbaharu

Staf BeritaBenar
2016.12.22
Washington DC
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161222-MY-bomb-620.jpg Bom-bom buatan sendiri dilihat di sebuah kedai di al-Qaryatain, sebuah bandar di wilayah Homs di tengah Syria, selepas tentera Syria kembali menawannya daripada Negara Islam (IS), 4 April, 2016.
AFP

Seorang pembuat bom Malaysia yang berpangkalan di Syria telah berkongsi pengetahuannya dalam membuat bahan-bahan letupan dengan ahli-ahli yang direkrut oleh Negara Islam (IS) sejak lebih dua tahun lepas dan mengarahkan para militan itu untuk melancarkan serangan di negara asalnya, dakwa Ketua Anti Keganasan Polis Malaysia Malaysia dalam satu temu bual.

Ahli IS Muhamad Nasrullah Abd Latif (juga dikenali sebagai Abu Gomes) telah merekrut ahli-ahli dari negaranya untuk menyertai kumpulan eksremis itu  di Timur Tengah dan mengajar mereka membuat bom sejak dia meninggalkan Malaysia, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay kepada akhbar The Star dalam laporan yang disiarkan pada Khamis.

Ayob mengulas demikian susulan pengumuman polis pada Selasa mengenai tangkapan tujuh lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS dan organisasi militan lain di Malaysia. Mereka ditahan dalam beberapa serbuan di negeri-negeri berbeza di antara 3 Nov dan 16 Dis.

Antara tujuh yang ditahan itu adalah seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sendiri, yang ditahan di Melaka pada 26 Nov dan dipercayai menjadi ahli IS yang diajar untuk membuat bom buatan sendiri oleh Abu Gomes, yang berasal dari negeri utara Malaysia, Perak, dan telah berada di Syria lebih daripada dua tahun.

"Kami boleh mengesahkan bahawa dia [Abu Gomes] sering berkongsi pengetahuannya dalam membuat bom dan telah mengeluarkan arahan kepada sel-sel IS di Malaysia supaya melancarkan serangan," kata Ayob dalam laporan The Star.

Suspek yang tidak dikenali itu juga telah menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang rakyat Malaysia yang ke Syria dengan isterinya pada Januari 2015, dan turut merekrut ahli-ahli IS, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa mengumumkan mengenai penahanan itu.

Para penyiasat polis Malaysia sedang mengenal pasti ahli-ahli yang direkrut Abu Gomes, kata Ayob sambil memberitahu bahawa Abu Gomes tidak berpengaruh seperti Wanndy.

Pada Jun lalu, dua lelaki yang didakwa mempunyai kaitan dengan Wanndy dan IS, telah melancarkan serangan bom yang mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Puchong, dekat Kuala Lumpur - serangan pengganas pertama yang didakwa dilakukan Negara Islam di Malaysia. Kedua-dua suspek telah ditahan dan sedang menunggu perbicaraan pada  Januari.

Operasi IS

Khalid berkata, suspek warga asing lain yang bekerja di sebuah kilang di selatan negeri Malaysia, Johor, telah ditahan pada awal Disember lalu selepas didakwa cuba menyeludup senjata ke Poso, Indonesia, dan menyusup masuk ke Myanmar secara haram.

Ayob memberitahu The Star bahawa suspek itu, yang turut menerima arahan daripada Wanndy, merancang untuk menggunakan Malaysia sebagai pusat transit untuk menyeludup senjata kepada militan di Poso.

"Beliau memasuki negara ini secara sah setahun lalu tetapi telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan," kata Ayob. "Dia menggunakan pekerjaannya sebagai pekerja kilang di Johor Baru untuk mengaburi perbuatannya dalam melaksanakan operasi IS."

'Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami'


Sehingga November lalu, polis Malaysia telah menahan lebih daripada 260 orang yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan termasuk lebih daripada 70 orang yang telah didakwa di mahkamah. Statistik terkini menunjukkan terdapat 56 rakyat Malaysia di Syria, termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan. Dua puluh tujuh rakyat Malaysia telah terbunuh di Syria dan Iraq manakala lapan orang lagi telah kembali ke tanahair.

Antara yang turut ditahan minggu ini adalah dua pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Shah Alam, Selangor, kata Khalid.

"Suspek pertama  sebelum ini telah disiasat oleh pihak berkuasa asing kerana didakwa terlibat dengan kumpulan militan Daesh," kata Khalid, yang memetik nama lain bagi IS. "Pada September 2016, beliau dipercayai terlibat dalam mendapatkan maklumat keselamatan [mengenai] sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur."

Khalid berkata, suspek warga asing kedua pula berpakat dengan rakan universitinya. Kedua-dua lelaki itu, yang ditahan pada 3 Nov, telah pun dihantar pulang ke negara asal mereka.

Pada Khamis, pegawai-pegawai di Al-Madinah Universiti mengeluarkan kenyataan mengenai penahanan pelajar berkenaan. Kedua-dua suspek itu tidak mewakili kampus berkenaan, yang "bukannya hab penempatan aktiviti pengganas," kata universiti itu.

Dalam temu bual itu, Ayob juga memberitahu rakyat Malaysia supaya tidak panik dengan dakwaan serangan pengganas mungkin berlaku semasa cuti sempena Krismas dan Tahun Baru, lapor The Star.

"Orang ramai perlu menjalankan rutin harian mereka dan meraikan perayaan semasa musim cuti ini," katanya. "Kami sentiasa berjaga-jaga dan keselamatan rakyat adalah keutamaan kami."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.