Polis Malaysia Bongkar dan Lumpuh ‘Sel Baru IS’

Hata Wahari
2017.01.23
Kuala Lumpur
170123-MY-iscell-620.jpg Anggota Polis dari cawangan Anti-Keganasan Malaysia membawa seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan selepas ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, 13 Jan, 2017.
[Foto Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Polis Malaysia pada Isnin berkata mereka berjaya mendedahkan sel baru pelampau Negara Islam  (IS) yang merancang untuk menggunakan Sabah sebagai transit dalam menghantar anggota IS ke Filipina.

Ketua polis negara, Khalid Abu Bakar berkata, pegawai dari pasukannya mendapat tahu mengenai sel itu selepas menahan empat individu - seorang lelaki warga Filipina, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Malaysia - semasa serbuan oleh anggota anti-keganasan di Sabah dan Kuala Lumpur pada Jan 13 dan 19.  Kesemua suspek ditahan di bawah Akta 2012 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas).

Sel berkenaan dipercayai menerima arahan daripada bekas pensyarah Universiti Malaya yang didakwa menjadi militan di selatan Filipina, Mahmud Ahmad, dan Isnilon Hapilon, bekas pemimpin Abu Sayyaf yang mengetuai IS Filipina, entiti militan Negara Islam di negara berkenaan, kata Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada petang Isnin.

"Dengan tangkapan itu, cawangan khas PDRM telah menumpaskan sel baru bagi Daesh yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat transit kepada pengganas dari Asia Tenggara dan Asia Selatan dalam usaha menyusup masuk ke Filipina, bagi menyertai kumpulan pengganas di bawah pimpinan Mahmud dan Isnilon," katanya , menggunakan istilah lain bagi IS.

"Selain Mahmud, dua lagi rakyat Malaysia, anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho dan Joraimee Awang menyertai sel yang berpangkalan di Marawi City, Mindanao," kata Khalid dengan tidak memberi nama kesemua empat suspek yang ditangkap sejak  13 Januari itu.

Isnilon mengetuai al Harakat ul Islamiyah Basilan, salah satu daripada tiga kumpulan militan selatan Filipina yang telah berjanji setia kepada IS dan berusaha membentuk IS Filipina, menurut Rohan Gunaratna, penyumbang BeritaBenar yang juga Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Keganasan di S. Rajaratnam of International Studies di Singapura.

Mahmud, bekas pensyarah di Fakulti Pengajian Islam universiti berkenaan, menyertai kumpulan militan di selatan Filipina pada Januari 2014, demikian laporan The Malay Mail Online.

Maklumat dikeluarkan

Walaupun tidak menamakan mereka yang ditangkap sejak 13 Jan, Khalid menyifatkan suspek pertama sebagai ketua rekrut sel, yang merupakan seorang rakyat Filipina berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjual jam tangan, dan ditahan di Kota Kinabalu.

"Suspek yang telah berjanji setia kepada Mahmud telah diarahkan untuk membuat pengambilan serta menyusun anggota Daesh yang baru dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh termasuk etnik Rohingya dengan memasuki selatan Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas di Marawi City, Mindanao," katanya.

Suspek kedua, Khalid berkata, adalah seorang wanita Malaysia berusia 27 tahun dari Selangor yang telah direkrut oleh suspek pertama melalui media sosial pada awal Januari.

Katanya, wanita itu ditahan bersama suspek pertama di Kota Kinabalu selepas menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Jan.

"Mereka telah merancang untuk terbang ke Sandakan sebelum ke selatan Filipina," katanya, sambil menambah bahawa wanita itu memberitahu pihak berkuasa yang dia merancang untuk berkahwin dengan warga Filipina itu.

Manakala kedua-dua suspek lagi adalah lelaki Bangladesh berusia 27 dan 28, yang merupakan jurujual dan ditahan di Kuala Lumpur pada 19 Januari, kata Khalid.

"Kedua-dua lelaki telah direkrut oleh suspek pertama dan merancang untuk menyertai kumpulan yang diketuai oleh Mahmud di selatan Filipina," katanya.

"Mereka mempunyai kaitan dengan beberapa sel IS di Bangladesh juga."

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 264 suspek sejak 2013, dengan 66 orang telah pun dibebaskan, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ketua Anti-Keganasan PDRM, Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.