Follow us

Bekas Pengerusi Felda, Isa Samad Akan Didakwa di Mahkamah

Staf BeritaBenar
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-13
E-mel
Komen
Share
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] dan juga Felda Global Ventures Holding Berhad [FGV] Mohd Isa Samad dilihat meraikan penyenaraikan Felda di Bursa Saham Malaysia, di Kuala Lumpur 28 Jun 2012.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] dan juga Felda Global Ventures Holding Berhad [FGV] Mohd Isa Samad dilihat meraikan penyenaraikan Felda di Bursa Saham Malaysia, di Kuala Lumpur 28 Jun 2012.
[AP]

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] Mohd Isa Samad akan didakwa di mahkamah pada Jumaat berhubung dengan siasatan pembelian dua buah hotel, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] yang menyoal siasat beliau mengenai kes itu Khamis.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis berkata agensi itu telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa bekas pengerusi Felda itu pada Jumaat.

“Beliau [Isa] akan dituduh pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd [FIC],” kenyataan SPRM menyebut.

Kenyataan badan pencegahan rasuah itu juga memaklumkan bahawa Isa telah hadir di Ibupejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis untuk menandatangani notis aku janji kehadiran beliau di mahkamah esok, selain diambil keterangan akhir sebelum didakwa.

Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan pernah ditahan dan disiasat selama lima hari oleh SPRM berhubung pembelian hotel di Kuching dan London pada Ogos lepas.

SPRM menjalankan siasatan mengenai pembelian dua buah hotel pada 2014 dan 2015 berikutan harganya yang didapati melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Felda ditubuhkan pada 1956 adalah hasil cetusan idea Abdul Razak Hussein, bapa kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga perdana menteri kedua Malaysia. Ia ditubuhkan untuk mengagihkan tanah ladang kepada etnik Melayu di bawah program pembasmian kemiskinan.

Felda, pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar di dunia, berkembang menjadi sebuah syarikat perniagaan mega yang menjadi pengeluar terbesar minyak kelapa sawit di dunia menerusi unitnya yang disenaraikan sebagai Felda Global Ventures (FGV).

Felda juga menubuhkan FIC pada 2013 sebagai cabang pelaburan Felda untuk sektor hartanah, minyak dan gas.

FIC membeli hotel bertaraf empat bintang, Grand Plaza Kensington di London dengan kemudahan 62 bilik dan terletak di Lexham Gardens, pada 16 Disember 2014 pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian.

Manakala Hotel Istana Merdeka di Kuching adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang memiliki 213 bilik, dibeli oleh FIC dengan harga RM160 juta meskipun nilai sepatutnya yang direkodkan adalah RM110 juta.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarkan kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan.

Isa yang merupakan ahli politik veteran dalam parti UMNO mengetuai Felda pada 2011, pernah digantung jawatan dan keahliannya dalam parti itu selama dua penggal atau enam tahun pada 2004, selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO.



Lihat Laman Penuh