IS, Anggota Tentera Dihukum Penjara Tujuh Bulan

S. Adie Zul
2015.10.20
151020-MY-ISASKAR620 Seorang daripada lelaki rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS) ditahan polis di beberapa lokasi di Malaysia pada Ogos lepas. 15 September 2015
BeritaBenar

Seorang anggota tentera yang terpedaya dengan seruan 'jihad' selepas melayari Internet tentang perjuangan militan Negara Islam (IS) di Syria, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa selepas mengaku bersalah memuat turun imej bendera IS ke dalam telefon bimbitnya,

Hakim Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut kepada tertuduh Koperal Mohd Azidi Said, 28, dari Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mohd Azidi didakwa memiliki gambar mengandungi imej lambang IS di bilik maklumat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 10.05 pagi, 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap bahan penerbitan berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Mariah berkata, mahkamah mengambil kira bahawa Mohd Azidi tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.

"Mahkamah turut mengambil kira rayuan tertuduh yang kamu telah menyesal dan sedar yang ideologi yang diperjuangkan oleh IS adalah bertentangan dengan ideologi Islam.

"Oleh itu, adalah setimpal mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh kamu ditahan (19 Ogos)," katanya.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Azidi mula tertarik dengan 'jihad' selepas melayari laporan tentang gerakan IS di Syria melalui Internet dan seterusnya memuat turun imej bendera IS ke dalam telefon bimbit Samsung miliknya sebelum ditahan oleh polis pada 19 Ogos.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

‘Lima Ditahan’

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan polis telah menahan lima lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Zahid mengesahkan mengenai penangkapan itu semasa berucap pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, yang Polis telah menahan kelima-lima mereka yang dipercayai mahu ke Syria melalui Turki.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai penahanan itu.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menjawab pertanyaan ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Mahfuz Omar yang mempersoalkan tindakan polis menahan lima pelajar Malaysia yang mahu berangkat ke Turki untuk melanjutkan pelajaran.

“Senarai syak kita peroleh menerusi agensi perisikan antarabangsa. Kita tidak mempunyai niat untuk menyekat mereka sebaliknya bertindak selepas mendapat maklumat,” kata Ahmad Zahid menjawab pertanyaan itu pada sidang Dewan Rakyat berkenaan.

Terdahulu itu, Mahfuz mempertikaikan kenapa polis hanya menahan kelima-lima lelaki berkenaan apabila mereka melepasi pemeriksaan Imigresen, dan bukan sebelum pemeriksaan itu.

Mahfuz turut menyoal sama ada pihak polis mempunyai bukti kukuh bahawa kelima-lima lelaki itu merancang untuk menyusup masuk ke Syria melalui Turki.

Ahmad Zahid yang mempertahankan tindakan polis itu berkata, ianya tidak perlu dipertikaikan kerana pihak berkuasa mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.

Sambil menjelaskan, Istanbul menjadi transit sebelum ke Syria, dan Iraq menjadi pilihan untuk mereka yang mempunyai kaitan dengan IS melanjutkan pelajaran.

Ahmad Zahid juga meminta semua pihak memberi keyakinan penuh kepada pihak polis untuk memerangi ancaman militan.

“Berilah keyakinan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menangani elemen keganasan. Kita bertindak atas sebab kukuh yang disusuli dengan siasatan dan pendakwaan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan yang pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam melindungi keselamatan negara dengan mengambil beberapa langkah mengukuhkan kerjasama risikan dengan negara terlibat.

“Malaysia bukanlah sebuah negara yang menjadi tempat perlindungan pengganas tetapi menurut agensi perisikan antarabangsa, kita adalah negara transit sebelum mereka ke negara ketiga,” katanya.

Ahmad Zahid juga memberitahu sidang dewan yang seramai 132 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan elemen keganasan terutama kumpulan militan IS, termasuk tangkapan lima suspek di KLIA pada Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 123 telah ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang menyaksikan 22 dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), 38 dibebaskan, 48 didakwa, 14 diusir dan seorang masih dalam siasatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.