Kerajaan Malaysia beri bantuan tunai tambahan AS$143 juta bantu serap inflasi

Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.06.22
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia beri bantuan tunai tambahan AS$143 juta bantu serap inflasi Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (tengah) diapit Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz(kiri) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam satu sidang media di Putrajaya, 22 Jun, 2022.
Photo: Benar

Putrajaya pada Rabu mengumumkan bantuan tunai tambahan secara terus bernilai AS$143 juta kepada isi rumah berpendapatan rendah bagi menyerap kesan inflasi yang semakin meningkat, namun pengumuman itu disambut dengan kritikan segolongan rakyat yang mendakwa langkah yang diambil itu tidak membantu meringankan beban mereka.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa bermula bulan hadapan kerajaan akan menghentikan subsidi bagi sebahagian minyak masak, selepas menari subsidi bagi ayam dan telur sehari sebelumnya.

“Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, Kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 (AS$22.70) untuk golongan isi rumah dan RM50 (AS$11.35) untuk golongan bujang.

“Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion (AS$252 juta) dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM500 (AS$113.50) mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta (AS$143).

“Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang,” ujarnya dalam pengumuman itu.

Bantuan yang berjumlah sebanyak RM1.74 bilion (AS $386 juta) yang akan dimasukkan ke akaun penerima secara berperingkat bermula 27 Jun dikatakan yang tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan.

Mansuh subsidi, kekang penyelewengan

Pada sidang media sama Ismail Sabri mengumumkan pentadbirannya akan menghentikan subsidi untuk minyak masak berbotol kepada rakyat atas alasan bahan keperluan asas itu telah diselewengkan.

Menurutnya subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1kg hingga 5 kg yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu membabitkan peruntukkan berjumlah RM55 juta (AS$12.48 juta) sebulan bertujuan untuk meringankan beban rakyat sewaktu pandemik COVID-19.

“Berbanding minyak masak paket, minyak masak botol dilihat lebih mudah diseludup. Jika 10 botol minyak masak botol bersubsidi 5kg diseludup, ia bererti sudah 50kg.

“Melihat kepada penyelewengan yang berlaku, kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk meneruskan subsidi minyak masak botol kerana ia tidak lagi menepati objektif ia diperkenalkan untuk membantu golongan terkesan pandemik,” jelasnya.

Ismail Sabri menegaskan kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi minyak masak berpaket dengan peruntukan RM4 bilion (AS$908 juta) sepanjang tahun ini bagi membantu meringankan beban rakyat terkesan.

Peruntukan itu melibatkan 60 ribu tan metrik sebulan.

"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 (AS$0.57) sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9(AS$2) sekilogram bagi kegunaan domestik.

"Ertinya subsidi minyak masak paket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak," ujarnya bagi menafikan dakwaan yang kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sehari sebelum itu turut mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan lagi menanggung subsidi bagi ayam proses dan telur juga bermula 1 Julai.

Tindakan ini adalah untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan dapat menstabilkan harga.

Program subsidi itu diperkenalkan pada Febuari lalu dengan kerajaan menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 (AS$2.02) sekilogram bagi mengekang kenaikan harga ayam susulan peningkatan mendadak kos makanan ternakan.

Pembangkang beri tempoh 24 jam

Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM700 juta (AS$159 juta) bagi program subsidi berkenaan namun ramai penternak mengkritik proses agihan subsidi yang tidak efisien.

Pengumuman Putrajaya itu dibuat beberapa jam selepas gabungan terbesar pembangkang dalam Parlimen pada Rabu memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan untuk mengumumkan langkah menangani isu subsidi dan kos sara hidup rakyat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan berkata menteri-menteri yang bertanggungjawab perlu meletakkan jawatan sekiranya gagal memberi penjelasan penuh dalam tempoh berkenaan.

Majlis Presiden Pakatan yang dianggotai oleh pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik dan Parti Amanah Negara turut mengertak akan melakukan protes jika kerajaan gagal mengumumkan langkah menangani isu subsidi.

“Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” ujar kenyataan itu.

NGO, rakyat luah kekecewaan

Sementara itu, Mohideen Abdul Kader Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata langkah memansuhkan subsidi hanya akan menambahkan lagi beban rakyat yang kurang berkemampuan.

“Ada kalangan keluarga yang hidup dalam hutang yang membebankan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kebanyakan isi rumah menggunakan minyak masak botol dan para suri rumah yang ditemui oleh CAP mengeluh ini bukan masa yang sesuai untuk memansuhkan subsidi,” ujarnya kepada BenarNews.

Abdul Kader berkata langkah itu akan menyebabkan kenaikan harga makanan bermasak, seterusnya meningkatkan beban rakyat yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barangan hampir setiap hari.

“Jadi siapa yang akan menetapkan harga minyak masak botol selepas ini? Adakah kerajaan atau pengilang?

“Bagaimana kerajaan akan mengawal harga minyak masak tidak bersubsidi sedangkan mereka gagal mengawal harga ayam dan minyak masak berpaket?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, rakyat menggunakan media sosial untuk menyatakan keluhan susulan pengumuman kerajaan.

“Kalau dapat seribu sekali pun takkan mampu nak cover inflasi yang sedang meningkat. Dapat duit tu sekali je harga barang tetap tak turun,” jawab pengguna Twitter Hana Yasmeen kepada ciapan Ismail Sabri berhubung pengumuman bantuan tunai kepada rakyat.

“Tahniah.. sungguh tidak membantu rakyat pun..buang masa,” menurut pengguna Twitter Zulfikri Lani dalam satu ciapan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.