Polis Malaysia dapat perintah lanjutan reman terhadap lelaki Israel
2024.04.01
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 1 petang waktu tempatan ETS - 2024-04-02
Laporan ini dikemaskini untuk membuang nama suspek kerana beliau masih belum didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia.
Polis Malaysia pada Isnin mendapat perintah lanjutan tempoh tahanan reman keatas seorang lelaki warga Israel yang ditangkap bersama sejumlah senjata api dan ratusan butir peluru di Kuala Lumpur minggu lalu, selepas perintah itu tamat pada Ahad.
Lelaki berusia 36 tahun yang ditangkap di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu lepas itu juga sedang disiasat pihak berkuasa kebarangkalian seorang ejen perisikan Israel, demikian kata Ketua Polis Negara Jumaat lalu.
"Perintah lanjutan tahanan reman telah diperolehi dan suspek direman di bawah Akta Senjata Api 1960. Maklumat lanjut akan dikongsi oleh KPN (Ketua Polis Negara) pada sidang media yang akan diadakan pada Selasa," kata sumber keselamatan yang enggan dinamakan kerana tidak mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan media kepada BenarNews semasa dihubungi pada Isnin.
Beliau juga enggan mendedahkan berapa lama tempoh reman dilanjutkan terhadap warga Israel itu.
Rabu lepas, media tempatan melaporkan polis Malaysia menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol pelbagai jenis berserta 200 butir peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Semasa disoal siasat, lelaki tersebut mendakwa senjata tersebut diperoleh di Malaysia dan dibeli menggunakan mata wang kripto, dan mendakwa senjata api itu bertujuan membunuh seorang lagi warga Israel kerana masalah keluarga, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam sidang media pada Jumaat.
Pihak berkuasa Malaysia sebaliknya mengesyaki lelaki yang ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan sebat, mempunyai agenda lain.
Semasa sidang media tersebut, Razarudin turut menjelaskan, lelaki Israel itu masuk ke Malaysia dengan menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu, dan menunjukkan dokumen perjalanan Israel semasa disoal siasat.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara juga memaklumkan yang pihak berkuasa telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan ke atas raja dan pemimpin negara ekoran penahanan lelaki berkenaan.
Pada Sabtu lalu, Razarudin memberitahu BenarNews yang pihak polis telah menangkap sepasang suami isteri rakyat tempatan di Kuala Selangor, di negeri Selangor kerana disyaki menjadi dalang membekalkan pistol dan peluru kepada warga Israel itu.
Polis turut menahan seorang lagi lelaki tempatan di Cameron Highlands, di negeri Pahang yang dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara.
Pada Sabtu, The Times of Israel dalam laporannya menyebut beberapa media berbahasa Hebrew yang mendedahkan identiti suspek tersebut serta dikatakan mempunyai kaitan dengan penjenayah adik-beradik Musli.
Laman berita Mako, melaporkan suspek sebenarnya dalam perjalanan untuk misi membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah, Eran Haya.
Kedua-dua sindiket itu telah terlibat dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan, demikian menurut laporan saluran televisyen Israel, Channel 12 dengan memaklumkan yang rumah suspek terletak di kawasan kejiranan Bavli yang mewah di Tel Aviv menjadi sasaran beberapa serangan bom tangan yang dilemparkan oleh pengikut Haya pada pertengahan Mac, ketika beliau dikatakan memasuki Malaysia.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pada Disember lalu, negara Asia Tenggara itu mengenakan larangan berlabuh ke atas semua kapal dagang milik Israel di Malaysia sebagai tindak balas pencerobohan darat Israel ke atas Gaza.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Jerman baru-baru ini mengkritik sikap hipokrit negara Barat dalam menangani konflik di Asia Barat dan menolak konflik itu bermula dari tarikh pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, sebaliknya pendudukan yang berlaku sejak lebih lima dekad lalu.
Malaysia yang mempunyai penduduk majoriti Islam merupakan pendukung kuat Palestin dan konsisten menentang kezaliman Israel menduduki tanah Palestin.
BenarNews cuba menghubungi Kedutaan Israel di Singapura mengenai penangkapan lelaki Israel itu tetap tidak berjaya kerana pejabat berkenaan tidak segera menjawab soalan yang dihantar melalui emel.
Penunjuk perasaan yang berhimpun di hadapan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, melepaskan kemarahan dengan membakar bendera Israel kerana menyerang sebuah hospital dan membunuh ratusan mangsa terdiri daripada rakyat Palestine, serta pengepungan berterusan keatas Gaza, 20 Oktober, 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Rangkaian luar negara
Dalam pada itu, seorang pakar keselamatan, Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia percaya senjata api yang dirampas daripada warga Israel itu berkemungkinan disediakan oleh mereka yang mempunyai rangkaian dengan pihak luar negara.
Kata beliau, pasukan keselamatan perlu memastikan kawasan sempadan dikawal rapi bagi membendung aktiviti penyeludupan terutama di pintu-pintu masuk yang mudah diceroboh.
"Kerajaan perlu memperketat kawalan di pintu-pintu sempadan yang mudah diceroboh seperti di Kalimantan, perairan bersempadan Thailand, Wang Kelian, Perlis dan Sungai Golok, Kelantan. Perlu tambah anggota keselamatan di pintu-pintu sempadan bagi menyekat penyeludupan.
"Kes ini sepatutnya menjadi amaran untuk bertindak, kalau kita masih tidak beri perhatian lebih serius, maka keadaan lebih buruk berlaku," kata beliau kepada BenarNews.
Ahmad Martadha turut menasihatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati dengan ancaman ejen Israel terhadap keselamatan negara susulan penangkapan tersebut.
Kata beliau, kewujudan rangkaian ejen asing di Malaysia bukan sesuatu perkara yang tidak pernah terjadi tetapi kes terbaru itu memberikan ingatan agar kerajaan perlu lebih waspada.
Seludup melalui lorong ‘tikus’
Seorang lagi pakar keselamatan berkata kelemahan kawalan sempadan serta isu integriti di kalangan anggota pasukan keselamatan telah membuka ruang kepada penyeludupan senjata api ke Malaysia.
Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia memberitahu BenarNews, sindiket penyeludupan mempunyai jaringan perhubungan yang besar dan mampu menyediakan apa sahaja barangan yang diingini oleh individu yang sanggup membayar upah bersesuaian.
Jelas beliau, penyeludupan juga sukar dikekang ekoran kekurangan kelengkapan berteknologi tinggi untuk mengesan aktiviti jenayah itu kerosakan peralatan sedia ada di pintu sempadan.
"Selain masalah kekurangan teknologi serta kerosakan mesin 'scanner' (pengimbas) di sempadan negara, isu integriti dalam kalangan anggota keselamatan juga menjadi sebab senjata api dapat diseludup masuk ke dalam Malaysia.
"Kita tidak dapat menafikan integriti merupakan elemen paling penting, tetapi pihak berkuasa tidak suka bila saya sentuh hal ini. Namun itulah realitinya, pihak berkuasa yang tidak ada integriti telah membenarkan kemasukan senjata api," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah Mohd Mizan, senjata api yang dibawa masuk ke Semenanjung Malaysia biasanya diseludup melalui sempadan Thailand yang dikatakan akses paling mudah kerana mempunyai banyak laluan tikus.
Dengan garisan sempadan yang panjang merentasi empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan serta utara negeri Perak, laluan tikus di kawasan berkenaan dikatakan "paling ampuh" untuk kegunaan sindiket penyeludupan ke Malaysia.
"Berdasarkan rekod sebelum ini, laluan lain yang mungkin digunakan ialah melalui jalan laut dari Indonesia di mana tekong bot yang menyeludup pendatang asing tanpa izin turut membawa masuk senjata api dan sebagainya," tambah Mohd Mizan.
Justeru itu, beliau menyarankan kerajaan Malaysia supaya menambah peralatan berteknologi di kawasan sempadan sekali gus mampu mengurangkan faktor hubungan secara langsung antara pengawal sempadan dan penyeludup yang boleh mengundang perbuatan rasuah.
Ahmad Mustakim Zulkifli di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.