Follow us

IS: Malaysia Gagalkan Serangan Bunuh Diri Di Kuala Lumpur

Staf BeritaBenar
2016-01-16
E-mel
Komen
Share
Anggota pasukan keselamatan Malaysia terdiri daripada polis dan tentera sedang bertugas mengawal keselamatan di Kuala Lumpur. 20 November 2015.
Anggota pasukan keselamatan Malaysia terdiri daripada polis dan tentera sedang bertugas mengawal keselamatan di Kuala Lumpur. 20 November 2015.
AFP

Malaysia berjaya menggagalkan cubaan serangan bunuh diri ahli kumpulan militan Negara Islamic (IS) berikutan penahanan seorang suspek di ibu negaranya pada Jumaat.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata suspek itu, seorang rakyat Malaysia, ditangkap di Stesen LRT Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jantina suspek yang berusia 28 tahun itu.

"Suspek mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri  di Malaysia selepas menerima arahan daripada anggota IS warga asing di Syria," katanya dalam kenyataan yang turut disiarkan dalam laman Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek merupakan individu yang bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi di sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor.

“Tindakan itu bertujuan memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anasir-anasir IS di Malaysia,” kata beliau.

Tangkapan suspek IS itu dibuat sehari selepas Malaysia mengeluarkan amaran keselamatan negara tahap tinggi susulan beberapa siri kejadian pengeboman dan tembak menembak dipercayai anggota IS di ibu negara Indonesia, Jakarta, pada Khamis.

Malaysia memperketatkan lagi kawalan keselamatan di kesemua kawasan tumpuan awam dan pelancong serta pintu masuk negara dan sempadan bagi menyekat aktiviti yang mempunyai elemen keganasan.

Jakarta digegarkan dengan beberapa siri letupan dan tembak menembak dalam kejadian berhampiran Gedung Sarinah, sebuah pusat beli belah  di sekitar Jalan Thamrin, di tengah-tengah kota raya itu pada  10.50 pagi Khamis.

Tujuh orang termasuk lima suspek penjenayah dan dua orang awam iaitu seorang warga Kanada dan seorang lagi rakyat tempatan disahkan maut manakala 24 orang lagi dilaporkan cedera, termasuk lima anggota polis, empat warga asing (Jerman, Austria, Algeria dan Belanda) dan 15 rakyat tempatan.

'Tahan di Turki'

Dalam pada itu, Khalid berkata tiga lagi rakyat Malaysia disyaki ahli IS telah ditahan pihak berkuasa Turki di Gaziantep ketika cuba menyusup masuk ke Syria pada 15 Nov lalu.

"Kesemua mereka dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Jan dan ditangkap setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, mereka direkrut melalui Facebook dan aplikasi Telegram oleh warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi @ Abu Hamzah, yang telah menyertai IS di Syria.

Muhammad Wanndy juga bertanggungjawab merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria, katanya.

Sebelum ini, BeritaBenar pernah melaporkan bahawa Wanndy, yang berasal dari bandar kecil Durian Tunggal di Melaka,  tergolong dalam unit IS, Majmu'ah al Arkhabiliy (yang sebelum ini dikenali sebagai Katibah Nusantara) dengan ahlinya terdiri sepenuhnya daripada pejuang berbahasa Melayu dari Indonesia dan Malaysia.

Pada akhir Februari, kisah Wanndy menjadi tajuk utama berita di tanah air apabila dia dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Faris Anuar, dilaporkan menjadi sebahagian daripada kru video IS yang merakamkan hukuman pancung banduan Syria. Satu imej yang diambil daripada video itu menunjukkan Wanndy tersenyum ketika membongkok ke arah mayat tanpa kepala itu.

Khalid berkata, keempat-empat suspek itu, yang berumur antara 23 dan 28 tahun, terdiri daripada pasangan suami isteri berasal dari Perak dan dua lagi berasal dari Terengganu yang masing-masing bekerja sebagai jurutera dan ejen insurans.

Menurut beliau, kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012.



Lihat Laman Penuh