Follow us

Malaysia Tubuh Jawatankuasa Bantu Pembaharuan Ekonomi

Nani Yusof
Washington, District of Columbia
2018-05-15
E-mel
Komen
Share
Mah Weng Kwai [bertali lereh merah] bersama ahli panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] sedang melihat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Kuala Lumpur, 11 Nov 2017.
Mah Weng Kwai [bertali lereh merah] bersama ahli panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] sedang melihat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Kuala Lumpur, 11 Nov 2017.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Malaysia melalui Majlis Penasihat Kerajaan melantik lima tokoh tempatan yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan dan ahli ekonomi untuk menganggotai  sebuah jawatankuasa baru - Jawatankuasa Pembaharuan Institusi - untuk menyokong usaha reformasi ekonomi negara.

Mereka yang dilantik ke jawatankuasa itu ialah Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaaan S. Ambiga, dua hakim bersara Mahkamah Persekutuan, iaitu KC Vorah, Mah Weng Kai yang juga Persuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Dua lagi anggotanya ialah pensyarah undang-undang yang juga pemegang Kerusi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen [B] Mohamad Arshad Raji.

Majlis Penasihat Kerajaan yang dibentuk pada 12 Mei lalu bagi menasihati kerajaan mengenai isu ekonomi dan kerajaan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menerusi Bernama pada Selasa berkata, jawatankuasa itu akan membentangkan penemuan serta saranan kepada majlis itu yang kemudian akan mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Majlis berkenaan berkata , pembaharuan ekonomi semata-mata tidak mampu membawa perubahan yang diinginkan, melainkan turut diiringi pembaharuan institusi.

Pada Sabtu lepas, Mahathir, Perdana Menteri ke-7 Malaysia yang berusia 92 tahun mengumumkan pembentukan satu “pasukan yang dianggotai pakar atau tokoh terbilang” bagi menasihati kerajaan berkaitan isu-isu ekonomi dan kewangan semasa tempoh peralihan.

“Kami sedar bahawa kebanyakan daripada kami tidak mempunyai pengalaman atau mempunyai sedikit pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan. Oleh itu kepakaran ini perlu datang daripada mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini, atau pernah  memegang jawatan dengan tanggungjawab ini,” kata Mahathir semasa mengumumkan mengenai pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan itu.

Majlis penasihat itu diketuai oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas gabenor bank negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Hassan Marican, ahli perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

“Buat sementara waktu sebelum kami melantik menteri, kami perlu menyiasat banyak perkara dan sesetengahnya mungkin membabitkan menteri dan kakitangan sendiri. Jadi kami memerlukan orang yang tidak terlibat untuk meneliti laporan-laporan,” kata Mahathir.

Jawatankuasa itu akan diwujudkan untuk tempoh 100 hari, demikian menurut satu kenyataan berhubung pembentukannya.

Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada Khamis lalu, sehari selepas blok pembangkang yang diketuainya menewaskan gabungan parti yang paling lama memerintah negara itu, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum ke-14. PH dan sekutunya memenangi 135 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.


Arief Rahmat di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh