Bahasa Baru Dikenali Jedek Ditemui di Kelantan

Staf BeritaBenar
2018.02.12
Kuala Lumpur
180212-my-orangasli620.jpg Sekumpulan Orang Asli di kawasan penempatan semula di Sungai Rual, daerah Jeli, Kelantan, sedang duduk bersembang sesama mereka. Dua orang penyelidik dari University Lund di Sweden yang sedang membuat kajian mengenai bahasa di kawasan berkenaan telah menemui bahasa baharu yang dikenali sebagai Jedek.
[Niclas Burenhult/Lund University]

Bahasa Jedek yang dituturi oleh sekumpulan Orang Asli di Kelantan adalah satu bahasa yang berjaya ditemui oleh pengkaji bahasa asing dari sebuah universiti Sweden baru-baru ini.

Dua orang penyelidik dari University Lund telah membuat penemuan mengejut itu semasa sedang membuat kajian mengenai bahasa Jahai di kawasan penempatan semula Orang Asli di Sungai Rual, daerah Jeli yang terletak di wilayah utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand.

Apa yang menarik ialah bahasa Jedek digambarkan sebagai varian daripada bahasa Austroasiatik yang tidak dituturkan komuniti yang hidup terasing di hutan tebal, tetapi oleh 280 Orang Asli yang mengamalkan cara hidup berkelompok dan memburu di kawasan yang pernah dikaji oleh pakar antropologi sebelum ini.

Penemuan bahasa tersebut oleh pelajar ijazah kedoktoran dari universiti berkenaan, Joanne Yager telah dihebahkan menerusi kenyataan media dan rakaman video yang disiarkan di dalam laman web universiti itu pada 6 Feb lepas.

Berita mengenai penemuan bahasa itu turut disiarkan oleh beberapa media antarabangsa seperti National Georgraphic, National Public Radio [NPR] dan Smithsonian.

Joanne berkata, dokumentasi bahasa minoriti yang terancam seperti Jedek itu sangat penting kerana secara tidak langsung boleh memberi wawasan baharu dalam bidang kognisi pemikiran dan adat budaya manusia.

Pelajar kedoktoran itu bersama Profesor Linguistik Umum dari university yang sama, Prof. Madya Niclas Burenhult menemui bahasa Jedek ketika proses pengumpulan data yang dilakukan dalam satu projek dokumentasi bahasa berjudul, Tongues of the Semang (2005–2011) yang mana para pengkaji menemu bual beberapa penduduk kampung di negeri berkenaan.

“Kami menyedari sebahagian besar penduduk kampung tersebut menggunakan bahasa yang berbeza. Mereka menggunakan perkataan, fonem dan struktur tatabahasa yang tidak digunakan dalam bahasa suku kaum Jahai.

“Beberapa perkataan (bahasa Jedek) mempunyai kaitan dengan bahasa etnik Orang Asli lain yang digunakan jauh dari kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia,” jelas Joanne dalam kenyataan tersebut.

Niclas dalam kenyataan media itu juga berkata, mereka menggunakan set soalan yang berbeza daripada yang digunakan oleh pengkaji lain dan menjumpai apa yang pakar antropologi terlepas pandang sebelum ini.

“Jedek bukan bahasa yang dituturkan oleh puak yang tidak dikenali di hutan tebal seperti yang dibayangkan oleh banyak pihak, tetapi di sebuah kampung yang sudah dikaji oleh pakar antropologi sebelum ini,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan di Sweden itu turut memaklumkan bahawa masyarakat yang menggunakan bahasa Jedek mengamalkan hak gender yang sama berbanding masyarakat Barat, hampir tidak mempunyai keganasan interpersonal serta menggalakkan anak mereka tidak bersaing kerana penduduk berkenaan tidak mempunyai undang-undang atau mahkamah.

Kedua-dua penyelidik Sweden itu juga menekankan betapa pentingnya kerja-kerja di lapangan termasuk tempoh yang panjang yang dihabiskan dengan berbilang penutur bahasa.

“Sama ada ianya bahasa atau tidak, “penemuan baru” ini sangat bernilai kerana banyak masa telah diambil untuk membuat kajian mendalam terhadap bahasa yang kurang dikenali ini,” kata Joanne seperti dilaporkan oleh NPR.

Joanne semasa ditemubual oleh stesen radio tersebut berkata "Ia selalunya menjadi bahasa yang kecil ... kerana kumpulannya kecil dan berpindah-pindah, dan kanak-kanak masih lagi belajar bahasa berkenaan, dan ini merupakan satu perkembangan yang menggalakkan di dalam masa depan bahasa tersebut.

Dianggarkan 6,000 jenis bahasa kini dituturkan di seluruh dunia dengan kira-kira 80 peratus penduduk dunia menggunakan satu bahasa dunia utama, manakala selebihnya menuturkan salah satu daripada 3,600 bahasa yang lebih kecil.

Pakar penyelidik percaya bahawa kira-kira separuh daripada bahasa dunia akan pupus 100 tahun dari sekarang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.