Thailand, Malaysia Jangka Tiada Ancaman Pengganas Susulan Amaran Jepun

Indonesia pula menyatakan bahawa ia akan menyiasat maklumat itu, yang terkandung dalam pemakluman Jepun kepada rakyatnya yang berada di rantau itu.
Shailaja Neelakantan, Muzliza Mustafa & Nontarat Phaicharoen
2021.09.13
Washington, Kuala Lumpur & Bangkok
Thailand, Malaysia Jangka Tiada Ancaman Pengganas Susulan Amaran Jepun Penduduk kampung membawa mayat petani yang dipercayai dibunuh oleh militan Mujahidin Indonesia Timur (MIT) di Kabupaten Parigi Moutong, Indonesia, 14 September 2015.
[BenarNews]

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan ETS - 2021-09-13

Pihak berkuasa Thai dan Malaysia pada Isnin menyatakan keadaan di negara masing-masing adalah selamat susulan amaran Jepun mengenai kemungkinan berlakunya serangan bom di Asia Tenggara, manakala polis anti-keganasan Indonesia berkata ia akan menyiasat perkara itu.

Jepun mengeluarkan amaran itu kepada rakyatnya berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Site Intelligence Group, sebuah badan di Amerika Syarikat yang memantau komunikasi kalangan ekstremis di dalam talian. Badan itu mendakwa kumpulan pro Negara Islam di Afghanistan telah mengisytiharkan bahawa ini adalah "masanya untuk berperang" terutamanya di enam negara di Asia Tenggara.

Ketua Cawangan Anti-Pengganas Polis Diraja Malaysia Normah Ishak berkata bahawa amaran yang dikeluarkan Jepun itu hanyalah perkara rutin.

"Tidak ada maklumat kukuh mengenai ancaman serangan di negara kami. Rakan sejawatan kami di Jepun berkata bahawa ia adalah amalan biasa mereka untuk mengeluarkan amaran umum pada ulang tahun kejadian 9/11 selain perkembangan yang berlaku di Afghanistan," kata Normah kepada BenarNews, dengan merujuk kepada kejadian serangan maut pada 11 Sept 2001 di AS.

"Situasi keselamatan di Malaysia adalah terkawal dan pihak keselamatan juga sentiasa dalam keadaan siap siaga."

Kementerian Luar Malaysia berkata bahawa pemakluman Jepun itu telah dikongsi dengan pihak berkuasanya "kerana pihak kami memandang perkara ini dengan amat serius."

Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur dan Bangkok menggesa rakyat mereka yang berada di negara itu supaya "lebih berwaspada berhubung keganasan" dan menasihati mereka supaya mengambil langkah-langkah keselamatan awal.

"Terdapat maklumat mengenai kemungkinan berlakunya serangan bom di tempat-tempat kunjungan ramai seperti rumah-rumah ibadat," menurut pemakluman itu.

"Sekiranya anda tidak dapat mengelak daripada melawat lokasi yang berkemungkinan menjadi sasaran mudah pengganas, berikan lebih tumpuan terhadap keadaan sekeliling, dan sekiranya anda mengesyaki sesuatu, segera tinggalkan kawasan itu."

'Amaran Rutin'

Thailand mengesahkan bahawa Kementerian Luar Negeri Jepun telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di negara itu. Namun, timbalan jurucakap pasukan polis kebangsaan Thailand Kolonel Krisana Pattanacharoen berkata bahawa tiada maklumat risikan terkini mengenai ancaman keganasan.

Nasihat yang dikeluarkan Jepun "mungkin amaran rutin, tetapi pihak keselamatan dan cawangan khas polis berkata tiada tanda mengenai serangan pengganas," kata Krisana dan memberitahu bahawa "kami tetap berwaspada".

Kementerian Luar Negeri Thailand berkata Kedutaan Jepun di Bangkok tidak mempunyai butiran mengenai serangan yang mungkin berlaku.

"Kementerian Luar Negeri Jepun tidak mendapatkan pengesahan daripada sumber yang memberikan maklumat tersebut kepada mereka, manakala kedutaannya pula tidak mempunyai butiran lanjut," kata Tanee Sangkrat, jurucakap Kementerian Luar Thailand kepada wartawan.

"Kementerian Luar Jepun menghantar e-mel kepada semua rakyatnya di rantau ini, bukan sahaja di Thailand."

Laporan media menyatakan bahawa amaran itu dihantar kepada enam negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Seorang pegawai Densus 88, unit elit anti-pengganas Indonesia, berkata bahawa agensi itu akan menyiasat amaran yang dikeluarkan Jepun itu.

"Kami tidak menerima sebarang amaran daripada badan berkaitan. ...Kami sedang memeriksa maklumat tersebut," ketua operasi Densus 88, Aswin Siregar, kepada BenarNews.

Laporan ancaman

Dalam pemakluman perjalanan yang dikeluarkan pada 30 Ogos lalu, AS telah memberikan amaran bahawa pengganas di Indonesia "mungkin melancarkan serangan tanpa sebarang amaran atau dengan sedikit amaran, dan menyasarkan balai polis, rumah ibadat, hotel, bar, kelab malam, pasar atau pusat beli-belah serta restoran."

Pada 10 Sept, Site Intelligence Group berkata satu mesej berbahasa Melayu yang dimuat naik dalam sebuah platform pro-Negara Islam menggesa penyerang sendirian supaya menyasarkan serangan terhadap orang bukan Islam dan rumah ibadat mereka serta tempat mereka berkumpul untuk aktiviti keagamaan di Asia Timur. Mesej itu menyatakan bahawa pejuang-pejuang bersedia untuk melaksanakan pengeboman berani mati di rantau itu dan di Afghanistan.

Site Intelligence berkata penulis mesej tersebut menggunakan nama yang sama seperti nama seorang individu, yang didakwa timbalan ketua Mujahidin Asia Timur di Khorasan, iaitu sebuah "wilayah" Negara Islam (IS) di Afghanistan.

Pada 8 Sept, penulis sama di platform itu menyatakan bahawa inilah “masanya untuk berperang" di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand, menurut laporan SITE.

"Terdapat gereja, kuil, vihara [kuil agama Buddha] dan pusat komuniti Yahudi di merata tempat, dan semua lokasi ini boleh diletupkan. Kesemua lokasi itu berada di kawasan kafir."

Kafir adalah perkataan Arab yang merujuk kepada orang bukan Islam.

BenarNews telah menghubungi SITE Intelligence untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tetapi masih belum menerima maklum balas.

Sebuah kumpulan dikenali sebagai Negara Islam Wilayah Khorasan telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan pengeboman berani mati di lapangan terbang Kabul pada 26 Ogos yang mengorbankan kira-kira 170 orang awam dan 13 anggota tentera AS.

210913-sea-jp-pic2.png

Gambar yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia menunjukkan tiga belas lelaki yang dipercayai "pengganas asing" dan telah didakwa di sebuah mahkamah Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam, 13 Oktober 2017. [Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Faktor Taliban

Seorang penganalisis keselamatan Malaysia berkata amaran Jepun itu berkemungkinan dipengaruhi kejadian yang berlaku di Afghanistan baru-baru ini.

"Perkembangan di Afghanistan itu adalah selepas Taliban meraih kuasa dan adanya kebimbangan bahawa kejayaan Taliban itu akan mencetuskan inspirasi kepada kumpulan ekstremis lain terutama di Asia Tenggara," kata Ramli Dollah, ahli akademik di Universiti Malaysia Sabah, kepada BenarNews.

Pegawai-pegawai Indonesia, Malaysia dan Filipina pada bulan lepas memberitahu BenarNews bahawa kembalinya Taliban ke tampuk kuasa Afghanistan boleh mencetuskan semangat kepada sel-sel pengganas di negara-negara Asia Tenggara.

Walaupun kumpulan pro-IS telah dilemahkan dengan signifikan, sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara semakin kukuh dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kata Zachary Abuza, profesor di National War College di Washington, dalam penulisan terbarunya untuk kolum BenarNews.

"Jemaah Islamiyah sedang menunggu untuk kembali bangkit. Ia mempunyai sumber kewangan untuk berbuat demikian," menurut artikel Abuza.

Sebelum Taliban merampas semula Afghanistan, JI - yang bertanggungjawab bagi pengeboman Bali pada 2002 - telah melihat kebangkitan semula di Indonesia, kata Abuza kepada BenarNews bulan lalu.

Nisha David di Kuala Lumpur, Tria Dianti di Jakarta dan Marielle Lucenio di Manila truut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.