Satu Lagi Rompakan Kapal Di Perairan Malaysia

Oleh Hata Wahari
2015.08.10
150810-MY-APM620 Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia membuat rondaan di sepanjang perairan Pulau Langkawi. 12 Mei 2015.
AFP

Satu lagi rompakan kapal tangki membawa muatan minyak berlaku di perairan Malaysia, dan kali ini lanun melarikan kapal tangki MT Joaquim milik Singapura ke Pulau Langkawi pada Sabtu lepas.

Kapal tangki yang membawa muatan 3,500 tan minyak mentah bernilai RM2.8 juta, semasa dalam perjalanan dari Tanjung Pinang, Indonesia, didapati hilang semasa berada di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kapal tangki yang membawa 10 anak kapal terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang rakyat Singapura itu, ditemui semula pada esoknya di kedudukan 14 batu nautika timur Pulau Rupat, Indonesia dengan muatan minyaknya lesap.

Pada 11 Jun lepas, kapal tangki, MT Orkim Harmony, yang membawa 6,000 tan petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Kapal milik syarikat Malaysia, Magna Meridian Sdn. Bhd. membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar dilarikan lanun dan selepas tujuh hari, kapal berkenaan berjaya dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia bersama muatannya di Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam.

Kesemua lapan lanun yang dipercayai merompak kapal itu berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam di perairan Pulau Tho Chu di selatan negara itu, seminggu selepas dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Ahmad Puzi Ab Kahar yang mengulas mengenai kejadian terbaru itu berkata, kes kehilangan kapal MT Joaquim akan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, kapal tangki itu telah dijumpai di kedudukan kira-kira 13.7 batu nautika dari Tanjung Keling, Malaysia selepas ia dilaporkan dirampas pada Sabtu lepas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Singapura, agensi itu berkata MPA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia serta syarikat pengurusan kapal untuk membawa balik kapal tangki berkenaan ke Singapura.

Kenyataan itu juga menyebut, seorang anak kapal yang dilaporkan cedera telah diterbangkan ke Hospital Alor Gajah di Melaka untuk menerima rawatan.

Indonesia berkas lanun

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada lewat malam Isnin melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia telah menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai digunakan untuk merompak MT Joaquim, di perairan Dumai, Indonesia.

Memetik Ahmad Puzi sebagai berkata, pihak berkuasa Indonesia telah menghubungi APMM memaklumkan mengenai penahanan tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Puzi berkata pihak berkuasa Indonesia masih lagi menjalankan siasatan  berkaitan individu yang berada di dalam kapal berkenaan dan sedang menentukan sama ada individu tersebut adalah adalah suspek di dalam kes rompakan kapal tangki MT Joaquim.

Difahamkan bahawa kes rompakan terbaru ini merupakan kejadian ke lapan yang berlaku di perairan Malaysia sejak Januari.

Pihak berkuasa Malaysia bagaimanapun, mendakwa kejadian terbaru yang melibatkan MT Joaquim merupakan insiden pertama yang berlaku di Selat Melaka di kawasan maritim Malaysia  tahun ini.

Kebanyakan perompak di perairan Malaysia selalunya merampas kapal yang berisi minyak dan menyasarkan kapal tangki yang mengangkut minyak petrol dan diesel kerana ia sangat mudah dijual di pasaran.

Menteri Luar Anifah Aman berkata, rondaan dan pemantauan kawasan-kawasan maritim Malaysia termasuk di Selat Melaka telah dijalankan dengan aktif oleh APMM dan agensi lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau berkata, negara-negara pesisir Selat Melaka dan Singapura telah melaksanakan kerjasama dalam bentuk Rondaan Selat Melaka (MSP) pada 2004 yang terdiri daripada dua komponen - Rondaan Laut Selat Melaka (MSSP) dan rondaan udara maritim 'Eyes in the Sky' (EiS).

“Ia terbukti berjaya mengurangkan bilangan kegiatan pelanunan dan rompakan di laut (sebenar dan percubaan) di Selat Melaka dan Singapura daripada 38 kes pada 2004 menurun kepada dua kes pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Malaysia menggesa negara-negara pesisir supaya mengukuhkan lagi kerjasama di bawah rangka kerja sedia ada, meningkatkan perkongsian maklumat dan perisikan serta menjalankan usaha secara kolektif untuk memastikan keselamatan berterusan di Selat Melaka.

Mengenai tawaran bantuan asing, Malaysia berpendapat bahawa negeri-negeri pesisir pantai mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan keselamatan di Selat Melaka dan Singapura.

"Bantuan sedemikian terhad kepada usaha membangunkan kapasiti, perkongsian maklumat dan perisikan, dan bantuan tersebut tidak menjejaskan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah," kata beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Mohd Johari Baharom berkata, masyarkat perkapalan antarabangsa diminta agar tidak bimbang dengan ancaman lanun atau perompak semasa melalui perairan Malaysia kerana tahap keselamatannya masih terjamin.

Katanya, aset keselamatan negara sentiasa diletakkan di dalam keadaan siap siaga di samping Malaysia mendapat kerjasama erat daripada negara jiran pesisir perairan seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam.

“Walaupun Malaysia mempunyai perairan yang luas dan aset keselamatannya tidak sebanyak China dan Amerika Syarikat, namun negara mampu menjaga keselamatan perairan dengan kerjasama erat daripada negara-negara serantau," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.