Follow us

Malaysia Tahan 15 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Johor

Ali Nufael & Nat Shu
Kuala Lumpur & Johor, Malaysia
2019-05-02
E-mel
Komen
Share
Kapal nelayan asing yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Tanjung Sedili di perairan Kota Tinggi, Johor, Malaysia. 1 Mei, 2019.
Kapal nelayan asing yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Tanjung Sedili di perairan Kota Tinggi, Johor, Malaysia. 1 Mei, 2019.
[Ihsan APMM Zon Tanjung Sedili]

Malaysia menahan 15 nelayan asing dipercayai warga Vietnam di sekitar perairan Laut China Selatan dan Selat Singapura berhampiran Kota Tinggi, Johor kerana menceroboh perairannya dan mencuri sumber perikanan secara haram, demikian kata pihak berkuasa maritim pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi Zon Tanjung Sedili Kapten Mohd Zulfadli Nayan berkata tekong dan anak kapal berusia antara 17 dan 45 tahun ditahan pada kedudukan 26.5 batu nautika di bahagian timur Tanjung Balau pada kira-kira 11.45 pagi Rabu.

“Sepasukan bot peronda Maritim sedang menjalankan Operasi Jaksa di perairan tersebut, telah mengesan sebuah bot yang dipercayai bot penangkapan ikan asing yang mempamerkan tanda nama seperti bot nelayan tempatan.

“Semasa mahu menjalankan siasatan, bot tersebut cuba melarikan diri dengan memotong pukat namun berjaya dipintas dan ditahan. Bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan bot tersebut dan pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985," kata Zulfadli.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan tekong bot gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia, dengan anak kapalnya juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Zulfadli memberitahu bahawa rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang 3 juta ringgit [AS$725,505] termasuk bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut, dan bahan bakar.

"Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan diperairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan tekong boleh dikenakan denda 1 juta ringgit [AS$242,130] manakala anak kapal boleh dikenakan denda 100 ribu ringgit [AS$24,214] setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya serta kedua-dua bot berserta peralatannya boleh dilucuthak.

"Tangkapan kali ini merupakan bot ketiga yang ditahan melibatkan nelayan asing di perairan Johor Timur sepanjang minggu ini," tambah Zulfadli.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Jemaah Menteri Malaysia telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Menurut beliau, empat kementerian serta tujuh agensi terbabit dengan pasukan itu yang akan menjalankan tugas dengan kadar segera.

Agensi penguatkuasaan yang bakal terlibat adalah Agensi Perguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin juga berkata Malaysia mengalami kerugian 6 bilion ringgit (AS$1.45 bilion) kerana pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam.

Menurut statistik 2019, sebanyak 53 penahanan telah dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia dengan 24 daripadanya merupakan kapal dari Vietnam.

Dari 53 penahanan, pihak maritim telah menahan 41 buah bot, Jabatan Perikanan menahan sembilan bot manakala PDRM telah menahan tiga bot.

Menurut media tempatan, nelayan Vietnam merupakan nelayan asing yang didapati berdegil dan terus menceroboh perairan Pantai Timur Malaysia, walaupun negara berkenaan sudah mendapat amaran daripada Kesatuan Eropah [EU] berhubung isu itu sejak September 2017.

Penguatkuasaan kurang mantap


Akhbar tempatan Berita Harian dalam laporannya pada 28 Mac 2018 berkata, sebanyak 62 kes pencerobohan oleh nelayan asing terutamanya Vietnam telah dilaporkan bagi empat bulan pertama bagi tahun 2018.

Perairan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan meliputi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang iaitu sekitar 121,398 kilometer persegi dengan jarak pantai 574 kilometer bermula dari Pantai Tok Bali di Kelantan sehingga ke Endau, Rompin di Pahang.

Sementara itu, pengerusi Lembaga Ikan Malaysia Faiz Fadzil berkata masalah pencerobohan itu gagal ditangani selama ini kerana kekurangan penguatkuasaan yang mantap.

Faiz memberitahu BeritaBenar bahawa tindakan kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi mengekang masalah ini dilihatbnya sebagai sesuatu yang positif dan bakal membuahkan hasil.

"Nelayan asing ini ganas dan penguatkuasaan kita selama ini gagal membendung kegiatan haram mereka dan kerajaan Pakatan Harapan sedar bahawa perkara ini harus ditangani segera dan pasukan khas yang baru dibentuk itu dilihat dapat menganggani masalah berkenaan," kata Faiz.

Lihat Laman Penuh