Follow us

Tiada Unsur Jenayah Dalam Simpanan Bank Pengarah JSJ Di Sydney - PDRM

N. Natha
Kuala Lumpur
2018-03-02
E-mel
Komen
Share
Wartawan dan jurugambar menunggu di luar Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 19 Feb, 2017.
Wartawan dan jurugambar menunggu di luar Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 19 Feb, 2017.
[AP]

Siasatan dalaman terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia mendapati "tiada kesalahan yang boleh didakwa" terhadapnya, kata pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat, selepas Australia membekukan kira-kira AUS$320,000 dalam akaun bankĀ  Ahmad Najmuddin Mohd di Sydney kerana disyaki hasil pengubahan wang haram atau hasil jenayah.

Simpanan yang terdapat dalam akaun beliau adalah hasil daripada penjualan rumahnya di Shah Alam, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang memetik siasatan dalaman. Simpanan tersebut berjumlah kira-kira AS$248,000 atau RM969,700.

"Adalah tidak berasas untuk menganggap bahawa sumber wang itu berasal daripada hasil yang mencurigakan atau Ahmad Najmuddin terlibat dalam sebarang kesalahan yang boleh didakwa," kata Fuzi dalam satu kenyataan.

Najmuddin pada mulanya membuka akaun bank pada tahun 2011 bagi menanggung pendidikan anak lelakinya di Australia, dan kemudiannya mengaktifkan semula pada 2016 bagi pengajian ijazah sarjana anak perempuannya di Sydney, kata Fuzi, sambil memberitahu pegawai kanan itu menyediakan dokumen yang mencukupi dalam memberi justifikasi tentang perlunya akaun simpanan itu.

Tetapi, The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa polis Australia telah melancarkan siasatan selepas pegawai bank mendapati adanya "deposit tunai yang mencurigakan" ke dalam akaun bank "Goal Saver" Bank Commonwealth milik Najmuddin. Ia tidak aktif selepas dibuka tujuh tahun lalu. Polis Australia kemudian membekukan akaunnya itu.

"Tidak ada alasan jelas mengenai bentuk dan cara deposit itu," kata pegawai polis Australia dalam afidavit yang dipetik akhbar itu.

Najmuddin, 59, pernah menjadi Ketua Polis Johor, negeri di selatan Semenanjung Malaysia yang bersempadanan dengan Singapura. Beliau dilantik untuk mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Ogos tahun lalu.

BeritaBenar tidak dapat menghubungi Najmuddin untuk mndapatkan komen beliau.

The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa beliau tidak cuba untuk mendapatkan semula wangnya itu daripada pihak berkuasa Australia, dengan memetiknya sebagai menafikan sebarang salah laku dan menyatakan bahawa mengambil tindakan mahkamah adalah terlalu mahal.

Akhbar itu melaporkan bahawa deposit di bawah AUS$10,000 (AS$7,750 atau RM30,300) bermula dalam tempoh seminggu selepas Najmuddin melawat Australia pada 2016, dan beberapa deposit lagi dibuat di beberapa cawangan dan ATM di seluruh negara itu.

Menurut laporan akhbar itu, baki akaun Najmuddin bertambah dengan cepat dalam masa sebulan, yang membawa kepada pihak berkuasa negara itu mengesyaki bahawa wang berkenaan adalah hasil pengubahan wang haram atauĀ  hasil jenayah.

Lihat Laman Penuh