Rakyat Malaysia Antara Tiga Terbunuh Dalam Kejadian Culik dan Tembak di Kabul

Hadi Azmi
2018.08.02
Kuala Lumpur, Malaysia
180802-MY-Afghan1000.jpg Pegawai keselamatan Afghanistan dan polis menolak kenderaan di mana seorang wanita Jerman yang bertugas dengan sebuah agensi pembangunan Jerman GIZ telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di pintu masuk ke pejabat berkenaan di Kabul, 17 Ogos 2015.
AFP

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai tukang masak adalah di antara tiga lelaki asing yang dipercayai diculik dan dibunuh oleh kumpulan militan di daerah Mussahi, selatan Kabul, Afghanistan, demikian menurut laporan media antarabangsa pada Khamis.

Rakyat Malaysia berusia 64 tahun itu bersama dua lagi rakan sekerjanya,warga India berumur 39 tahun dan warga Macedonia berusia 37 tahun, ditemui di dalam kereta di tempat letak kereta di daerah itu dengan luka akibat tembakan di bahagian badan menurut polis negara berkenaan.

Dalam kenyataan kepada agensi berita Reuters, pihak berkuasa Afghanistan berkata mereka telah menjumpai kad pengenalan diri mangsa berdekatan dengan mayat. Pengurusan syarikat Sodexo Afghanistan telah mengesahkan bahawa ketiga- tiga mangsa merupakan pekerja syarikat tersebut.

Sodexo merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang memberikan perkhidmatan penyediaan makanan di fasiliti pejabat, ketenteraan, sekolah, hospital dan juga penjara di negara itu.

Syarikat penyediaan makanan antarabangsa yang turut mempunyai cawangan di Malaysia juga mengeluarkan kupon makanan dan hadiah.

Penculikan yang didalangi oleh penjenayah atau kumpulan militan merupakan satu masalah terbesar dihadapi oleh Afghanistan kebelakangan ini. Penculik bukan sahaja menjadikan rakyat negara itu sebagai sasaran tetapi juga rakyat asing untuk mendapatkan wang pampasan.

Wisma Putra dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis mengesahkan kematian rakyat Malaysia tersebut dan berkata bahawa mangsa dan dua lagi warganegara asing telah diculik pada awal minggu ini.

“Mayat mereka ditemui di Mussahi pada Khamis. Tiada sebarang kenyataan dari mana-mana kumpulan yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut,” kata kenyataan itu yang keluarkan lewat petang Khamis.

Kenyataan itu turut berkata Pejabat Kedutaan Malaysia di Delhi, India sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Afghanistan dalam mendapatkan informasi terkini berkenaan kes tersebut dan usaha membawa pulang mayat mangsa ke Malaysia.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah turut memberitahu BeritaBenar pihak kementerian sedang menyiasat kes tersebut dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.